Thursday, August 12, 2010

Ramadhan Mubarak. Salam Ramadan.


Kita seringkali mendengar ayat Quran ini dilantunkan tatkala bulan mulia Ramadhan menjengah  :
" Wahai orang -orang yang beriman! Diwajibkan keatas kamu untuk berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang -orang sebelum kamu agar kamu menjadi orang yang bertakwa". ( Al-Baqarah : 183)
Makanya puasa ini bukanlah sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja. Bukan sekadar suatu proses mengawal nafsu dan mengawal diri. Ibadah puasa bukan sahaja menimbulkan rasa empati kepada orang-orang miskin, hatta jauh sekali daripada hanya memberi peluang kepada manusia untuk menikmati juadah-juadah Ramadhan- baik baklava Turki yang manis kegemaran orang-orang Asia Barat , daging kambing  kegemaran orang-orang Arab ataupun kuih manis-manis kegemaran orang-orang Melayu. Tidak, ibadah puasa bukan hanya terhad atas tujuan ini.

Ibadah puasa yang diwajibkan Allah ini, selain daripada kita menuruti suruhan Allah sebagai hamba-Nya yang taat, tujuan utamanya ialah membina TAQWA. Inilah asasnya. Maka kita kena merenung kembali, apakah Ramadan kita yang sudah-sudah membina TAQWA dalam diri kita? Saya secara jujurnya mengakui mungkin tidak bagi saya. Mungkin saya terlalu leka dengan cuti dan permainan video, atau terlalu leka dengan juadah-juadah enak di bazar Ramadan, sehingga untuk menghadirkan diri untuk solat Terawih juga bermasalah kerana senak dan sebagainya.

Tetapi Tuhan masih memberi kita peluang untuk terus hidup untuk bertemu dengan bulan ini di tahun 2010 ini, satu petanda besar agar janganlah kita mempersia-siakan peluang yang kita ada. Bulan Ramadan ini suatu madrasah , sekolah untuk ruh kita. Rugilah kita kalau untuk kesekian kalinya, bulan ini berlalu pergi tanpa sebarang perubahan diri untuk kita . Tambah sedih lagi apabila Ramadan itu berlalu pergi, di kala Aidilfitri pula kita menghiasi hari kebesaran ini dengan pembaziran dan kemaksiatan!

Ramadan kita lepaskan peluang, Aidilfitri kita hina-hinakan.

Janganlah berlengah-lengah. Ramadan itu akan berlalu dengan cepat sekali. Marilah mengisi bulan ini dengan amalan-amalan sunnah dan menghidupkan malamnya dengan ibadah-ibada seperti tekun membaca dan mentadabbur al-Quran.

Ramadhan Mubarak, kalian. Semoga kalian dan saya tergolong di dalam keberkatan dan syafaat. Amiin.

Website- website berkenaan Ramadhan.
1. Ramadhan- Apa Perlu Buat - Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman.
2. Ramadan : Antara Bulan dan Matahari daripada Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
3.Ramadan Menamatkan Perhambaan Diri - Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
4. Ramadan Tetamu Dataran Syam- Ustaz Hasrizal Abdul Jamil
5 Ramadan- Batalkah puasa kita jika...- Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman

No comments: