Sunday, November 1, 2009

Kita Mahu Macam-Macam.

Dalam sesebuah masyarakat, terutamanya masyarakat berbilang kaum dan budaya seperti di Malaysia, setiap kelompok dalam masyarakat seolah-olah mempunyai aspirasi tertentu dalam menentukan hala tuju bangsa nasional mereka. Hal ini boleh sahaja dipengaruhi oleh tekanan budaya atau agama, atau usaha kerajaan yang telah menjadikan sesuatu ideologi itu perkara yang bersifat utama dalam menuju integrasi nasional.

Tetapi tidak semua daripada kita akan bersetuju dengan apa yang sesuatu "kerajaan" mahukan.

Ada yang mengimpikan sesuatu jenis perpaduan yang nyata merentasi batasan agama , kaum malah mungkin sahaja geografi. Ianya sejenis perpaduan global yang dinaungi satu budaya, kesan globalisasi yang membolehkan asimilasi suatu budaya masyarakat lain untuk dinormalkan di masyarakat tertentu, meski berbeza keadaan sosiobudaya dan geopolitiknya. Perpaduan global ini merupakan angan-angan ahli ekonomi neoliberal yang mengimpikan sistem ekonomi kapitalisme sebagai tunjang ekonomi dunia, meski wujud bantahan dan respon negatif daripada masyarakat lainnya, contohnya Presiden Iran Mahmoud Ahmadinejad yang mengisyaratkan kejatuhan kapitalisme apabila krisis ekonomi dunia berlaku kini. Tidak kurang juga pandangan-pandangan cerdik pandai terutamanya dari Asia yang mengatakan bahawa perpaduan global ini hanyalah satu angan-angan dan impian jahat Amerika dalam melaksanakan Imperialisme Baru ataupun dengan erti kata lebih luas, sesuatu penjajahan budaya luar ke atas budaya-budaya lain yang bersifat Euro-centric.Tetapi kita tidak boleh menafikan bahawa  memang ada di antara kita sendiri ingin mengecapi apa yang dikira mustahil, sejenis perpaduan yang menghapuskan prejudis, meliberalkan agama dan geopolitik , mengaburkan sempadan negara dan bangsa. Tampak mustahil. Malah mungkin cukup "mustahil" sehingga wujudnya satu kelompok neo-hippie atau New Age yang mengatakan bahawa pada tahun 2012, berbeza dengan pandangan sesetengah ahli teori konspirasi bahawa akan berlaku kehancuran dunia, mereka mengatakan bahawa pada 2012, seluruh dunia akan mengalami perubahan spiritual , di mana semua daripada kita akan menerima doktirn perpaduan global dan menuju era baru yang harmoni dan bahagia. Seolah-olah kini, manusia mustahil menemukan kedamaian dalam susasana kita sekarang. Seolah-olah agama, budaya dan identiti diri kini mengalami krisis kegersangan sokongan atau sebaliknya ekstremisme , sehingga tidak ada lagi yang mampu dibuat melainkan Tuhan/ atau apa sahaja entiti yang dikaitkan dengan Mistik yang mengubah keadaan manusia secara terus: 'divine intervention of the highest order'.

Dalam skala yang lebih kecil, wujudnya satu impian yang ingin menjadikan agama sebagai asas perpaduan. Tambahan pula, dengan suasana kacau bilau yang berlaku sekarang, yang bagi hampir kebanyakan agama, menampilkan ciri-ciri akhir zaman, seperti yang dipercayai dalam Judaism, Christianity dan Islam, hatta dalam doktrin-doktrin fahaman-fahaman terkemudian seperti Zionisme,Thelema dan Church of Satan, ciri -ciri akhir zaman atau apocalyptic ini menimbulkan keresahan terhadap sebilangan masyarakat yang jumlahnya cukup signififikan untuk menarik perhatian dunia mengenai perpaduan intra-agama ini. Ianya sejenis perpaduan di mana dunia ini dibahagikan mengikut kelompok agama semata. Barat digeneralisasikan sebagai Kristian, China sebagai Buddhism dan fahaman Confucius, India sebagai Hinduisme, Timur Tengah dan Asia Tenggara sebagai Islam dan sebagainya. Perpaduan inter-agama pula kelihatan sangat janggal, dan bagi sesetengah agama dikira "haram" dan suatu kesesatan yang paling melampau.Sikap perpaduan intra-agama ini jelas kelihatan bagi pendokong ideologi Qutbism ( fahaman Syed Qutb) dan perpaduan ala Ikhwanul Muslimin seperti tokohnya Hasan al-Banna yang menyeru kepada pan-Islamisme dan kesatuan sejagat sesama muslim seantero dunia. Alternatifnya ialah gerakan parti politik Hizb at-Tahrir yang menolak demokrasi dalam menuju matlamat yang sama dengan Ikhwan Muslimin- suatu kerajaan tradisi Islam yang dipanggil "Khilafah Islamiah" yang terhapus semenjak 1924 pasca Perang Dunia Pertama, meski wujud teori bahawa telahpun berkali-kali "khilafah" jatuh sebelum itu dan bangkit semula secara organik, bukannya bersifat terus menerus sepertimana jawatan Pope Kristian yang bersifat "apostolic succession". Dalam mencapai perpaduan intra- agama Islam ini, terdapat pelbagai masalah, antaranya keadaan geopolitik negara-negara umat Islam, mazhab Islam yang pelbagai dan dinamik di sesetengah tempat dan rigid dan ketat di negara-negara lainnya, campur tangan kerajaan yang terdiri daripada kerajaan ultra-sekular, sekular, conservatif, tradisionalis dan nasionalis, malah tentangan ataupun pertikaian dalam kalangan ulama sendiri. Antaranya ialah isu Kaum Muda yang dipertikaikan Kaum Tua di Malaysia dan Indonesia dahulu , sikap ulama Saudi yang skeptikal terhadap Qutbisme yang membawa kepada penahanan pendokong fahaman Islam ini, dan juga kewujudan fahaman-fahaman liberal Islam yang menyerupai apa yang telah berlaku terhadap agama Kristian dan Yahudi yang kini terlalu pelbagai fahamannya.

Dalam Christianity misalnya, Gereja Roman Catholic bertindak sebagai majoriti dalam masyarakat Kristian. Namun sejarah menunjukkan kita bahawa Christianity mengalami perpecahan melampau dengan Great Schism - pemisahan Gereja Barat ( Roman Catholic Church) dan Timur  ( Orthodox) yang dipenuhi dengan excommunication dan kecaman sesama mereka. Kewujudan Protestanisme menambah lagi kekacauan bila mana Protestanisme itu kini terdiri daripada beribu-ribu pandangan alternatif yang menolak pandangan utama dalam mazhab Katolik. Ini belum dikira lagi dengan Church of Latter Day Saints /Mormonism yang datang dengan "nabi" baru dan kitab baru untuk digandingkan dengan Holy Bible, ataupun Unification Church/Moonies yang dibawa oleh Sun Myong Moon . Zionist Christians dan sebilangan gereja evangelis seperti Milleanist Christians pula menyokong kewujudan negara Israel di wilayah Palestin untuk membolehkan ramalan kepulangan Jesus Christ menjadi nyata, manakala gereja Eastern Orthodox dan R oman Catholic Church sendiri menolak doktrin ini. Perpaduan intra-agama ini mula ditampilkan apabila mendiang Pope John Paul II/ Papa Joanes Paulus II mula mengajak diskusi sesama mazhab Kristian dan mengajak gereja Ortodoks untuk menarik balik excommunication sesama mereka sebelum ini. Tetapi ianya lebih sukar buat gereja Protestan kerana ianya terlalu banyak dan berbeza-beza, seperti mana Anglican Church/ Church of England yang bersifat pertengahan antara Katolik dan Protestan hasil tradisi monasterial mereka , kepada sesetengah gereja yang menyifatkan gereja Katolik sebagai Anti-Christ dalam erti simbolik dan literal.

Judaisme turut menerima nasib serupa. Dengan kewujudan mazhab Orthodox, Modern Orthodox, Hasidic Orthodox ( ultra-Othodox), Conservative, Reform, Reconstructionists, Humanistic Judaism , dan juga kelompok Haskalah di Amerika dan Eropah yang bersifat sekular dan mengesampingkan ibadah Judaisme,  ia seolah-olah membayangkan mustahilnya perpaduan intra-agama dalam fahaman monoteisme terawal di dunia ini.

Walaubagaimanapun, dalam ketiga-tiga ajaran agama ini, kesemuanya menyeru kepada suatu sistem dan pemerintahan, Islam dengan khilafahnya, Kristian dengan idea Kingdom of Heaven, dan Yahudi dengan pembinaan sebuah negara bangsa Israel di mana Haikal Sulaiman di Palestin menjadi mercu kedaulatan. Aspirasi ini membuka peluang pada ahli-ahli agama dalam agama mereka menyeru kepada perpaduan intra-agama dan memilih pandangan supra mazhab dalam menguatkan agama mereka.

Namun tidak dilupakan juga, kehadiran nasionalisme sekularisme juga membawa matlamat perpaduan nasional yang berlandaskan bangsa dan negara. Indonesia, misalnya, di dalam kedua-dua Order Lama dan Order Baru, memperlihatkan usaha-usaha perpaduan nasional di mana segala unsuru-unsur agama dan budaya dikaburkan dan membentuk suatu budaya tunggal yang benar-benar "Indonesia". Islam dikesampingkan di dalam negara dan pemerintahan secara sistematik, dengan Pancasila menjadi asas ideologi negara. Majlis Fatwa Indonesia hanyalah satu majlis yang boleh menasihati berkenaan fatwa tanpa kuasa legislatif, malah selalu dimomokkan dan dibandingkan dengan Majlis Fatwa dalam Muhammadiyah dan Nadhlatul Ulama' yang kelihatan lebih berkaliber. Di bawah presiden Sukarno yang sekular, fahaman Islam liberal mekar di Indonesia, dengan fahaman ini berjaya meresap masuk ke dalam institut-institut agama seperti Institut Islam Yogjakarta dan Jakarta, dan wujudnya aktivis Islib seperti Prof Nurcholis Majid yang terkenal dengan pandangan beliau akan kemungkinan bolehnya bukan Islam memasuki syurga dan Drs Siti Musdah Mulia yang mengatakan bahawa golongan homoseksual diterima dalam Islam. Di Indonesia juga wujudnya rumah-rumah ibadat yang digunakan secara bersama oleh beberapa agama, satu yang dikira pelik di kaca mata orang Malaysia, jiran mereka. Dari segi budaya pula, orang-orang Cina tidak dbenarkan untuk menggunapakai nama Cina mereka, sebaliknya perlu memakai nama Indonesia. Selepas berpuluh-puluh tahun proses asimilasi ini berjalan, dengan sistem sekolah satu aliran yang dijalankan di negara tersebut,  kita melihat bahawa Indonesia secara amnya mempunyai semangat perpaduan nasional yang tinggi jika dibandingkan dengan Malaysia, negara jirannya.

Sebagai perbandingan, Malaysia, sebuah negara yang mengejar status negara maju, masih lagi dipengaruhi unsur-unsur kaum , agama dan budaya. Lebih konservatif daripada Indonesia, kerajaan Malaysia selama ini berpegang kepada konsep "Ketuanan Melayu" sebagai kaum majoriti di Malaysia. Islam juga dijadikan agama Persekutuan dalam Perkara 3 Perlembagaannya, dengan peruntukan diberikan untuk membina masjid-masjid dan surau-surau dan agensi-agensi agama. Malah, di Indonesia, parti islamik seperti Partai Keadilan Sejahtera di sana tidak begitu menekankan akan aspek undang-undang syariah seperti hudud dan ekonomi Islam. Sebaliknya, Parti Islam se-Malaysia di negara Malaysia ini menjadikan isu ini begitu sentral dalam kempen politik mereka. Parti-parti bersifat perkauman masih lagi wujud di Malaysia namun parti-parti yang menggabungkan kesemua kaum seperti PKR dan DAP mendapat sokongan yang signifikan di beberapa buah negeri sehingga boleh membentuk kerajaan di Selangor dan Kedah dan dahulunya, Perak, terutamanya setelah berlaku kerjasama politik dengan Pasti Islam se-Malaysia.

