Monday, February 16, 2009

In Response to Musawah

Merujuk kepada saranan Musawah oleh NGO Sister in Islam supaya equality of gender diwujudkan dalam Islam dan pintu ijtihad terbuka, saya disini mengeluarkan pandangan saya bahawa maaf, saya tidak dapat bersetuju dengan saranan persatuan tersebut.

Saya menyokong pandangan Persatuan Ulama Pulau Pinang dan Pemuda Pas Perak dalam hal ini.

Pertamanya, mungkin definisi anda dalam equality of gender itu berbeza dengan pemahaman saya. Maka, dalam hal ini, saya, walau menghormati definisi kesamarataan anda, saya yakin bahawa definisi saya dalam kesamarataan gender itu lebih tepat serta lebih berlandas dan menepati syariat, dimana syariat itu mestilah samada Sunnah dan Syiah, perlu merujuk Al-Quran dan Sunnah.

Keduanya, tidak bermakna anda menyarankan bahawa pintu ijtihad perlu dibuka semula memandangkan hakikatnya, pintu ijtihad itu tidak pernah ditutup pun melainkan hanya bagi sesetengah ulama' sahaja seperti al-Fallaq. Malah, kepulauan Nusantara dahulunya yang cenderung pada pegangan penutupan pintu ijtihad ini pun, kita melihat bahawa fikah al- Fathani dan al-Raniri itu sendiri berbeza dengan Tanah Arab, bukti adaptasi suasana dalam rantau tradisional ini dahulunya. Dengan kewujudan ulama-ulama seperti Yusuf Qardhawi, almarhum Dr Zaki Badwi , dan sebilangan lagi ulama kontemporari lain, ini satu bukti jelas bahawa hakikatnya, pintu ijtihad itu telahpun dibuka awal abad ke -20 lagi, seiiring dengan saranan Muhammad Abduh yang mengubah sistem pendidikan Universiti al- Azhar.

Malah, isu ijtihad itu sendiri tidak bermakna hukum-hukum yang qat'i seperti sembahyang, puasa, sistem warisan harta pusaka boleh diubah sewenang-wenangnya, bukan? Seorang mujtahid sebenarnya hanya berijtihad dalam perkara yang boleh dibuka lagi ruang perdebatan. Kalaulah dalam Quran dan Hadis telah jelas akan hukum tersebut, mengapa pula mujtahid-mujtahid perlu mengubah hukum yang jelas dalam Quran dan Sunnah? Kalaulah Quran jelas mengatakan bahawa " telah aku haramkan kepada kamu babi, darah, arak", kenapa pula mujtahid kena mencari cara untuk memanipulasi ayat Quran ini?

Saya memahami bahawa dalam sebilangan perkara, sewajarnya perempuan masa kini mendapat pembelaan. Contohnya, tindakan Taliban untuk menghalang pendidikan bagi perempuan dan hak mengundi merupakan sesuatu yang patut dikesali dan ditentang. Dalam hal ini, ia batas-batas perubahan yang dibolehkan kerana tidak ada dalil naqli yang jelas mengharamkan perkara tersebut.Saya berpendapat bahawa sebenarnya tidak ada masalah dengan Islam, yang masalahnya ialah adat. Adat yang patut diubah, bukannya agama.

Alasan zaman berubah tidak bermakna keseluruhan Islam itu lapuk pula. Kalau anda berkeyakinan begitu, jelaslah ia satu dusta yang nyata kerana walau tajdid segar ialah tajdid yang menyetujui zaman, ia masih berpaksikan Quran dan Sunnah.

Quran dan Sunnah. Quran dan Sunnah.

Apa pandangan anda berkenaan hal ini? Setakat pengamatan saya, kalian meletakkan akal di tempat yang terlampau dalam hal ini. Janganlah menuduh mazhab-mazhab sedia ada tidak menggunakan akal, tidak rasional.

Bukannya apa. Saya sedikit curiga dengan organisasi anda. Maaf. Anda sebenarnya tidak mewakilkan barisan ulama' yang dikktiraf sedunia. Pembahas-pembahas jemputan anda hampir kesemuanya pendukung Gagasan Islam Liberal, dan kami sendiri maklum pandangan gagasan ini pada Quran dan Sunnah. Maka, bagaimana boleh kami menyokong gagasan anda?

Mana mungkin kami boleh menggadaikan Quran dan Sunnah atas dasar peredaran zaman pula?

Betul kan?

Salam. Semoga Allah memberkati saya dan anda, mengurniakan keampunan kepada saya dan anda, dan menggagalkan usaha anda yang tidak menepati Quran dan Sunnah.

Amiin.


No comments: