Friday, July 30, 2010

Rumahtangga.

Percayalah. Saya ini mungkin gemar sekali membuat jenaka kahwin dan sering saja menanyakan soalan pada rakan-rakan, " hoi bila ko nak kahwin ni?".
Tetapi hakikatnya, saya memikirkan juga banyak perkara berkenaan perkahwinan. dan jenaka ini tidak langsung untuk meyakinkan sahabat-sahabat saya bahawa nikah itu bak "semudah" ataupun " sehebat" nikah ala-ala Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. 
Dan saya juga tidak ingin untuk memudahkan-mudahkan perkahwinan, seolah-olah perkahwinan ini isu biasa. Seolah-olah nikah itu cuma bagi pelajar sekadar menyimpan duit, mencari calon, mengisi borang, membuat walimah dan selepasnya tinggal sekali. Usai habis segala maka selesailah perkahwinan.
Kalau di dalam bahasa Inggeris, semua ini, persiapan itu inilah bukanlah perkahwinan dalam erti kata sebenar. "Wedding"- hantarannya, calonnya, borang-borangnya, majlis makannya- ini semua hanyalah "wedding", tetapi bagi Islam, malah bagi semua agama pun, yang kita mahukan ialah sebuah "marriage". Apa yang kita sesetengah gelarkan sebagai "baitul muslim".

Saya telah menghadiri dua sesi forum perkahwinan dalam Islam anjuran Auckland University Islamic Society,dan alhamdulillah sedikit sebanyak saya melihat pelbagai isu yang dibangkitkan dalam forum ini , bermula dari persiapan mencari calon hinggalah ke isu-isu dalam rumahtangga. Dan pengamatan saya ini membuat saya terdedah pada beberapa pandangan muslim-muslim seluruh dunia.

Peserta yang bertanya pada Syeikh Rafat, speaker utama dalam forum ini akan cara beliau boleh berpoligami tanpa redha dan pengetahuan isterinya ( kerana mahu lebih banyak anak, katanya). Peserta yang berpandangan bahawa ianya hak mutlak suami untuk 'memaksa' isteri untuk tidak bekerja- hampir sahaja cara mereka memberi pandangan ini jatuh dalam kancah male chauvinism- saya fikir. Peserta yang berpandangan bahawa dalam rumahtangga, worldly gain tidaklah sepenting pengamalan Islam dalam keluarga. Peserta dan ahli forum yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan bolehnya si suami memukul isteri untuk memberi peringatan kepadanya.

Dan saya seorang rakyat Malaysia, yang melihat bagaimana keluarga ala tradisional dan keluarga separa egalitarian wujud bersama, rasa bersyukur. Melihat sendiri apa buruk baiknya sesuatu sistem keluarga itu. Melihat wanita diberi hak pilihan yang lebih banyak berbanding wanita-wanita di sesetengah tempat yang masih lagi berpegang dengan idea-idea pelik berkenaan rumahtangga.

Saya termangu mendengar seorang pendengar menyuarakan pandangan bahawa " wanita, apa pun kelulusannya , kalau dah ada anak dia sendiri akan tidak mahu bekerja untuk menjaga anak dia. karier dia tidak lagi suatu isu". Generalisasi melampau, mungkin? Mungkin dia melihat suasana tanah airnya begitu, wallahualam. Tetapi untuk mengatakan bahawa itu suatu lumrah- oh tidak sama sekali.

Kalau ianya satu lumrah, takkanlah wujud pergaduhan suami isteri dimana isterinya mahu bekerja dan enggan berada di rumah sepanjang masa menjaga anak?

Mungkin saya kononnya diresapi fahaman-fahaman sesat dan moden, tetapi saya susah betul untuk menerima bahawa seorang wanita yang dibelanjakan padanya , misalan sejuta ringgit untuk digunakan belajar perubatan di luar negara, tiba-tiba apabila pulang ke tanah air, enggan berkhidmat atau bekerja kerana mahu menjaga anak. ya, bercuti beberapa tahun untuk menjaga anak, mungkin boleh. Hatta di tanah liberal barat itu sendiri sudah wujud suatu kesedaran bahawa ibu bapa yang terlalu sibuk dengan karier akan memberi impak negatif pada kanak-kanak, makanya ramai ibu ( dan juga bapa ) yang sanggup bercuti beberapa tahun atau bekerja dari rumah untuk memberi tumpuan buat anak.

Tetapi dalam hal lain pula, saya juga rasa wajar untuk pihak yang memberikan duit sejuta ini untuk meminta keluarga ini untuk membayar semula sejuta ringgit ini. kerana dengan sejuta ini boleh saja mereka membiaya seorang lagi untuk belajar perubatan dan akhirnya berkhidmat, Paling kurang pun, patah tumbuh hilang berganti.

Banyak lagi sebenarnya isu-isu yang dibangkitkan dalam forum ini. Tetapi setakat ini sahajalah, mungkin.

Tambah-tambah lagi saya ini pun bujang , tak layak mengulas banyak-banyak isu yang saya sendiri tidak alami dan betul-betul fahami lagi, kan? 

No comments: