Friday, July 30, 2010

Rumahtangga.

Percayalah. Saya ini mungkin gemar sekali membuat jenaka kahwin dan sering saja menanyakan soalan pada rakan-rakan, " hoi bila ko nak kahwin ni?".
Tetapi hakikatnya, saya memikirkan juga banyak perkara berkenaan perkahwinan. dan jenaka ini tidak langsung untuk meyakinkan sahabat-sahabat saya bahawa nikah itu bak "semudah" ataupun " sehebat" nikah ala-ala Ayat-Ayat Cinta dan Ketika Cinta Bertasbih. 
Dan saya juga tidak ingin untuk memudahkan-mudahkan perkahwinan, seolah-olah perkahwinan ini isu biasa. Seolah-olah nikah itu cuma bagi pelajar sekadar menyimpan duit, mencari calon, mengisi borang, membuat walimah dan selepasnya tinggal sekali. Usai habis segala maka selesailah perkahwinan.
Kalau di dalam bahasa Inggeris, semua ini, persiapan itu inilah bukanlah perkahwinan dalam erti kata sebenar. "Wedding"- hantarannya, calonnya, borang-borangnya, majlis makannya- ini semua hanyalah "wedding", tetapi bagi Islam, malah bagi semua agama pun, yang kita mahukan ialah sebuah "marriage". Apa yang kita sesetengah gelarkan sebagai "baitul muslim".

Saya telah menghadiri dua sesi forum perkahwinan dalam Islam anjuran Auckland University Islamic Society,dan alhamdulillah sedikit sebanyak saya melihat pelbagai isu yang dibangkitkan dalam forum ini , bermula dari persiapan mencari calon hinggalah ke isu-isu dalam rumahtangga. Dan pengamatan saya ini membuat saya terdedah pada beberapa pandangan muslim-muslim seluruh dunia.

Peserta yang bertanya pada Syeikh Rafat, speaker utama dalam forum ini akan cara beliau boleh berpoligami tanpa redha dan pengetahuan isterinya ( kerana mahu lebih banyak anak, katanya). Peserta yang berpandangan bahawa ianya hak mutlak suami untuk 'memaksa' isteri untuk tidak bekerja- hampir sahaja cara mereka memberi pandangan ini jatuh dalam kancah male chauvinism- saya fikir. Peserta yang berpandangan bahawa dalam rumahtangga, worldly gain tidaklah sepenting pengamalan Islam dalam keluarga. Peserta dan ahli forum yang bersetuju dan tidak bersetuju dengan bolehnya si suami memukul isteri untuk memberi peringatan kepadanya.

Dan saya seorang rakyat Malaysia, yang melihat bagaimana keluarga ala tradisional dan keluarga separa egalitarian wujud bersama, rasa bersyukur. Melihat sendiri apa buruk baiknya sesuatu sistem keluarga itu. Melihat wanita diberi hak pilihan yang lebih banyak berbanding wanita-wanita di sesetengah tempat yang masih lagi berpegang dengan idea-idea pelik berkenaan rumahtangga.

Saya termangu mendengar seorang pendengar menyuarakan pandangan bahawa " wanita, apa pun kelulusannya , kalau dah ada anak dia sendiri akan tidak mahu bekerja untuk menjaga anak dia. karier dia tidak lagi suatu isu". Generalisasi melampau, mungkin? Mungkin dia melihat suasana tanah airnya begitu, wallahualam. Tetapi untuk mengatakan bahawa itu suatu lumrah- oh tidak sama sekali.

Kalau ianya satu lumrah, takkanlah wujud pergaduhan suami isteri dimana isterinya mahu bekerja dan enggan berada di rumah sepanjang masa menjaga anak?

Mungkin saya kononnya diresapi fahaman-fahaman sesat dan moden, tetapi saya susah betul untuk menerima bahawa seorang wanita yang dibelanjakan padanya , misalan sejuta ringgit untuk digunakan belajar perubatan di luar negara, tiba-tiba apabila pulang ke tanah air, enggan berkhidmat atau bekerja kerana mahu menjaga anak. ya, bercuti beberapa tahun untuk menjaga anak, mungkin boleh. Hatta di tanah liberal barat itu sendiri sudah wujud suatu kesedaran bahawa ibu bapa yang terlalu sibuk dengan karier akan memberi impak negatif pada kanak-kanak, makanya ramai ibu ( dan juga bapa ) yang sanggup bercuti beberapa tahun atau bekerja dari rumah untuk memberi tumpuan buat anak.

