Saya agak risau, dan pada masa yang sama, tertanya-tanya akan apa yang bakal berlaku di Malaysia mengenai status Islam di negara ini.Setakat ini, cerdik pandai yang saya ketahui memberi respon berbeza mengenai pelaksaanaan hukum Islam secara menyeluruh di Malaysia.Saya menyokong sepenuhnya hasrat ini, kerana sebagai seorang muslim, kemahuan kepada Islam itu satu perkara yang membawa kedaulatan Islam di sesebuah wilayah orang Islam.
Dan saya lihat , ya, UMNO dan PAS keduanya telah banyak berjasa dalam menyeru kepada implimentasi hukum-hukum Islam dalam kehidupan bermasyarakat. Mahu tidak mahu, secara teorinya, PAS kelihatan lebih pantas sebagai jaguh dalam hal ini. Dalam hal teori hukum-hukum Islam, PAS telah terkedepan berbanding UMNO. Mereka merujuk kitab-kitab tradisi dan moden dalam persoalan hukum menegakkan syariatullah secara menyeluruh, dan dalam hal ini, secara serentak. Tetapi saya rasa tidak wajar pula memberi terus gred " F" atau "E" kepada UMNO dalam soal pembawaan hukum Islam di Malaysia.
Kita kena melihat satu perkara bahawa Malaysia pada awal abad ke 20, kehidupannya dilingkungi adat Islamik dalam budaya, tetapi sistem pemerintahanya dipayungi sekularisme. Ada sesetengah mengatakan bahawa ketika ini , Tanah Melayu dalam keadaan jahiliah lah, meski saya harus mengatakan bahawa ketika itu, Tanah Melayu sudahpun mempunyai sistem pembelajaran agama di pondok yang sangat komprehensif dan analitik, meski sangat tebal dengan sentimen mazhab Shaffi nya. Tapi sehingga itu sajalah mungkin mercu kekuatan Islam ketika itu.
Kita dalam fasa penjajahan. Dan ya kita dijajah sangat lama.
Sewaktu kemerdekaan, dalam ahli-ahli Suruhanjaya Reid merangka perlembagaan, Justice Abdul Hamid dari Pakistan lah yang menyarankan agar Islam dijadikan agama rasmi. Tetapi perunding kemerdekaan kita, Tunku Abdul Rahman misalnya, tidaklah memandang serius akan status Islam ini. Tunku Abdul Rahman acap kali berkata bahawa semasa kemerdekaan, Malaysia ialah negara sekular dengan Islam sebagai agama rasmi. Hatta kemerdekaan seantero dunia ketika ini lebih kepada keinginan kepada pemerintahan sendiri,berasaskan ideologi seperti demokrasi atau sosialis, dan bersifat nasionalis. Lihat sahajalah, PAS tidak begitu cemerlang ketika itu, meski pada satu tahap, meski PAS hanya menang satu kerusi, Perikatan hanya menang majoriti tipis di hampir semua kawasan , sehingga secara kuantiti, Perikatan hanya menang lebih 50% sedikit sahaja berbanding PAS. Ini hakikat. Orang Melayu ketika itu lagi sudah waspada dengan apa yang cuba dibawa oleh Perikatan, tetapi ketika itu slogan "perubahan" dibawakan, maka sudah pastilah terliur dengannya, apalagi "perubahan" itu digula-gulakan dengan Peristiwa Natrah di Singapura dan sebagainya.
Bawa ke zaman ini, saya tidak dapat menerima hujah bahawa Islam semakin hilang di tanah air ini. Dan kedua-duanya jasa UMNO dan PAS. PAS mengetengahkan isu Islam sepanjang masa, dan antara sedar atau tidak, rakyat juga berubah. Sistem perbankan direjuvenasi untuk menyediakan perkhidmatan patuh Syariah, dan pada masa yang sama mengekalkan sistem perbankan konvensional ( hakikatnya, 70-80% pelanggan sistem pinjaman Shariah ialah Cina). Sistem zakat dikemaskini, dan ulama'-ulama' membincangkan mengenai interpretasi asnaf-asnaf yang layak menerima zakat dengan lebih prakmatik. Inilah Malaysia, negara bersistem sekular yang seiring dengan perubahan zaman dan gelombang Islamisme, kian berubah.
Tetapi ada BANYAK lagi ruang yang memerlukan perubahan.Dan ia perlu juga mengambil kira populasi Muslim di Malaysia kini. Berapa peratus sangatkah majoriti Muslim?
Zulkifli Nordin dari PKR baru-baru ini mencadangkan pemindaan dalam Perlembagaan Malaysia supaya status Islam akan lebih jelas. Ia turut dipersetujui Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat. Dengan undi non-Muslim yang masih lagi berpihak kepada Pakatan Rakyat, saya rasa UMNO pasti sedikit keberatan untuk menyokong usul ini kerana ia akan mengurangkan lagi penyokong mereka dalam kalangan non-Muslim. PKR juga kelihatan tidak senang dengan usul ini. Rata-rata non-Muslim memberikan respon negatif, dan kita kena ingat, mereka bukan sedikit.
