Tidak semua kita-kita ini Allah kurniakan dengan ibu-bapa yang soleh dan solehah. Tidak semua daripada kita-kita ini Allah kurniakan dengan pengalaman hidup dalam baitul muslim.
Namun hati. Jangan bersedih. Jangan tewas dengan tipuan syaitan.
Usah disangka ketidaksolehan ibu bapamu itu petanda dirimu tiada erti buat mereka. Jangan disangka bahawa cinta dan sayang seorang ibu, seorang bapa memerlukan ketaatan kepada Allah untuk dimanifestasikan. Tidak. Cinta itu sunnah alam. Yakinlah, ibu-bapa kalian, meski di mata kalian ada cacat celanya adalah hadiah Allah untuk kalian.
Jauhkanlah diri daripada bersangka buruk terhadap ibu bapa kita. Siapalah kita untuk membuat prasangka buat insan-insan ini yang bersengka mata memujuk si kecil di waktu malam, yang mengikat perut memastikan anak-anak mereka lena tidur dek kekenyangan. Ya, mereka mungkin lalai dengan urusan agama, namun dalam banyak perkara lain, mashaAllah mereka sangat menabur jasa.
Prasangka kita terhadap ibu-bapa kita sebenarnya boleh menampakkan wujudnya bibit-bibit takabbur dalam hati kita. Ketidaksenangan kita terhadap ibu bapa kita seolah-olah kita merasakan kita sudah lebih hebat daripada mereka. Naudzubillah min dzalik.Janganlah kita berasa bangga dengan mampunya kita menghafaz beberapa surah panjang dalam Quran, sedang ibu bapa kita masih tersangkut-sangkut atau mungkin tidak tahu membaca langsung. Janganlah berasa angkuh dengan pengalaman kita mengkaji berpuluh-puluh makalah-makalah ilmu duniawi dan ukhrawi, sedang ibu bapa kita hanya sekadar tahu menahu akan dunia menerusi berita televisyen dan suratkhabar tempatan.
Detik kalian merasakan sedemikian, ketahuilah bahawa di sisi Tuhan-Nya, ilmu itu tidak menambah manfaat buat kalian sedikitpun- meski ilmu kalian setinggi kalian kalau dibandingkan.
Janganlah lesu mengajak ibu bapa kita ke lembah yang lebih baik daripada keduniaan dan kesibukannya, apatah lagi sebilangan kita sudahpun merasakan betapa indahnya hidup berpandukan Islam secara menyeluruh. Tetapi janganlah kita merasakan mereka dalam lembah kehinaan. Maha suci Allah, bukan begitu caranya kita berdakwah kepada ibu bapa kita.
Kesangsian ibu bapamu buatmu bukanlah petanda mereka bodoh. Mereka mungkin sahaja benar-benar tidak tahu, lantas benar-benar tidak memahami. Keadaanmu yang kecewa dan melampiaskan kekecewaan ini dengan kata-kata yang mengguris hati ibu bapamu hanyalah merosakkan hubungan kekeluargaanya yang suci martabatnya dalam Islam, malah merosakkan imej agama ini yang meletakkan ibu dan bapa di bawah darjat Rasulullah sendiri.
Perbaikilah dirimu juga kerana ibu bapamu, meski di bibir-bibir mereka menyatakan ketidakyakinan terhadap hijrah yang cuba kamu sarankan, mereka akan cuba memahami, inshaAllah kalau saja kamu mengurangkan kata-kata, sebaliknya menambah hujah dalam amalan.
Akhirnya, sekiranya segalanya tidak berhasil, yakinlah dengan janji Allah. Bersabarlah. Lembutkanlah hatimu dengan kepercayaan bahawa hidayah itu ialah hak mutlak milik Allah yang mahu mencampakkannya kepada sesiapa yang Dia mahukan. Doalah kepada Tuhanmu seikhlas mungkin.
Dan doakanlah kesejahteraan ibu bapamu dunia dan akhirat, kerana sekiranya kita ini anak yang soleh di mata Tuhanmu, doa ini akan menjadi kiraan amalan untuk ibu bapamu kelak, sesuai dengan kata-kata Junjungan Mulia :
Apabila seorang anak Adam itu meninggal dunia, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang bermanafaat dan doa anak soleh yang mendoakannya (Hadith Riwayat Muslim).
No comments:
Post a Comment