Tetapi dalam hal lain pula, saya juga rasa wajar untuk pihak yang memberikan duit sejuta ini untuk meminta keluarga ini untuk membayar semula sejuta ringgit ini. kerana dengan sejuta ini boleh saja mereka membiaya seorang lagi untuk belajar perubatan dan akhirnya berkhidmat, Paling kurang pun, patah tumbuh hilang berganti.

Banyak lagi sebenarnya isu-isu yang dibangkitkan dalam forum ini. Tetapi setakat ini sahajalah, mungkin.

Tambah-tambah lagi saya ini pun bujang , tak layak mengulas banyak-banyak isu yang saya sendiri tidak alami dan betul-betul fahami lagi, kan? 

Monday, July 26, 2010

Mendidik dan Mengajar.

Percayalah, tamparan dan tumbukan yang menyenakkan dada jarang akan berjaya mentarbiyah atau mendidik seseorang.
Ianya suatu pengalaman yang saya perolehi setelah lama melihat fenomena didikan ala-ala militari ini.
Hampir sahaja ke tahap 'tidak mungkin' seorang itu menjadi terpelajar dengan ajaran-ajaran ini.
Mendengar kata, mungkin ya. Berdisiplin, mungkin ya. Tidak takut mati, mungkin ya.
Tetapi, jiwa, tidak. Apa ada pada tumbukan dan terajangan dan herdikan dalam mendidik jiwa dan rohani?

Berapa banyak lebam yang kita timbulkan tidak akan menyentuh sudut yang mereput di dalam hati-hati manusia ini, kerana hati itu tidak dibentuk oleh hukuman dan ancaman, hati itu dibentuk oleh perasaan dan semangat.Ianya sama juga sepertimana minda dan akal kita itu tidak dibentuk oleh fakta semata, tetapi ianya dibentuk idea. Kita boleh menyuruh anak-anak kita membaca seluruh buku-buku sains dan sejarah, dan meluahkan semuanya di atas kertas peperiksaan, namun sekiranya generasi terkemudian ini tidak memahami idea agung bahawa sains itu membina tamadun , seni itu mengisi tamadun, agama itu mengisi manusia dan sejarah itu mengulang tamadun, generasi ini tidak akan ke mana.

Islam menyuruh ibu-bapa menyayangi anak mereka. Tetapi Islam juga menyuruh merotan kanak-kanak berusia 10 tahun yang tidak mahu bersembahyang. Maka kejamkah Islam? Tidak, bahkan itu ialah tarbiyah! Makanya, bukankah seorang guru menampar seorang murid yang kurang ajar kepada gurunya juga satu tarbiyah?

Ya, mungkin. Tetapi ianya Ya dengan syarat!

Tarbiyah itu bukanlah rotan. Tarbiyah merotan anak itu sebenarnya ialah suatu tarbiyah untuk si ayah itu sendiri. Betapa agungnya Islam itu melebihi anak yang dibelai dimanja dari kecil. Hakikat rotan itu juga bukanlah penghujung kepada didikan Islami. Sesetengah bapa mungkin menyangka bahawa apa yang Rasulullah anjurkan agar si bapa merotan anak yang enggan sembahyang sudah cukup. Bahkan tidak! Tidak akan kemana-mana libasan demi libasan itu sekiranya si bapa dan si ibu tidak menerangkan terlebih dahulu apa pentingnya solat, tidak melayan anak mereka dengan mesra di waktu lain-lain, tidak mendidik anak untuk memiliki rasa kasih dan hormat pada ibu dan ayah.

Kita melihat si bapa yang tidak pernah berbual mesra dengan si anaknya, leka dengan kerjanya ataupun ibadahnya, sedangkan anak itu suatu anugerah Allah! Tidak hairanlah yang si anak itu enggan menurut perintahnya. Kononnya si bapa merotan anak kerana anak degil dan tidak mendengar kata dan rotan itu akan berjaya mendidik mereka, tetapi percayalah, sekadar rotan dan terus merotan tanpa diikuti nasihat dan kasih sayang hanyalah satu cubaan memuaskan nafsu amarah si bapa dan hakikatnya,  jauh daripada anak terdidik, ianya hanya mewujudkan trauma psikologi buat mereka.

Begitulah juga guru. Kita punya warden-warden yang stres melayan karenah dan kenakalan anak-anak murid di asrama. Kita punya guru-guru yang telah bertungkus lumus merangka pelan mengajar tetapi akhirnya apa yang guru rancangkan itu gagal kerana murid-muridnya di dalam kelas bermain-main di dalam kelas dan tidak menurut kata. Murid-murid tertentu pula telah melakukan sesuatu yang melepasi batas-batas moral dan agama.

Maka tidakkah guru itu wajar berasa marah?

Ya , marahlah. Silakan. Tetapi, ingat, segala amalan di dunia ini dilakukan kerana apa? Kerana Allah dan Rasul-Nya. Maka, silalah marah kerana Allah dan Rasul-Nya!

Apakah memukul budak yang ponteng prep sehingga lebam-lebam itu kerana Allah dan rasul-Nya?
Apakah bersembang-sembang sesama guru ataupun di khalayak guru dan mengatakan bahawa murid ini dan murid itu  'tidak ada harapan', ' bodoh' dan 'bangang' itu kerana Allah dan rasul-Nya?
Apakah merestui si senior untuk memukul junior yang merokok, sedangkan kawan-kawan si senior ini sendiri merokok adakah suatu restu yang mengikut ajaran Allah dan rasul-Nya?

Kita kena berfikir semula beberapa amalan-amalan tertentu yang direstui sekolah-sekolah asrama di negara ini. Junior-junior yang merokok misalan, ditampar , ditempeleng dan dipukul oleh si warden ataupun sang senior-senior sebagai 'ganti' perbuatan mereka tidak akan dikhabarkan kepada jawatankuasa disiplin sekolah. Makanya setiap hujung minggu berpestalah seluruh blok di tengah malam di mana para senior 'mengajar' si junior untuk tidak melanggar disiplin sekolah. Hakikatnya, ramai si 'pengajar-pengajar' itu sendiri perokok tegar. Warden merestui. Didikan,khabar mereka.

Saya tidak ingin membuat generalisasi terus bahawa didikan sebegini langsung tidak berjaya. Tetapi sepanjang pengalaman belajar ini, 90% manusia-manusia ini yang dipukul saban minggu tidak berubah pun. Akhirnya 'didikan ala-ala tumbukan dan hukuman' ini hanyalah suatu 'bayaran' kerana mahu merokok sahaja. Mereka mahu melakukan masalah disiplin, tetapi mereka tidak mahu keluarga mereka tahu dan kecewa dengan mereka, maka mereka ini merelakan badan mereka dilanyak dan dipijak oleh sang-sang senior yang kononnya mendapat izinan guru untuk membentuk  'jawatankuasa disiplin ala-ala teroris' ini.

Persoalannya, adakah semua ini suatu didikan, suatu tarbiyah?

Saya tidak tahu. Sendirilah menentukan.Niat itulah menentukan. Mungkin saranan-saranan dan pandangan-pandangan ini idealistik di zaman ini di mana gejala sosial berleluasa dan karier guru makin hilang 'kemuliaannya', tetapi apapun janganlah menipu diri kita sendiri sewaktu seronok 'mengajar' anak-anak murid ini , " ah aku melakukan sebegini kerana Allah dan rasul-Nya! ", kerana di kemudian hari, si pemilik nama itu sendiri akan bertanya :-

" Apakah kamu melakukan sesuatu untuk memuaskan nafsumu, amarahmu tetapi kamu kaitkannya dengan Aku?"

Di waktu itu, tiada lagi tipu-tipuan dan alasan-alasan.

Saturday, July 24, 2010

Satu Pun Cukuplah.

Cukuplah satu sahaja.

Cukuplah aku mengetahui bahawa nun jauh merentasi lautan, aku punya seorang sahabat yang kami bersama mungkin bagi sesetengah tidak lama, tetapi dia sentiasa berdoa untuk kami berdua, terutamanya aku agar menemukan apa yang aku impikan selama ini : ketenangan dalam hidup, pengisian dalam beribadah dan kepastian dalam iman.

Dan alhamdulillah tsummalhamdulillah, rupa-rupanya apabila kita berpada, redha dengan yang sedikit ini , Tuhan itu boleh sahaja menambahkan rasa cinta yang bertambah erat waktu demi waktu, berbeza dengan ikatan manusiawi yang lain-lain, dan Tuhan itu temukan kita lagi dengan manusia lain-lain yang berjalan di atas titian yang sama ini.

Kerana Tuhan itu Maha Pemurah. Kerana Tuhan itu menepati janji-Nya. Kerana Tuhan itu telah mengisytiharkan pada seluruh petala langit dan bumi  " Sesungguhnya jika kamu bersyukur, akan aku tambahkan lagi!"

Asalnya datang daripada cinta kepada seorang sahabat, cuma seorang.

Saudaraku,
Terima kasih atas tangisanmu dan tawamu selama ini, terima kasih atas untaian-untaian katamu penuh nasihat dan kasih sayang, dan terima kasih kerana kamu tidak pernah melepaskan tanganku meski sebelah langkah kakiku telahpun ku jejaki di lembah kebinasaan.

