Friday, October 2, 2009

Menolak Pandangan Raja Petra Kamaruddin.

Saya tidak mahu terangkan panjang-panjang kenapa saya menolak pandangan Yang Mulia Raja Petra Kamaruddin dalam post beliau, " PAS should be told that the Islamic State is a fallacy and does not exist". Pendapat Mehdi Hassan dan Abdassamad Clarke yang menolak kewujudan entiti negara Islam dalam Quran saya tolak, meski saya menghormati pandangan mereka atas dasar kebebasan intelektual.

Mehdi Hassan memetik pandangan ahli sejarah Marshall Hodgson yang menolak kewujudan salah satu entiti Islam ini. Ya, silakan merujuk pendapat seorang "Marshall Hodgson". Untuk berlaku adil, jom kita merujuk pula pendapat seorang profesor daripada  Harvard yang bernama Noah Feldman pula yang menyatakan sebaliknya, bahawa sistem negara Islam wujud. Ok? Tak payahlah merujuk ulama-ulama bijak pandai lagi, kononnya sang orientalis lebih bijak, kan kan?

Ya, saya juga sedar bahawa tidak wujudnya perkataan "daulah" dalam Quran. Dan memang tak pernah wujud satu entiti Kerajaan Islam di satu dunia yang tunggal. Di waktu Kerajaan Abbasiah, ada Kerajaan Umaiyah di Sepanyol dan kerajaan-kerajaan kecil lain. Di zaman Kerajaan Turki Uthmaniah, wujud saja Kerajaan Islam Safavid di Iran yang bermazhab Syiah dan Kerajaan Islam Melaka yang menjadi sekutu Turki di bahagian sini.

Saya bukanlah penyokong PAS. Konsep "negara Islam" ini pun mula digembar-gemburkan apabila gerakan nasionalisme muncul dan bertambah ketara apabila terbentuknya Republik Islam Iran. Dahulunya, yang ada cuma istilah "wilayah Islam" dan "wilayah kufur". Wilayah Islam ialah wilayah umat Islam yang pemerintahnya Muslim, dan pengamalan Islam ada di situ, minimumnya azan berkumandang secara bebas di sana dan solat jemaah dilakukan tanpa rasa gusar. Itu definisi minimum negara Islam. Saya hormati pandangan PAS yang mengikut definisi kitab "Al-Ahkam Sultaniyyah", "Fiqh al-Islami" dan sebagainya yang kelihatan lebih keras dalam mendefinisikan negara Islam, walaupun saya tidak bersetuju akan keghairahan terburu-buru sebilangan penyokong ideologi PAS dalam kondisi hukum dan sebagainya. UMNO pula kelihatan terlalu berdolak-dalik mengenai penyerapan hukum-hakam Islami dalam negara. Tapi janganlah menempelak terus UMNO. Meski saya tidak bersetuju dengan sedikit ideologi dan sistem UMNO, saya melihat bahawa kewujudan sistem perbankan Islam yang saban tahun berkembang menunjukkan sedikit sebanyak kerajaan cuba juga "cater" keinginan sebilangan kita yang ingin menggunakan khidmat perbankan patuh-syariah.

Sebenarnya, kita tidak memerlukan sebuah negara Islam untuk menerapkan pemerintahan Islam. Cukuplah dengan sebuah komuniti Islam yang diketuai seorang Muslim dan wujudnya kedaulatan dalam komuniti itu untuk membolehkan pengamalan Islam. Bukan Muslim tidak tertakluk di bawah undang-undang Islam pun. Masalahnya, dengan situasi global sekarang, "kedaulatan" itu hanya boleh didapati dengan terbinanya sebuah negara bangsa mengikut definisi Deklarasi Woodrow Wilson. Itu saja. Konsep kekhilafahan sejagat memang kelihatan "ambitious" , kalau bukan "absurd" bagi sesetengah pihak. Tapi, saya takkan pula menafikan hukum-hukum yang wujud dalam Quran, yang nampak sangat memerlukan "kedaulatan" untuk melaksanakannya , kerana, buat masa sekarang, ia tertakluk di bawah kondisi pembinaan sebuah 'negara'.

Bodohlah Allah kalau buat undang-undang macam-macam ( majoriti ayat Quran ialah ayat hukum , tahu kan?) tetapi sebenarnya tak payah buat pun kerana "negara Islam" tidak wujud. Kiranya sebahagian besar ayat Quran itu sia-sia. Ya Tuhan, mana mungkin Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana itu bodoh.

Raja Petra memang seorang aktivis politik yang berani. Bagaimanapun, saya menolak pandangan beliau dalam hal Islami sama seperti saya menolak ISA. Namun begitu, saya sebenarnya berharap agar pandangan Raja Petra dibincangkan dalam Majlis Fatwa Kebangsaan, sama ada post-post beliau selama ini mencabar kesucian Islam di Malaysia. Tidak perlu memenjarakan beliau, cuma kalau boleh, biarlah Majlis Fatwa boleh membalas hujah Raja Petra dengan hujahan intelektual juga.

Bukannya apa, sedih melihat komen-komen pembaca blog beliau yang mengkritik Islam nyata-nyata di situ.

No comments: