Tuesday, November 10, 2009

Feminisme dan Duduk Letak Islam

Bukankah Islam dan Duduk Letak Feminisme  lebih sesuai?

Tapi sengaja penulis rangkakan sebegitu. Di Malaysia ini, feminisme dilihat dengan kaca mata negatif oleh sesetengah aktivis-aktivis Islam.Kebanyakan hanya serkap jarang  mengaitkan feminisme hanya pada kumpulan NGO Sisters in Islam dan Amina Wadud, bekas dosen UIA yang menimbulkan kontroversi dengan mengetuai solat Jumaat di sebuah dewan gereja yang disewa( gereja bukan isu di sini). Sedangkan feminisme itu luas dan Islam itu sendiri agama yang feminis.

Emansipasi wanita sebenarnya telah mula lama di Tanah Melayu atau lebih luas, Tanah Nusantara ini. Orang wanita sejak zaman pra- Islam lagi telah aktif dalam perniagaan dan kerja seni. Kalau di sesetengah kawasan Muslim atau hatta di sesetengah bahagian Eropah pun zaman selepasnya, wanita Nusantara telah terdidik dengan ilmu. Diam mereka di rumah bukanlah sekadar tahu membasuh baju menanak nasi menyulam baju.

Wanita seantero Nusantara dahulu berani meredah hutan nan tebal, dan kenal pula segala jenis tumbuhan herba dan khasiatnya. Dibawa tumbuhan-tumbuhan ini ke rumah dibuat hiasan seni taman. Umpama kedai ubat di tepi rumah sahaja. Bayi hidungnya berdarah si ibu menjenguk sahaja jendela teratak dan menarik daun sirih , digulung-gulung dan diletak pada hidung bayi. Hendak menanak nasi lemak hanya ke belakang rumah mengorek beberapa ketul halia, mencabut segenggam kecil daun pandan, dan kelapa di laman dikupas dan diparut dibuat santan. Siap.

Perlukah mereka bergantung pada "sang suami' untuk  ke 'kedai' buat membeli segala? Tidak.

Islam di Nusantara  zaman itu juga tidaklah melarang si isteri terduduk diam dalam rumah sahaja. Mekanisme 'kenduri kendara' yang dibid'ah-bid'ahkan ulama kini itulah cara wanita-wanita ini bersosial dan menurun ilmu dan budaya. Makcik-makciklah mengetuai 'kumpulan masakan', si lelaki hanya tukang kacau saja,  sementara anak-anak dara sunti menunggu pinangan mengait sapu tangan buat cenderamata kariah masjid yang bernazam dan bermarhaban, atau tolong mengupas bawang segala sambil bertangis-tangisan. Si anak-anak kecil pula berlari-larian tolong membawa gulai atau menukar daun pisang alas makanan.

Aman dan harmoni. Apa wujudkah diskriminasi wanita dalam situasi ini? Lelaki atau wanita, yang didahulukan dalam tradisi Melayu ialah betapa tuanya mereka, bukan gender mereka. Tua itu pengalaman.

Apa sekalipun, kita Muslim perlu menerima hakikat bahawa Rasulullah itu seorang feminis. Betapa banyak perubahan yang baginda lakukan terhadap nasib wanita di zaman baginda.
Tetapi setakat itu sahajakah tajdid islami terhadap hak-hak wanita?

Kita mungkin tidak boleh mempertikai hadis-hadis dan ayat Quran yang jelas menyebut hukum ini dan itu. Namun kenyataan para aktivis Islam yang memarahi dengan emosi itu ini berkenaan pandangan Sisters in Islam itu juga tidak ada apa gunanya.Dengan semberono itu jugalah dilemparkan "anti- Quran" dan sebagainya pada NGO ini.

Bagi  penulis, kebebasan bersuara kini menuntut para aktivis untuk lebih bijak mengawal emosi dan mencabar intelektualiti diri.

Kenapa masalah harta pusaka iaitu lelaki dua bahagian dan wanita satu bahagian misalnya tidak dikaitkan dengan Hibah ( hadiah)? Sebenarnya boleh sahaja para aktivis berhujah bahawa walau ditetapkan sebegitu dalam Quran, si ibu bapa boleh saja menghibahkan harta tertentu kepada si anak perempuan , justeru harta tersebut tidak termasuk dalam senarai harta pusaka lagi. Tetapi perlulah ada wasiat yang diwujudkan. Itulah dia.

Tetapi majoriti umat Islam tahukah perkara ini? Berapa ramai umat Islam yang tahu kepentingan berwasiat demi keutuhan keluarga? Jadi apa yang aktivis-aktivis Islam buat berkenaan hal ini? Lihat secara lebih luas. 'Ketidakadilan' yang wujud di sesetengah hukum dalam islam sebenarnya boleh sahaja dijelaskan apabila mengaitkan dengan hukum yang sedia ada juga. Hibah dan Faraid boleh wujud serentak Si mualaf yang tidak boleh mewariskan harta buat keluarga yang bukan islam boleh sahaja menghibahkan harta beliau itu. Itulah Islam. Tidaklah kejam sepertimana yang dituduh. Aktivis-aktivis Islam perlu menjauhkan diri daripada hujah ringkas "ini arahan Tuhan dalam Quran dan Sunnah" seolah-olah Tuhan tidak pernah menyuruh kita berfikir dan mengikut membabi buta. Yang Tuhan larang hanyalah memikirkan zat-Nya, yang lain silakanlah berfikir secara sihat dan patuh syarii.

Zaman dahulu, kenapa perempuan Melayu Nusantara tidak kisah dapat hanya separuh bahagian lelaki ? Mereka perempuan? Mungkin. Mereka punya suami? Mungkin.

Tetapi mungkinkah keadaan sosial ketika itu menjaga wanita tanpa perlu lagi kepada berebut-rebut harta? Bukankah ini juga suatu kemungkinan?

Dahulu, yang menjaga anak-anak perempuan dan isteri bukanlah hanya ibu bapa dan suami, tetapi seluruh masyarakat tersebut! Rasa kemasyarakatan  itulah 'menutupi' semua 'ketidakadilan' yang wujud ini. Apalah sangat harta kalau dibanding dengan budi dan pekerti dan maruah. Begitulah rumpun Melayu Nusantara kita ini dahulunya.

Rumah tidak berasap si saudara di hujung kampung datang menghantar beras. Imam dan bilal kampung datang memberi zakat beras yang disimpan di gudang masjid. Kemana-mana seluruh negeri punya tempat berteduh. Yang bau-bau bacang juga tidak segan menawarkan tempat bersinggahan. Si suami berdagang jauh ke negeri orang, jiran-jiran yang kebanyakannya saudara mara sendiri tidak sekadar menengok , tetapi bersedekah tanpa rasa rugi dan penuh keikhlasan pada isteri dan anak yang ditinggalkan. Anak perempuan jiran umpama anak perempuan sendiri.  Mahu belajar mengaji si lelaki perempuan diajar tanpa prejudis. Pantun dan gurindam mercu kekuatan moral umat Melayu jadi hafalan si teruna dan si gadis, imam masjid dan nenek bidan. Walau si lelaki yang empunya harta yang lebih banyak, tetapi si lelaki tidak punya masa untuk bersuka ria dengan harta . Adik perempuan terabai orang kampung akan mengata dan mengambil tindakan. Memulau itu biasa, menegur akan lazim. Si lelaki dapat tanah, tetapi memang kebiasaan si perempuan menyimpan emas dan hiasan. Rumah juga kebiasaanya akan dapat ke perempuan. " Lelaki merempat tidak apa, tetapi perempuan tidak sama sekali". Nah begitu tinggi sekali apa yang perempuan dapat, "harta dan PERHATIAN dan JAGAAN masyarakat".

Tetapi apakah perempuan masih sebegini? Di sesetengah kawasan umat Islam di negara lain, pengaruh budaya yang teruk menyebabkan perempuan dikongkong sebegitu rupa- jatuh daripada manusia kelas dua kepada hamba seks dan pengasuh semata-mata. Salah Islamkah? Tidak. Lihatlah di Nusantara . Bukankah kita Islam  juga? Tetapi kenapa di zaman lampau wanita boleh saja beroleh ilmu dan berniaga segala?

Mungkin salah KITA sebenarnya. Kita yang meruntuhkan kekuatan masyarakat yang dibina atas dasar PEDULI yang cukup Islami. Ketidakpedulian kita itulah , yang sekadar menggeleng kepala melihat kebejatan sosial dan diskriminasi wanita , membuatkan hukum-hukum Islam menjadi tidak praktikal dan bersifat diskriminasi. Ketidakpedulian inilah yang menyebabkan wanita bingung dan terpaksa mencari sumber lain buat pedoman sehingga mereka terliur dengan wacana feminisme versi lain yang menawarkan penyelesaian bagi masyarakat yang individualistik.


"Kami kaum wanita yang lemah" itu satu kata-kata yang membinasakan dan tidak Islamik pun.Kata -kata "wanita satu akal sembilan nafsu dan lelaki sembilan akal satu nafsu' bukanlah hadis atau kata-kata sahabat ataupun imam-imam syiah sekalipun. Ia hanyalah kata-kata bicara sufi. Tradisi Islam Sunni dan Islam Syiah kedua-duanya menyelitkan sejarah wanita-wanita yang 'bebas'. Saidatina Maryam yang berani mendepani tuduhan berzina kerana yakinnya dengan Tuhan. Saidatina Asiah yang merupakan hamba seorang lelaki berkuasa, pemegang autoriti di Mesir Purba. Tetapi kuasa tidak menggentarkan dan menggoyah haknya untuk percaya pada apa yang dia mahu percaya. Dan siapa tidak tahu Saidatina Fatimah az-Zahra Penghuluwati Syurga, Cinta Imam Ali? Fatimah yang wafatnya Rasulullah berjumpa terus dengan saidina Abu Bakar dan menuntut khums hak Ahlul Bait? Dinafikan oleh Abu Bakar tetapi tidak berputus asa. Dan juga siapa tidak sedih dengan takdir yang menimpa wanita-wanita yang melindungi anak-anak keturunan Rasulullah yang diperlaku sebegitu teruk oleh Yazid bin Muawiyah setelah Perang Karbala? Sehelai sepinggang dibawa dari Karbala ke Kufah ke Damaskus. Ya Tuhan, tetapi wanita-wanita 'bebas ' ini tidak takut pada kuasa melainkan kuasa Ilahi. Tabah dan berani melawan ancaman. Dan kita di Nusantara punya Tun Fatimah yang pandai bersilat dan bermain siasah, punya Ratu Acheh yang mempertahankan keamanan Acheh, punya orang Minang yang wanitanya cukup berilmu.

Inilah wanita-wanita sejati. Mereka telah mencapai emansipasi dengan erti kata sebenar. Mereka dibantu agama, dan diterima oleh masyarakat. Tetapi kini?

Penulis merupakan bekas pelajar TESL di Kolej MARA Seremban.

p/s: sangat berterabur dan kucar kacir. kalau ada cadangan sila kemukakan ya. ini post spontan, jadi hasilnya sedikit bangang lah. hehe.

No comments: