Saya tidak percaya kepada kedaulatan bahasa, kesucian bahasa dan sebagainya.
Saya hanya percaya kepada kelangsungan bahasa.
Bahasa "suci" seperti Sanskrit, dan Latin sudah ditelan zaman kerana terlalu tegas dan enggan berubah.
Bahasa agama seperti Hebrew, Arab, Sanskrit dan Latin itu pun masih wujud kerana ia bahasa dalam ibadah, itu saja.
Saya hairan.
Ya mungkin kalian yang pernah terkunjung blog ini dan sedar yang saya menentang PPSMI.
Tetapi yang menentang PPSMI ini pula, ada sebilangan kecil enggan menerima revolusi bahasa.
Mahu dibiarkan bahasa di takuk lama.
Bahasa bukan agama.
Tidak ada istilah "bid'ah" dalam bahasa.
Saya peduli apa dengan "rejuvenasi" dan " inovasi" dan " histologi" dan "historiografi" yang dipinjam daripada bahasa Inggeris itu.
Saya tidak kisah jika "penambahbaikan" disamamaksudkan dengan "renovasi".
Bahasa Inggeris itu juga meminjam-minjam.
Semua bahasa moden kini meminjam-minjam.
Nenek moyang kita lebih terbuka. Apa juga tamadun yang singgah dan wujud ke nusantara diambil buat diksi bahasa. Sanskrit, Portugis, Arab, Jawa, semuanya disatukan.
Kalau bahasa Melayu mahu kekal relevan, maka kita perlu bersedia untuk melepaskan 'benteng-benteng' tradisi dan 'kesucian' bahasa ini. Kita perlu menjadi seperti nenek moyang kita yang cukup terbuka dahulu.
Bahasa Melayu perlulah sentiasa dalam proses pengayaan diksi untuk terus 'berdaya saing' .
Jangan jadikan kedegilan sesetengah ahli bahasa itu membawa kebinasaan bahasa ini.
Lihatlah apa yang telah jadi dengan bahasa Greek yang tiada apa-apa nilainya sekarang melainkan dalam kajian sejarah tamadun justeru untuk menjadi bahasa ilmu pengetahuan yang kian hari kian berkembang, bahasa juga perlu sentiasa berubah dan terus berubah.
Kalau tidak, pupuslah Bahasa Melayu ini.
Terpulanglah sama ada kita mahu melabelkan"pengawal bahasa" atau "revolusioner bahasa" yangmerupakan 'teroris bahasa' sekarang ini.
Sekadar pandangan.
-Penulis merupakan bekas pelajar jurusan TESL di Kolej MARA Seremban
No comments:
Post a Comment