Friday, August 6, 2010

Menjadi Diri Sendiri

Sabda Junjungan Mulia kita Rasulullah s.a.w:

“Manusia itu seperti logam, terpilihnya mereka semasa jahiliyyah terpilih juga mereka semasa Islam, sekiranya mereka faham”- Sahih Bukhari

Semua daripada kita Allah ciptakan unik dan berbeza. Kita punya banyak persamaan dengan yang lain, namun pada asasnya, jika digabungkan semua kegemaran kita, semua minat kita , pastilah kita berbeza. Saya mungkin meminati sejarah, Hilmi meminati sejarah, tetapi di situ sahaja saya dan Hilmi sudah berbeza. Saya ialah Wan Khai yang sukakan sejarah dan sukakan laksa Penang , dan di pihak yang satu lagi,  Hilmi pula ialah seorang yang sukakan sejarah tetapi sukakan Masak Lemak Cili Padi pula.

Dan bayangkan seluruh benda yang ada di dunia ini- sungguh berbeza kita kan?

Tetapi Allah mengatakan yang hanya Islam agama yang sebenar-benarnya, hanya agama yang diredhai-Nya. Tetapi dengan berbagai jenis manusia yang ada dan pelbagai citarasa, maka apakah relevannya hanya satu sahaja agama yang diterima?

Saya merasakan bahawa hikmahnya di situ ialah Allah sendiri mengetahui bahawa berbezanya kita semua ini, kita boleh bersatu di bawah suatu panji yang bertunjangkan hak dan menentang kebatilan, yang menjaga keadilan sosial dan kesaksamaan , dan berbezanya kita semua ini bukanlah suatu dugaan pada agama, tetapi suatu ujian untuk diri.

Inilah perkaitannya dengan hadis yang saya nakalkan di atas tadi. Kita semua berbeza-beza keupayaan dan nilai diri kita, tetapi sebenarnya apabila kita memegang Islam sebagai asas diri kita, kita tidaklah berubah seluruhnya daripada insan model A ke model B- kerana sesungguhnya tidak ada model "B" dalam Islam. Ada pelbagai "B' dalam Islam- mereka yang mahir dalam perniagaan, mereka yang mahir dalam falsafah, mereka yang mahir dalam sains, mahir dalam sastera- tidaklah apabila mereka ini mahu kembali kepada Islam, mahu mengamalkan Islam secara menyeluruh- maka mereka harus meninggalkan semua ini dan memerapkan diri di surau atau masjid beribadah sepanjang waktu kepada Allah taala.

Begitulah juga mereka yang menolak nilai-nilai tidak bermoral dalam sesetengah masyarakat dunia. Mereka yang menolak pelacuran, menolak penindasan terhadap wanita, menolak sistem ekonomi berat sebelah dan menindas; sekiranya mereka mengerti Islam dalam erti kata yang sebenar, mereka akan lebih yakin dengan perjuangan yang mereka bawa- kerana Islam memperjuangkan semua ini.

Janganlah kita menyangka bahawa kita tidak mahu berubah ke arah yang lebih baik kerana " itu bukan aku" , kerana kita ini dilahirkan fitrah. Majoriti kita sebenarnya mampu menilai yang baik atau buruk, cuma kita enggan membuka pintu hati kerana gusar atau kurangnya keyakinan pada jalan yang diredhai Allah taala.

Tuhan menciptakan kita berbeza-beza namun menyuruh kita bersatu di atas jalan yang tunggal ini kerana berbezanya kita ini mampu memberi sumbangan masing-masing terhadap dunia dan agama ini.

Saya ialah Wan Khai. Saya seorang dari Tanah Asia. Saya seorang Ajam. Saya seorang Melayu Malaysia. Saya seorang yang sukakan sejarah. Saya seorang bakal guru. Saya bakal mengajar Bahasa Inggeris.

Saya seorang Muslim dan saya ialah Hamba kepada Allah taala, Tuhan yang Satu. Dan saya ingin menyumbang kepada Islam.

No comments: