Wednesday, October 29, 2008

Resolusi

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.
Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasulullah s.a.w , al-Kisaii Khomsah, Ahlul Bait, para Sahabat yang mulia serta muslimin yang berada di bawah naungan Arasy Allah.

Pada tarikh 28 Oktober 2008 bersamaan 28 Syawal 1428H, penulis telah bermuzakarah dengan pihak-pihak yang berkaitan dalam kontroversi post “Port Dickson” . Melalui muzakarah ini, sebilangan perkara telah dijelaskan dan dicapai kata putus. Dengan ini,

a) Penulis mengeluarkan PERMOHONAN MAAF kepada pihak pelajar perempuan Kelas 85 TESL atas salahfaham, penggunaan bahasa yang tidak kena pada tempatnya dan kegagalan penulis untuk memahami hasilan penulis dengan perspektif dan pandangan pihak-pihak yang lain. Penulis memohon maaf di atas kekeliruan yang telah berlaku dan kesukaran yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terlibat

b) Penulis ingin menjelaskan bahawa post ini langsung tidak berniat untuk menjatuhkan kredibiliti mana-mana pihak, spesifiknya pelajar kelas TESL dan post ini langsung tidak ditujukan kepada mereka. Post ini sebenarnya ditujukan kepada diri penulis sendiri yang berada dalam keadaan tertekan dan secara tidak langsung ditujukan kepada sebilangan pelajar yang mencetuskan tekanan buat penulis itu tempoh hari. Penulis tidak menyangka yang tujuan penulis tidak memberitahu kepada siapa sebenarnya post ini ditujukan mencetuskan salah faham dan kerumitan yang teruk kepada pihak-pihak berkaitan.

c) Walaubagaimanapun, penulis tidak menarik balik post tersebut kerana post tersebut ditulis dalam perspektif yang berbeza dan telah difahami pula dengan perspektif yang berbeza. Justeru, penulis mengakui bahawa dalam hal ini, penulis telah salah kerana ketidakupayaan penulis dalam mengeluarkan pandangan secara holistik. Walaubagaimanapun, post tersebut memang merupakan pandangan penulis, dan moga pandangan tersebut cuba difahami dengan kacamata penulis. Penjelasan telah diberi dalam muzakarah dengan pihak-pihak berkaitan.

d) Penulis masih lagi menghormati kebebasan interpretasi dan kebebasan berpendapat . Namun begitu, penulis tidak boleh lagi berkompromi dengan sebarang perkara yang cuba merendahkan martabat agama dan nilai aqidah. Justeru, walaupun pendapat sdr tanpanama bahawa “if you will keep being shallow-minded, you won’t survive in overseas” dihormati penulis, penulis menolak pandangan beliau ini. Respon penulis boleh didapati di ruangan komen post PD tersebut. Hal ini juga telah penulis jelaskan dalam muzakarah.

e) Penulis juga memohon maaf diatas kekasaran bahasa yang digunakan. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa permohonan maaf ini bermaksud bahagian “One’s Belief” penulis telah berubah disebabkan muzakarah tersebut. Penulis masih lagi berpendapat bahawa program PD ini atau seumpamanya bersifat syubhah yang menghampiri haram. Ini pandangan peribadi penulis dan secara jelas diutarakan di sini. Mungkin ada juga individu-individu lain yang berpandangan seperti penulis atau mempunyai pandangan lain, yang juga dilihat menerusi kacamata Quran dan Sunnah. Maka, penulis cuma boleh mencadangkan agar muhasabah dilakukan dalam perkara dan program yang akan mendatang.

f) Post ini juga ingin menjelaskan bahawa penulis tidak menolak bahawa wujudnya isu ‘stereotyping’ dalam kalangan pelajar, namun penulis juga dengan ini mengingatkan bahawa ini boleh saja menjadi satu ujian Tuhan , atau satu peringatan daripada Tuhan. Penulis menolak penggunaan ‘stereotyping’ ini kerana ia bersifat kurang sensitif terhadap individu-individu dsb, namun penulis juga tidak menyanggah bahawa sekiranya difahami secara optimis, ini boleh membantu kita semua berubah melawan stereotaip , dan menjadi lebih baik.

