Percayalah, tamparan dan tumbukan yang menyenakkan dada jarang akan berjaya mentarbiyah atau mendidik seseorang.
Ianya suatu pengalaman yang saya perolehi setelah lama melihat fenomena didikan ala-ala militari ini.
Hampir sahaja ke tahap 'tidak mungkin' seorang itu menjadi terpelajar dengan ajaran-ajaran ini.
Mendengar kata, mungkin ya. Berdisiplin, mungkin ya. Tidak takut mati, mungkin ya.
Tetapi, jiwa, tidak. Apa ada pada tumbukan dan terajangan dan herdikan dalam mendidik jiwa dan rohani?
Berapa banyak lebam yang kita timbulkan tidak akan menyentuh sudut yang mereput di dalam hati-hati manusia ini, kerana hati itu tidak dibentuk oleh hukuman dan ancaman, hati itu dibentuk oleh perasaan dan semangat.Ianya sama juga sepertimana minda dan akal kita itu tidak dibentuk oleh fakta semata, tetapi ianya dibentuk idea. Kita boleh menyuruh anak-anak kita membaca seluruh buku-buku sains dan sejarah, dan meluahkan semuanya di atas kertas peperiksaan, namun sekiranya generasi terkemudian ini tidak memahami idea agung bahawa sains itu membina tamadun , seni itu mengisi tamadun, agama itu mengisi manusia dan sejarah itu mengulang tamadun, generasi ini tidak akan ke mana.
Islam menyuruh ibu-bapa menyayangi anak mereka. Tetapi Islam juga menyuruh merotan kanak-kanak berusia 10 tahun yang tidak mahu bersembahyang. Maka kejamkah Islam? Tidak, bahkan itu ialah tarbiyah! Makanya, bukankah seorang guru menampar seorang murid yang kurang ajar kepada gurunya juga satu tarbiyah?
Ya, mungkin. Tetapi ianya Ya dengan syarat!
Tarbiyah itu bukanlah rotan. Tarbiyah merotan anak itu sebenarnya ialah suatu tarbiyah untuk si ayah itu sendiri. Betapa agungnya Islam itu melebihi anak yang dibelai dimanja dari kecil. Hakikat rotan itu juga bukanlah penghujung kepada didikan Islami. Sesetengah bapa mungkin menyangka bahawa apa yang Rasulullah anjurkan agar si bapa merotan anak yang enggan sembahyang sudah cukup. Bahkan tidak! Tidak akan kemana-mana libasan demi libasan itu sekiranya si bapa dan si ibu tidak menerangkan terlebih dahulu apa pentingnya solat, tidak melayan anak mereka dengan mesra di waktu lain-lain, tidak mendidik anak untuk memiliki rasa kasih dan hormat pada ibu dan ayah.
Kita melihat si bapa yang tidak pernah berbual mesra dengan si anaknya, leka dengan kerjanya ataupun ibadahnya, sedangkan anak itu suatu anugerah Allah! Tidak hairanlah yang si anak itu enggan menurut perintahnya. Kononnya si bapa merotan anak kerana anak degil dan tidak mendengar kata dan rotan itu akan berjaya mendidik mereka, tetapi percayalah, sekadar rotan dan terus merotan tanpa diikuti nasihat dan kasih sayang hanyalah satu cubaan memuaskan nafsu amarah si bapa dan hakikatnya, jauh daripada anak terdidik, ianya hanya mewujudkan trauma psikologi buat mereka.
Begitulah juga guru. Kita punya warden-warden yang stres melayan karenah dan kenakalan anak-anak murid di asrama. Kita punya guru-guru yang telah bertungkus lumus merangka pelan mengajar tetapi akhirnya apa yang guru rancangkan itu gagal kerana murid-muridnya di dalam kelas bermain-main di dalam kelas dan tidak menurut kata. Murid-murid tertentu pula telah melakukan sesuatu yang melepasi batas-batas moral dan agama.
Maka tidakkah guru itu wajar berasa marah?
Ya , marahlah. Silakan. Tetapi, ingat, segala amalan di dunia ini dilakukan kerana apa? Kerana Allah dan Rasul-Nya. Maka, silalah marah kerana Allah dan Rasul-Nya!
Apakah memukul budak yang ponteng prep sehingga lebam-lebam itu kerana Allah dan rasul-Nya?
Apakah bersembang-sembang sesama guru ataupun di khalayak guru dan mengatakan bahawa murid ini dan murid itu 'tidak ada harapan', ' bodoh' dan 'bangang' itu kerana Allah dan rasul-Nya?
Apakah merestui si senior untuk memukul junior yang merokok, sedangkan kawan-kawan si senior ini sendiri merokok adakah suatu restu yang mengikut ajaran Allah dan rasul-Nya?
Kita kena berfikir semula beberapa amalan-amalan tertentu yang direstui sekolah-sekolah asrama di negara ini. Junior-junior yang merokok misalan, ditampar , ditempeleng dan dipukul oleh si warden ataupun sang senior-senior sebagai 'ganti' perbuatan mereka tidak akan dikhabarkan kepada jawatankuasa disiplin sekolah. Makanya setiap hujung minggu berpestalah seluruh blok di tengah malam di mana para senior 'mengajar' si junior untuk tidak melanggar disiplin sekolah. Hakikatnya, ramai si 'pengajar-pengajar' itu sendiri perokok tegar. Warden merestui. Didikan,khabar mereka.
Saya tidak ingin membuat generalisasi terus bahawa didikan sebegini langsung tidak berjaya. Tetapi sepanjang pengalaman belajar ini, 90% manusia-manusia ini yang dipukul saban minggu tidak berubah pun. Akhirnya 'didikan ala-ala tumbukan dan hukuman' ini hanyalah suatu 'bayaran' kerana mahu merokok sahaja. Mereka mahu melakukan masalah disiplin, tetapi mereka tidak mahu keluarga mereka tahu dan kecewa dengan mereka, maka mereka ini merelakan badan mereka dilanyak dan dipijak oleh sang-sang senior yang kononnya mendapat izinan guru untuk membentuk 'jawatankuasa disiplin ala-ala teroris' ini.
Persoalannya, adakah semua ini suatu didikan, suatu tarbiyah?
Saya tidak tahu. Sendirilah menentukan.Niat itulah menentukan. Mungkin saranan-saranan dan pandangan-pandangan ini idealistik di zaman ini di mana gejala sosial berleluasa dan karier guru makin hilang 'kemuliaannya', tetapi apapun janganlah menipu diri kita sendiri sewaktu seronok 'mengajar' anak-anak murid ini , " ah aku melakukan sebegini kerana Allah dan rasul-Nya! ", kerana di kemudian hari, si pemilik nama itu sendiri akan bertanya :-
" Apakah kamu melakukan sesuatu untuk memuaskan nafsumu, amarahmu tetapi kamu kaitkannya dengan Aku?"
Di waktu itu, tiada lagi tipu-tipuan dan alasan-alasan.
No comments:
Post a Comment