Cukuplah satu sahaja.
Cukuplah aku mengetahui bahawa nun jauh merentasi lautan, aku punya seorang sahabat yang kami bersama mungkin bagi sesetengah tidak lama, tetapi dia sentiasa berdoa untuk kami berdua, terutamanya aku agar menemukan apa yang aku impikan selama ini : ketenangan dalam hidup, pengisian dalam beribadah dan kepastian dalam iman.
Dan alhamdulillah tsummalhamdulillah, rupa-rupanya apabila kita berpada, redha dengan yang sedikit ini , Tuhan itu boleh sahaja menambahkan rasa cinta yang bertambah erat waktu demi waktu, berbeza dengan ikatan manusiawi yang lain-lain, dan Tuhan itu temukan kita lagi dengan manusia lain-lain yang berjalan di atas titian yang sama ini.
Kerana Tuhan itu Maha Pemurah. Kerana Tuhan itu menepati janji-Nya. Kerana Tuhan itu telah mengisytiharkan pada seluruh petala langit dan bumi " Sesungguhnya jika kamu bersyukur, akan aku tambahkan lagi!"
Asalnya datang daripada cinta kepada seorang sahabat, cuma seorang.
Saudaraku,
Terima kasih atas tangisanmu dan tawamu selama ini, terima kasih atas untaian-untaian katamu penuh nasihat dan kasih sayang, dan terima kasih kerana kamu tidak pernah melepaskan tanganku meski sebelah langkah kakiku telahpun ku jejaki di lembah kebinasaan.
Di waktu 'persahabatan' padaku hanyalah satu helah manusia-manusia yang mengambil kesempatan, kamu bersamaku di waktu aku membencimu, kamu bersamaku di waktu aku menghina pendirianmu, kamu bersamaku di waktu hatiku tertutup dek tipu daya persahabatan.
Kamu pantas mengetahui bilakah tawaku hanya lakonan, dan betapa bencinya aku ketika itu padamu kerana aku tidak boleh merahsiakan apa-apa daripadamu.
Di saat ini baru kusedar betapa aku harus bersyukur kerana kamu pernah hadir dalam hidupku.
Dan baruku sedar bahawa aku benar-benar mencintai kamu, saudaraku.
1 comment:
mashaAllah. semoga semua kerana Allah
Post a Comment