Tambahan pula, dengan perkhabaran bahawa Pakatan Rakyat akan ditubuhkan sebagai satu kumpulan parti dengan satu logo, dan Lim Kit Siang mengatakan bahawa akan ada 20 tahun perjanjian antara 3 parti ini di mana prinsip-prinsip parti akan digubal secara bersama, PAS kena bersedia untuk mendiamkan seketika hasrat mewujudkan undang-undang Islam dalam masa 20 tahun ini dengan sabar. Ahli PAS yang gelojoh kena menerima hakikat bahawa yalah, 52 tahun kita merdeka, mungkin 20 tahun lagi diperlukan untuk PAS benar-benar mampu mewujudkan sistem Islam yang menyeluruh, dan untuk meyakinkan non-Muslim, dan apabila saya guna perkataan "meyakinkan", saya tak yakin penerangan tanpa "hadiah" memadai. Apa yang PAS boleh berikan kepada non-Muslim untuk hak sebegini, untuk menarik undi mereka yang cukup signifikan ini supaya perubahan boleh dilakukan? Adakah " hadiah" ini lebih baik daripada apa yang UMNO berikan?Gula-gula apakah yang akan diberi oleh PAS untuk melawan coklat Ferrero Rocher di zaman UMNO Tunku Abdul Rahman dan Cadbury di zaman Tun Mahathir? Tambahan pula, semalam ini wujudnya cadangan sistem sekolah satu aliran di sekolah menengah, yang dipersetujui oleh semua parti di Dewan Rakyat termasuklah PAS. Tetapi PAS perlu melihat kesan jangka panjang, "stok aktivis PAS" kebanyakannya datang daripada lepasan sekolah-sekolah agama dan dari aliran agama. Dengan limitasi 10 subjek yang membuatkan pelajar khuatir untuk mengambil jurusan agama kerana risaukan masa depan, dan kini sekolah satu aliran yang boleh membawa integrasi kaum tetapi mungkin liberalisme dalam agama, dan kita tahu saja sekolah itu satu proses indoktrinasi yang cukup efektif, mungkin lebih lama lagi waktu diperlukan oleh PAS. Indonesia, "berkat" sistem sekolah sebegitulah nasionalisme di Indonesia begitu mekar, dan kaburnya semangat perpaduan agama di sana. Hanya beberapa tahun ini setelah Presiden Indonesia mengajak kepada kerajaan perpaduan, yang melibatkan parati-partai utama seperti Partai Keadilan Sejahtera yang cenderung islamik, makanya sistem pendidikan diolah semula untuk melibatkan subjek-subjek islami bagi sekolah yang mahu sebegitu.
Apa pun, aktivis Islam dalam PAS, UMNO ( jangan skeptik, ada), dan NGO-NGO kena bersedia dari segi fikrah, hujah dan kepandaian memahami sepak terajang politik.
Aktivis Islam tidak boleh gelojoh. Ia nampak janggal dan pelik untuk melihat yang lain sedangkan Islam menawarkan segalanya, tetapi saya rasa, lihatlah sahaja bagaimana aktivis alam sekitar, aktivis hak wanita, aktivis sosialis dan aktivis hak- hak homoseksual bekerja. mereka bekerja dengan cukup efisien dan sabar, dengan strategi-strategi lincah dan licik, yang kita katakan: genius. Mereka merentasi batasan kaum dan agama. Dan mereka menggunakan saluran politik dengan begitu terancang. Lobi mereka kuat.Dan di Malaysia ini, ini yang kita terpaksa cuba fikirkan.
Apa yang kita umat Islam boleh tawarkan? Saya jarang menggunakan ayat Quran kerana blog saya ini kalau ikutkan isinya yang teruk tak layak diletakkan ayat Quran, tetapi kali ini, cincai lah.
Ingatlah wahai Muslimin, Allah taala ada menanyakan:
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا هَلْ أَدُلُّكُمْ عَلَىٰ تِجَارَةٍ تُنجِيكُم مِّنْ عَذَابٍ أَلِيمٍ
Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (as-Saff 61:10)
تُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ وَتُجَاهِدُونَ فِي سَبِيلِ اللَّهِ بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ ۚ ذَ ٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ
Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan ugama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (as-Saff 61:11)
يَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَيُدْخِلْكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ وَمَسَاكِنَ طَيِّبَةً فِي جَنَّاتِ عَدْنٍ ۚ ذَ ٰلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga ” Adn “. Itulah kemenangan yang besar. (as-Saff 61:12)
No comments:
Post a Comment