Sunday, September 12, 2010

Ubah.

( Botanical Garden, Christchurch, 2 hari sebelum gempa- foto saudara Naim Shafie)

Bukan senang nak bertamayuz. Itu suatu hakikat. Saya mungkin sahaja berkobar-kobar ingin mempraktikkan apa yang saya teladani daripada erti sebuah jahiliah dan hakikat perlunya kita bertamayuz dengan banyak perkara....

Tapi Allahu Allah, bukan senang mahu bertamayuz itu , kalian!

Apabila kita bertamayuz atau cuba untuk tamayuz, kita sebenarnya cuba melawan arus kebiasaan.
Kita melawan kehidupan kita yang lampau.
Kita cuba untuk menyatakan dengan tegas kepada suatu kehidupan yang dipandang norma dan biasa, "TIDAK! Aku seorang muslim dan ini bukan cara hidup yang terbaik!"

Susah!

Tapi Allah dah memperingatkan kita awal-awal lagi, Dia tidak akan membebankan hambaNya melebihi kemampuan hambaNya ( Al-Baqarah 2: 286). Maka saya perlu tabah dan cuba sebaik mungkin. Saya perlu yakin dengan janji Allah.

Maka dengan itulah saya memerlukan rakan-rakan yang sentiasa memperingatkan dan rela diperingatkan. Saya perlu mengubah diri saya supaya terbuka untuk diperingatkan oleh rakan-rakan. Saya perlu terbuka dengan nasihat dan bersedia menerima teguran.

Saya pernah melalui suatu zaman di mana persahabatan itu bagi saya hanyalah suatu fabrikasi dan ikatan longgar yang didasarkan atas kehendak material dan akhirnya tertakluk pada kerangka masa. Di suatu masa dialah kononnya kawan sejati, di masa akan datang mungkin nama kita sendiri sudah tidak diingat. Di zaman itu saya hanya tersenyum dan riang begitu sahaja dengan kelibat rakan-rakan yang gembira dengan saya yang jarang sekali menunjuk muka kurang senang atau yang mudah sekali diambil kesempatan. Ya zaman itu sudah lama berlalu. Apabila kita sudah meningkat dewasa, kita sudah kenal, rakan-rakan kita yang mana boleh membawa kita ke syurga, rakan mana yang boleh membawa kita ke neraka.

Saya sendiri lama memikirkan, terasa dekat sekali ciri-ciri peribadi saya ini dengan ciri-ciri seorang manusia yang membawa rakannya ke neraka.

Jadi apalah dengan angan-angan agung saya ini, kononnya ingin bertamayuz dengan dunia?

Saya sedar hakikat ini. Di mata banyak pihak saya ini tidak lain tidak bukan hanyalah seorang manusia yang baru sahaja menerima suatu idea baru dan berkobar-kobar sekali untuk mempraktikkan idea tersebut. Tamayuz itu suatu kemustahilan, bagaimana seorang insan kerdil boleh menggugah arus kehidupan dunia?

Tapi sampai bila saya boleh terus menjadi insan kerdil itu? Apa saya mahu jadi apa yang Syed Qutb katakan sebagai manusia yang hidupnya kerdil, dan matinya pun kerdil?

Rakan-rakan yang jauh dan yang dekat, peringatilah saya apabila saya mula tersasar. Saya menyedari bahawa diri saya ini bukanlah seperti Mus'ab bin Umair, yang apabila dihantar sendirian ke Madinah, berjaya mengislamkan rakan-rakan penduduk bandar itu. Mus'ab pemuda hebat, rijal sejati.

Saya hanya seorang manusia yang selalu benar tersasar.

1 comment:

Muhammad Hilmi said...

sob2..sedih juga mengenangkan diri ini..sanggup mengorbankan prinsip yang dipegang semata-mata kerana kepentingan dunia.