Sunday, September 5, 2010

Gempa Bumi di Christchurch. Ini Cerita Saya.


Saya di Christchurch ketika gempa bumi berukuran 7.2 skala Richter ini berlaku.
Pada jam 4.35 pagi , 4 September inilah saya buat pertama kalinya merasakan gempa bumi- suatu bencana alam yang jarang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Kami ( saya dan rakan-rakan) terpaksa meninggalkan bilik masing-masing apabila getaran semakin kuat. Permulaannya memang kami keliru. Saya sendirinya buat 10 saat pertama tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Saya tergamam. Mujur ada seorang rakan yang cepat mengingatkan, " kita kena keluar ni gempa bumi ni."

Pagi ini kami merasakan sedikit penderitaan seorang pelarian. Menunggu di luar dengan perasaan ketakutan dan kerisauan terhadap rakan-rakan lain.Menunggu di luar bangunan dengan pakaian yang sederhana tebal dalam kebekuan subuh dan bersyukur dengan selimut-selimut yang dikongsi bersama rakan-rakan buat menahan kesejukan. Menunaikan solat subuh di luar bangunan, terketar-ketar sambil diperhatikan kiwis yang sedang berehat di tempat perkumpulan. Bersahur sebelumnya dengan roti dan sardin seperti seorang pelarian- makanan diagihkan-agihkan kepada mereka yang memerlukan.

Akan tetapi, hakikatnya, realitinya jauh lebih dahsyat. Hidup seorang pelarian jauh lebih teruk daripada apa yang saya rasakan semalam. Sesetengah mereka tidak punya selimut yang membantu mereka menahan kesejukan, mereka tidak punya tempat berteduh sementara, malah makanan mereka antara ada dan tidak ada! Belum dikira lagi sumber minuman yang sangat tidak bersih dan sebagainya.Kehidupan pelarian-pelarian Palestina, Pakistan, Acheh, Qom, New Orleans jauh, jauh lebih dahsyat! MashaAllah.

Hati ingin sekali menghubungi ibu-bapa tapi mengenangkan ketika itu Malaysia di waktu tengah malam maka saya terpaksa menangguhkan kerana tidak mahu merisaukan mereka. Maka, kepada rakan-rakan sayalah saya lampiaskan rasa syukur dan gembira, rasa sedih dan sebak.

Alhamdulillah kawasan yang kami berada di Christchurch ii tidak terlalu teruk dilanda gempa jika mahu dibandingkan dengan kawasan bandarnya. Bandar utama Christchurch masih lagi diisytiharkan darurat.

Link ini menunjukkan gambar-gambar kesan gempa di Christchurch: http://www.weatherwatch.co.nz/content/exclusive-photos-25-midcity-mayhem-following-74-quake

 Berita-berita berkenaan gempa : http://www.nzherald.co.nz/

[1]
Apabila bumi digegarkan dengan gegaran yang sedahsyat-dahsyatnya,
[2]
Serta bumi itu mengeluarkan segala isinya,
[3]
Dan berkatalah manusia (dengan perasaan gerun); "Apa yang sudah terjadi kepada bumi?"
[4]
Pada hari itu bumipun menceritakan khabar beritanya:
[5]
Bahawa Tuhanmu telah memerintahnya (berlaku demikian).
[6]
Pada hari itu manusia akan keluar berselerak (dari kubur masing-masing) - untuk diperlihatkan kepada mereka (balasan) amal-amal mereka.
[7]
Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!
[8]
Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)! 


( Al-Zalzalah 99: 1-8)

Inilah tazkirah penghujung Ramadhan untuk kita, sekiranya kita benar-benar mahu melihat dengan mata hati.

Mohon doakan kami semua selamat sepanjang ziarah di Chistchurch ini dan juga kepada semua penduduk-penduduk Christchurch. Kita ialah umat Islam yang sentiasa mendoakan kesejahteraan ummah yang satu.
Salam.

1 comment:

SyaZwan said...

Alhamdulillah korang selamat wankhai =)