Saturday, August 8, 2009

Di BTN, Saya Lebih Yakin Dengan Pendirian Saya

Salam bertemu kembali di ruang maya ini.

Saya baru pulang daripada BTN.
Alhamdulillah saya suka kem ini.
Kawan-kawan saya yang turut serta juga sukakan kem ini, setakat yang saya tahulah.
Saya amat sukakan jurulatih-jurulatih saya: Pak Adnan, Pak Mokhtar dan semuanya akan saya kenang sampai bila-bila Insha-Allah.
Dalam masa yang sama, saya juga berasa agak lucu kerana BTN ini pada saya tidak ada apa-apalah sangat dari segi pengisian siasah dan kenegaraan, kerana saya baru tersedar, ayah saya telah mem-BTN-kan saya selama bertahun-tahun sejak saya kecil!Malah apa yang ayah katakan lebih terperinci, sulit dan kekal neutral walaupun bersifat demikian.

Apapun, yang bagusnya, saya melihat yang kawan-kawan yang tidak berminat dengan politik kini ada yang mahu jadi lebih prihatin.
Ada kawan-kawan yang selama ini tidak mengetahui dan tidak mahu mengetahui Perkara 152, 153, 60 (2), 181 yang saya selalu bising-bisingkan jauh sebelum BTN ini muncul kini barulah faham apa yang saya maksudkan selama ini. Syukur.
Dan BTN ini buat saya lebih yakin dengan pendirian saya, falsafah siasah saya.
Maaflah kawan-kawan.
Kalian yang rapat dengan saya juga tahu betapa saya tidak begitu berpihak dalam bercerita mengenai politik.

Dan BTN juga membuat saya yakin dengan pendirian ini:-

Betapa DAP itu sangat penting buat negara.
Betapa PKR itu sangat penting buat negara.
Betapa Ordinan Darurat 1960 yang disertai juga dalam Perkara 149 Perlembagaan (ini rasanya tidak disebut dalam BTN kami) mengenai ISA perlulah dihormati perbezaan pendapat mengenainya.
Betapa definisi Melayu dalam itu perlu difahami secara spiritual dan semangat kesepakatan dan penuh dengan rujukan pada sejarah dan agama kita iaitu Islam.

Pak-pak jurulatih dan pak-pak fasilitator.
Saya pengkagum perjuangan anda.
Dan pada masa yang sama , saya juga kagum dengan perjuangan orang yang tidak sependirian dengan anda.
Saya mengkagumi mereka yang berjuang kerana mereka tahu apa yang diperjuangkan, dan mereka berjuang bermati-matian kerananya.
Saya mengkagumi kalian penyokong UMNO yang gigih dan ikhlas memperjuangkan maruah dan kelangsungan bangsa, bukannya mempertahankan kroni atau harta.
Saya akan sentiasa mengkagumi mujahid-mujahid dalam PAS yang tahu apa yang mereka mahu dan menghayati sebenar-benarnya Fasal 5 Perlembagaan Parti Islam Se-Malaysia, bukan sekadar mengikut kerana sekadar ingin mengisi fikiran remaja yang bersifat "rebellious" dan sentimental, ataupun orang-orang tua yang masih emotional dalam berpolitik bersiasah.
Saya akan mengkagumi siapa sahaja dalam MIC, Gerakan, MCA, dan apa-apa parti yang berjuang dengan yakin bahawa apa yang diperjuangkan itu benar pada mereka setelah mereka nilai dengan teliti, meskipun saya tidak bersetuju dengan pendirian mereka.
Saya akan mengkagumi ahli-ahli parti DAP yang yakin dalam memperjuangkan apa yang mereka percaya, dan walaupun mereka memperjuangkan sekularisme yang saya tolak, saya tidak akan menidakkan hak mereka untuk mengatakan apa yang mereka percaya, seperti mana saya tidak menyukai hak saya untuk mengeluarkan pandangan saya dipertikaikan.

Pada pandangan saya, demi kemaslahatan semua:-

a) UMNO dan PAS perlu bersatu , tetapi tidak bersatu dalam parti. Wujud keperluan penting dan mendesak untuk PAS terus berada di luar UMNO.
b) DAP perlu terus ada dan terus relevan dalam Malaysia. Ini penting untuk umat Islam.
c) Rakyat perlu faham akan apa itu sejarah dan apa sifat sejarah.
d) Singapura perlu terus dilihat sebagai "ancaman " kepada negara, tetapi dalam masa yang sama, hubungan dua negara ini perlu terus ada.
e) UMNO tidak boleh sampai bila-bila diletakkan dalam zon selesa.
f) Kita perlu melihat segalanya dari segenap sisi dan kemudiannya barulah kita menyatakan pendirian. Banyak sahaja cerita di BTN itu yang saya tahu "kurang tepat" kerana saya telah diberitahukan dengan lebih terperinci dan terpercaya, dan perlu dirahsiakan pula, tetapi maklumat-maklumat di BTN ini saya perlu terima dengan hati terbuka. Orang BN dan PR perlu bersedia bahawa fakta-fakta yang mereka pegang ialah salah dan di pihak lain itu yang lebih betul. Itulah aspek seorang intelektual dinilai- keteguhan pendirian dalam keterbukaan.

Mungkin kalian akan terfikir-fikir: Wankhai ini tidak ada kesan langsung masuk BTN.

Saya tidak tahu. Untuk itu, saya cuma berdoa supaya apa yang saya dapat di "BTN ayah saya" dan " BTN kerajaan negara saya" membawa kebaikan kepada diri saya dan mungkin juga orang-orang lain.

Saya ingin mengakhiri post terlebih mengada-ngada panjang ini dengan memetik kata-kata dua tokoh yang saya kagumi meski ada pandangan-pandangan mereka tidak saya setujui. Kedua-dua kata-kata ini kelihatan kontradiktori tetapi ada kebenaran di kedua-dua sisi.

Tun Mahathir, mantan Perdana Menteri pernah berkata begini:"sesiapa yang tidak belajar dari sejarah (kesilapan orang terdahulu), mereka akan dihukum oleh sejarah dengan mengulanginya berulang-ulang kali".

Pada masa yang sama, Yasmin Ahmad, sewaktu ditemuramah, pernah mengeluarkan komen begini:
" Anak muda sekarang dituduh tidak menghargai perjuangan 1957"

" saya fikir ini bagus. Cukuplah generasi tua saja yang merasakan kesengsaraan masa itu. Mengapa generasi muda dipaksa merasakannya juga?"

Dan ditambah lagi,

" Kerana semua orang ( semua generasi) punya perjuangannya sendiri."

Salam keletihan dari rumah.

2 comments:

teh bunga chrysanthemum said...

wah bagus2...btn memang best..baguslah kalau ada pandangan sebegitu...kita perlu bersatu barulah boleh jadi negara hebat...

perjalanan said...

alhmdllh..
pendapat yang berlainan dan unik..
teruskan..=)