Malaysia kini berhadapan dengan golongan-golongan yang mahukan perpaduan dengan erti kata yang berbeza. Terdapat kemahuan untuk mewujudkan negara sekular yang diketuai oleh DAP dan sebilangan aktivis dalam PKR. Aktivis-aktivis hak wanita dan hak homoseksual yang kelihatan berjaya di Eropah dan Amerika cenderung menyokong parti-parti sebegini, demi membawa perubahan kepada rakyat Malaysia. Namun wujud juga aspirasi membentuk negata Islam (meski berlainan versi) dengan mengimplementasikan undang-undang shariah. Ada juga keperluan mendesak terhadap perpaduan nasional, apatah lagi Malaysia berhadapan dengan jiran Indonesia yang lebih besar dalam jumlah rakyatnya dan Singapura yang meski kecil, tetapi telah terkehadapan dalam aspek-aspek ekonomi dan pertahanan.

Dengan cadangan sistem sekolah satu aliran, kerajaan Malaysia mengharapkan agar integrasi dan perpaduan nasional boleh dicapai. Namun, rakyat masih menimbangtara akan kesan integrasi ini terhadap identiti agama dan kaum mereka. Integrasi selalunya membawa kepada korban dan kehilangan identiti sesuatu individu.


Keperluan perpaduan nasional ataupun agama di Malaysia kelihatan begitu mendesak, tetapi sanggupkah kita semua benar-benar 'berintegrasi'?

- Penulis merupakan bekas pelajar TESL di Kolej MARA Seremban. 

4 comments:

Muhammad Hilmi said...

salam ziarah..apa yg ak perhatikan selama ni,integrasi antara kaum menjadi propaganda oleh kerajaaan adalah untuk meraih sokongan dlm mengekalkan penguasaan BN dlm politik Malaysia..aku ada baca satu buku psl 13 Mei karya Kua Kia Soong..sdkit sebanyak menimbulkan keraguan tentang kesahihan fakta dlm buku sejarah masa kita form 5 dulu..ak bknlah penentang tapi x salah kalau nak tau lbih skit daripada seadanya..

Hasmah Markom said...

Kita perlu dapatkan lebih banyak maklumat agar dengan cara ini akan menuntut kita melihat kebenaran yang kini nampaknya kian luntur! Saya suka cara awak, Hilmi - melihat sesuatu itu lebih praktikal, rasional dan ada usaha mencari yang sahih! syabas!

Anonymous said...

salam.

hilmi: you have a point, tetapi di malaysia ini,kedua-dua pakatan rakyat dan barisan nasional terpaksa menggunakan model kerjasama kaum dan integrasi nasional bagi meraih sokongan. cuma BN lebih cenderung kepada konsep "ketuanan melayu" , dan PR berbelah bahagi antara "demokrasi sekular", dan model " negara islam" yang masing-masing ada kelebihan dan kelemahan.propaganda BN ialah " integrasi ini satu sukses", sedangkan mungkin sahaja berbeza.

tetapi hakikatnya, di negara seperti malaysia ini, integrasi kaum merupakan sesuatu yang paling relevan. Pakatan Rakyat menawarkan cara-cara alternatif berbanding BN. Itu saja. Matlamat sama.

PR tak sama dengan PAS. PAS sangat terbelakang dalam kerjasama kaum, relatively compared to BN as a whole. PAS masih lagi tidak berani mengorbankan prinsip demi matlamat ini. huhu.

salam.

-wankhai-

Anonymous said...

salam.

pn hasmah: benar cikgu. kehidupan ini penuh dengan ruang yang kelabu berbanding hitam dan putih.

dan mudah sekali yang putih itu dikaburkan dengan tompok-tompok hitam.

cuma yang teliti dan mahu mencari kebenaran akan ketemu. tetapi jangan tertipu dengan diri sendiri sudahlah. kadang-kadang diri ini suka menipu juga..huhu.

salam.

-wankhai-