Saya pernah geram seketika dahulu-dahulu semasa masa muda remaja, apabila seorang rakan ( senior, sebenarnya) menyindir-nyindir akan seronoknya saya membaca dan menikmati karya-karya sastera bahasa Melayu, moden ataupun lama.
Katanya, tidak berguna.
Islam sudah lengkap dengan semuanya. Melayu dan tradisinya ini, puisinya dan syairnya ini- semuanya tidak Islamik. Melalaikan dari Tuhan. Bahasa Melayu juga tidak boleh dibandingkan dengan bahasa Arab yang dimuliakan Allah sebagai bahasa Al-Quran. Mempelajari bahasa Arab mendapat pahala yang lebih banyak kerana bahasa Arab membolehkan kita memahami al-Quran.
"Apa ada pada bahasa Melayu?", hati saya sedih apabila saya diterpa pandangan sebegini daripada seorang rakan yang komited sungguh pada Islam dan perjuangan ummah.
Sedih melihatkan seorang pejuang Islam yang melulu . Sedih melihatkan pejuang Islam melancarkan jihad yang tidak kena pada tempatnya-pejuang yang memukul rata akan hakikat sesuatu benda, tidak upaya melihat mana yang benar-benar taghut, mana yang merupakan mangsa.
Kalau bahasa sendiri pun tidak mahu disayang, maka apalah dihairankan apabila pendiriannya antagonistik sekali terhadap bahasa Inggeris. Bahasa penjajah!
Dan saya selaku bakal guru yang mengajar bahasa Inggeris ini, apa dia? Agen penjajah?
Saya suka mengingatkan diri saya akan hujah ini. Dalam sirah rasulullah, baginda gemar sekali berlari , memanah dan berkuda. Dikatakan terus ini semua adalah sunnah-sunnah Rasulullah. Maka bagaimana dengan bola sepak?
" Apa kaitan dengan bola sepak?"
Saya rasa lebih ramai manusia yang meninggalkan solat sewaktu menonton bola sepak daripada mereka-mereka yang sibuk membaca karya Buya Hamka ataupun menguliti karya Nisah Haron, Ustaz Hasrizal ataupun Faisal Tehrani. Saya rasa lebih ramai manusia yang mencarut-marut, memaki hamun, meluah kata-kata keji di dalam stadium daripada mereka-mereka yang benar, sesekali hanyut dek novel -novel romantis tidak syarii sesetengah pengarang-pengarang bahasa Melayu.
Jadi, kenapakah tidak diserang bola sepak ini. Kenapa tidak dikatakan terus , " bola sepak LANGSUNG tidak berguna. LANGSUNG melalaikan dari Tuhan . "
" Eh kenapa bola sepak yang disalahkan? Manusia-manusia yang tinggalkan solat semua ini. Bola sepak sejenis sukan. Sukan yang menyihatkan badan. Rasulullah sendiri suruh bersukan - sunnah! "
Hah maka apanya disalahkan bahasa Melayu? Kenapa disalahkan bahasa Melayu yang pantun-pantun tradisinya memang banyak diisi isu-isu berkenaan cinta antara teruna dan dara, kenapa pula disalahkan syair-syair lama yang banyak mengungkap kisah rindu si lelaki dan wanita, sedang ia hanya menunjuk jiwa-jiwa manusia di waktu itu?
Dan kita di waktu ini, maka senang sajakah mencuci tangan dengan melabel "bahasa ini bahasa nenek moyang kita yang dahulu sesat dengan adat-adat bukan-bukan dan versi Islam yang khurafat maka marilah kita ramai-ramai berhijrah ke bahasa Arab - bahasa Al-Quran! "
Mahu jadi Arab jadi-jadian maka silakanlah. Saya tidak mahu menjadi jadi-jadian . Saya mahu jadi Muslim. Saya mahu jadi Muslim yang Mukmin. Saya mahu jadi Muslim yang Mukmin yang Allah moga-moga kurniakan pada saya kefahaman kepada agama ( melalui pengetahuan dalam bahasa Arab, tidak dinafikan) . Saya mahu jadi Muslim yang sayangkan bangsanya, kerananya bangsanya telah dimuliakan dengan Islam namun sesetengahnya telah meninggalkannya, maka saya harus mengingatkan bangsa akan peri pentingnya Islam dalam nilai bangsa. Saya mahu jadi Muslim yang Mukmin yang mencintai bahasa- bahasa apa pun - kerana bahasa adalah senjata dakwah yang utama.
Kerana bahasa juga mencermin jiwa yang berakhlak. Bukan bahasa Arab saja, bahasa apa pun.
Bagi saya, menghina sesuatu bahasa kerana amalan penuturnya merupakan 'jihad' paling pelik. Kalaulah di zaman Rasulullah dahulu , tatkala baginda melihat lemparan-lemparan syair-syair memuliakan kabilah-kabilah tertentu ataupun memuja arak dan wanita digantung-gantung di dinding Kaabah- dan baginda lantas berjihad menghapuskan bahasa Arab - tukar dengan bahasa lain pula, kita namakan "bahasa Muhammad"- apalah yang akan jadi?
Apa dengan "bahasa Muhammad" akhlak mulia boleh tertegak? Taghut boleh hancur?
Apa apabila semua manusia Melayu memahami bahasa Arab maka seluruh Malaysia akan makmur dan Islami? Tengok orang-orang Arab sendiri yang sudah sedia memahami bahasa Arab pun kita menggeleng kepala.
Menggeleng kepala dengan banyak sekali.
1 comment:
This is awewsome (mode "penjajah")!
Boleh dijadikan rujukan untuk hujah di masa hadapan.
Post a Comment