g) Penulis juga ingin memohon maaf kerana penulis tidak sensitif terhadap perbezaan gender. Permohonan maaf diajukan kepada pihak-pihak berkaitan kerana penulis juga terkhilaf dengan menganggap bahawa jenaka yang penulis gunakan tidak menyentuh senstiviti gender dan kumpulan-kumpulan tertentu, di mana penulis langsung tidak berniat sedemikian.

h) Walaupun begitu, menyentuh mengenai sensitiviti, penulis dengan tegas menolak sebarang anasir anasir dalam bentuk kata-kata atau perbuatan yang menyentuh sensitiviti Islam dan penulis menyokong sepenuhnya usaha menegur perbuatan ini. Hal ini disebabkan mungkin pada sesetengah pihak, perkara ini dipandang remeh. Ini tidak menjadi masalah kepada mereka kerana orang yang tidak mengetahui tidak dikira berdosa, sebaliknya orang yang mengetahui kesalahan tersebut mempunyai tanggungjawab BESAR dalam menegur kesilapan ini. Jika tidak, ia merupakan satu pengkhianatan yang besar buat agama, dan ini melibatkan isu aqidah. Justeru, penulis dengan ini juga menyatakan sokongan penuh penulis kepada usaha amar makruf nahi munkar di kolej ini dan moga-moga pengunjung blog dapat memberi sokongan juga, dan bersama-sama menangani permasalahan-permasalan ini.

Sekali lagi penulis memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi. Sebarang komen membina amatlah diharapkan. Untuk menutup kata penulis dengan ini jelas mengatakan bahawa penulis tidak bersifat prejudis,benci,atau berpandangan stereotaip terhadap wanita kerana wanita yang mukminah adalah satu maruah dalam perspektif Islam, dan hadis Rasulullah jelas mengatakan bahawa “sesiapa yang melindungi maruah ( dalam konteks ini wanita kaum muslimin) maka dikira pahala mati syahid”.

- Wan Khairul Nizam Wan Khalid-
- wankhairulnizam.blogspot.com

Monday, October 27, 2008

Kata-Kata Imam Ghazali

Imam Ghazali pernah menyatakan bahawa " Perempuan itu 9 nafsu dan 1 akal, manakala lelaki itu 9 akal dan satu nafsu". Sesetengah orientalis menganggap bahawa ini bukti Islam merendahkan martabat wanita. Maka sewajarnya mereka melihat makna mengikut konteks budaya Arab ketika ini pula. Bersetuju dengan terjemahan Ustaz Hasrizal dalam bukunya "Aku Terima Nikahnya" , boleh dikatakan bahawa Imam Ghazali hanya mengatakan bahawa " Perempuan itu berfikir dengan 9 emosi dan 1 logik, dan lelaki itu 9 logik dan 1 emosi".

Penulis termenung seketika membaca buku ini. Ya, kelihatan penulis sendiri dalam minggu ini telah terbawa-bawa dengan emosi, walaupun tidak seketara sesetengah pihak lain. Seorang lelaki tidak sewajarnya berperwakatakan sebegini. Mungkin disebabkan penulis memandang segalanya secara mudah dan lenang, janji "logik" dan "okay pada penulis", maka ia mungkin menimbulkan kekalutan pada orang yang berfikir secara "9 emosi 1 logik". Penulis rasa ditegur kerana Ustaz Hasrizal mengingatkan pembaca buku ini supaya sentiasa berfikir secara holistik. Apa yang rasa biasa pada lelaki,atau rasa biasa pada perempuan,mungkin bakal memberi effect sebaliknya buat gender yang lain. Ini penting buat menjaga kerukunan rumahtangga. Wau, penulis membawakan isu rumahtangga dalam bermuhasabah dengan konteks semasa. Apa salahnya bukan? Hehehe.

Penulis sendiri merasa agak payah untuk berfikir secara berbeza dalam memahami kata-kata penulis sendiri. Yalah, penulis menulis dalam perspektif ini, penekanan terhadap yang ini tetapi terpaksa berfikir semula dengan ditekankan pada yang lain pula. Tetapi ini sunnatullah mungkin. Dikala feminis fanatik ekstrem sibuk mengatakan bahawa perempuan dan lelaki itu sama, pengalaman penulis sendiri membuktikan sebaliknya. Maka tepat sungguh analisis Al-Ghazali bahawa "perempuan itu 9 nafsu 1 akal, lelaki 9 akal 1 nafsu", atau bahasa modennya, " Men are indeed from Mars, and women are indeed from Venus".

Segala benda boleh dicerahkan. Segala benda boleh dibawa berbincang. Diam pun tak apa sebenarnya bagi penulis, yalah, penulis memang orangnya begini, tapi kalau dah kalut-kalut bikin kesulitan,maka boleh saja dibawa berunding. Cumanya, perbincangan itu hendaklah didtangkan dengan stand masing2. Semua orang kena jelas dengan pendirian masing2. Ini sesetengah pihak tak puas hati sebab yang ini, sesetengahnya yang itu, maka apa sebenarnya yang terjadi? Penulsi tak tahu semuanya yang mereka fikirkan. Sebab itu penulis tidak mahu berbincang dengan seorang Hamba Allah lagi kerana dia masih tak tahu nak mulakan dengan apa. Penulis macam biasa saja, apa-apa kelucuan atau paparan kehidupan penulis masih lagi dibuat iktibar dan muhasabah dalam blog ini.

Doa Buat Rakan dan Diri

Arwah nenek saya pernah cakap, “ Kalau jumpa kebaikan orang lain, maka pujilah orang itu dihadapan orang lain supaya doa dicurahkan oleh yang memberitahu dan orang yang dikhabarkan ke atas orang yang baik itu, dan supaya dia tidaklah pula jadi riak atau takbur kerana perkara itu tidak diberitahu di hadapannya.

Saya punya seorang rakan yang alhamdulillah wajar kita kongsi-kongsi cerita buat tatapan rohani kita semua. Buat pengunjung blog yang kerap ke blog ini, mungkin anda pernah mendengar nama Izdihar Zuhdi disebut. Ya, dialah orangnya. Orangnya baik, rendah diri dan selalu menolong orang lain. Kenapa saya berkongsi kisah cerita dia disini? Kerana Izdihar tidak mengunjungi blog yang tidak ada apa-apa ini. Jadi, saya tidaklah risau apa-apa.

Saya seorang penggemar wayang dan mendengar pelbagai genre muzik dan video. Izdihar pula tidak pernah dan tidak mahu menonton wayang. Dia juga tidak mahu mengunjungi Genting Highlands kerana terdapat kesamaran disitu disebabkan adanya sebuah kasino di sana. Di sini bukanlah saya nak membincangkan mengenai hukum dsb, cuma saya amat mengagumi keteguhan pendirian Izdihar. Di kala asakan remaja dan rakan-rakan mengajaknnya berhibur dengan menonton wayang misalnya, dia punya pendirian itu dan dengan baik, menolak ajakan-ajakan tersebut. Mungkin seperti saya, ada diantara pembaca merasakan bahawa tidak ada salahnya mengunjungi wayang dsb, tetapi ini bukan isunya, tetapi yang saya sebutkan ialah keteguhan pendirian beliau. Sesetengah orang, malah rakan-rakan saya di sekolah agama ramai saja yang pembelajaran agama lebih banyak, tetapi tidak boleh membawa semangat itu dalam menjalani kehidupan seharian. Maka, Izdihar boleh saja jadi contoh yang saya kagumi.

Sewaktu saya dan rakan-rakan mengunjungi rumah terbuka sdr Izdihar, saya mungkin baru memahami bagaimana Izdihar boleh jadi sebegini. Mungkin disebabkan Baitul Muslim . Keluarga yang mengikuti cara hidup Islam. Tarbiah yang mungkin tidak sesempurna tarbiah rasulullah tetapi sudah cukup baik. Ayah Izdihar dan ibunya mungkin telah berjaya mengasuh anak-anak mereka dengan semampu mungkin. Pakcik2 dan makcik2 iz juga saya lihat daripada keluarga yang baik-baik dan terhormat. Inilah rahmat Allah barangkali dan saya, selaku hamba Allah, berdoa supaya mendapat rahmat sebegini juga di masa akan datang, amin.

Saya memang suka menyakat orang, maka Izdihar juga tidak terkecuali. Kadang-kadang rasa menyesal kerana sewajarnya, kita kena menyenangkan orang lain. Tetapi, ikhlas dari hati, melihatkan keluarga yang mengiku cara hidup islami, tidak dapat tidak selaku seorang rakan, selain mendoakan kebahagiaan sendiri, saya juga mendoakan kebahagiaan Izdihar , kerana hadis rasulullah jelas mengatakan,” tidak beriman seseorang kamu sehingga dia menyayangi sahabatnya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri”.

Izdihar bukanlah seorang nabi , maka dia juga ada kesalahan pastinya. Tetapi semoga kita dapat menanam iktibar agar kita semua berazam membina keluarga yang mengikut cara hidup islam, memperoleh anak yang soleh solehah , dan membawa islam ke mercu kegemilangan semula.

Dan itu semua bermula dengan keazaman dan diikuti amalan. Dan semoga Allah merahmati kamu wahai sahabatku, dan kita semua mencapai apa yang dicita.

Audiens

Sebelum sebarang pandangan diutarakan, seorang penulis perlulah mengenalpasti subjek dan khalayak yang menjadi foKus dalam hasil penulisan mereka. Hal ini bagi memastikan bahawa mereka dapat menyampaikan mesej mereka dengan nada yang betul, dan sampai kepada orang yang betul.

Penulis sendiri mengalami masalah ini. Dan ini menunjukkan kegagalan dan kesilapan penulis sendiri dalam membuat justifikasi sebelum sebarang isu dibangkitkan dan kesilapan penulis membiarkan sesuatu hasilan tanpa tapisan yang munasabah tahapnya, kerana dipengaruhi faktor-faktor luar . Sesetengah hasilan penulis tidak langsung ditujukan kepada sesiapa, sekadar luahan rasa kepada diri sendiri dan buat pengetahuan orang lain mengenai pandangan penulis dalam sesuatu isu, dan tiba-tiba dikatakan bersifat provokatif dan ada yang mengatakan bahawa ia merupakan pandangan dakwah yang tidak kena pada tempatnya. Bersifat provokatif boleh saja diterima, tetapi dalam sesetengah hasilan, penulis tidak faham mengapa ada pula yang melihatnya sebagai satu cara penulis menegur sesetengah individu. Dakwah yang menggunakan perkataan kasar adakah ianya satu dakwah? Itu satu kebodohan. Itu penulis pun tahu.

Dan sesetengah pihak menganggap bahawa merekalah fokus dalam hasilan penulis sedangkan penulis menujukannya kepada pihak yang lain. Ya, ini satu lagi kesilapan penulis kerana tidak menerangkan secara jelas dan tepat kepada khalayak mana karya ini ditujukan.

Dan buku ‘ Aku Terima Nikahnya’ daripada Ustaz Hasrizal ( saifulislam.com) yang membuatkan penulis sedar hal ini.