Di waktu 'persahabatan' padaku hanyalah satu helah manusia-manusia yang mengambil kesempatan, kamu bersamaku di waktu aku membencimu, kamu bersamaku di waktu aku menghina pendirianmu, kamu bersamaku di waktu hatiku tertutup dek tipu daya persahabatan.

Kamu pantas mengetahui bilakah tawaku hanya lakonan, dan betapa bencinya aku ketika itu padamu kerana aku tidak boleh merahsiakan apa-apa daripadamu.

Di saat ini baru kusedar betapa aku harus bersyukur kerana kamu pernah hadir dalam hidupku.
 Dan baruku sedar bahawa aku benar-benar mencintai kamu, saudaraku.

Wednesday, July 21, 2010

Empat Hari Cuti Seminggu?

Tuhan bagi kelapangan masa itu bukannya untuk kita berlapang-lapangan sungguh-sungguh, saya rasa.

Dan ia merupakan suatu nikmat besar yang Allah berikan kepada saya misalan, apabila saya hanya punya tiga hari kelas akademik seminggu .

Isnin, Selasa, Rabu...habis. Habis ?

4 hari "weekend". 4 hari sebagai hari hujung minggu.

Maka untuk apakah?

Dahulunya saya berfikir-fikir untuk memuat turun beratus-ratus filem dan drama bersiri untuk ditonton sepanjang minggu. Yalah, bila lagi mahu tengok kan?

Tapi, kemudian, Tuhan ini bagi kelapangan masa bukanlah saja-saja, saya yakin.

 Mungkin nikmat ini satu teguran daripada Dia, dan mungkin juga satu peluang daripada Dia.

Maka alasan apa lagikah untuk tidak mengguna masa untuk menambah faham dalam agama?
Maka alasan apa lagikah untuk tidak menunaikan hak anggota badan dan tuntutan menjaga kesihatan?
Maka alasan apa lagikah untuk tidak menambah kecintaan pada ilmu , apatah lagi dengan sumber ilmu di hadapan mata, yang kadang-kadang tidak menuntut walau sesen pun untuk didapatkan?
Maka alasan apa lagi untuk tidak berziarah sesama rakan-rakan?
Maka alasan apa lagi untuk tidak mencari kedamaian dalam alam?

Dan Tuhan itu telah memberi peluang yang besar amat ini untuk hampir kepada-Nya. Hampirlah pada si Dia yang mencipta gunung-gunung gagah dan teguh, hampirlah pada Dia yang memiliki segala ilmu yang tersembunyi dan yang telah dijumpai, hampirlah pada Dia yang menyatukan hati-hati manusia atas nama kemanusiaan yang suci, hampirlah pada Tuhan ini yang memberi amanah jiwa, akal , badan dan nafsu sebagai ujian daripada si Pemilik segala sesuatu. Dekatkanlah diri pada-Nya melalui cara mana sekalipun ,ditambah lagi dengan amalan yang telahpun diwajibkan kepada Kita. 

" Maka apakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu secara main-main ( tanpa ada maksud) dan bahawa Kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? " ( Al-Mukminun: 119)

Sunday, July 18, 2010

Kebaikan Itu Meminta Pengorbanan.

Sesetengah daripada kita ingin memperoleh kebaikan. Ingin mendapat kebaikan. Ingin ke arah jalan kebaikan. Tetapi tidak mahu berubah. Makanya bagaimana?

Jalan ke arah kebaikan itu bukannya mudah-mudah belaka.Kita punya nafsu yang membuak-buak akan nikmat dunia, dan kita juga punya 'sahabat karib' sejak azali lagi, syaitan yang melingkar-melingkar dalam pembuluh darah dan membisik-bisik kalimah kesesatan dan keasyikan.

" Kamu nak berubah tetapi kamu punya masa ke? Kamu ada banyak assignments, dan waktu senggang pula kamu nak jugak tengok movie-movie yang dah didownload tetapi tak tengok-tengok lagi kan? Mana ada masa wei nak baca ma'thurat pagi petang, pastu baca quran selepas setiap solat fardhu? "

" Kamu nak berubah ke? Aisey, lepas ini kamu tak boleh dengar lagu-lagu black metal dah. Sanggup ke?"

" Betul ke ni kamu nak berubah? Wei nanti kawan-kawan kamu kata apa pulak ni? Fanatik la, kolot la. Lupa kawan la. Bajet la. Kawan-kawan kamu ni penting la wei! "

" Kamu ni, nak berubah? Apa ni? Tengoklah siapa yang kononnya nak bimbing kamu ni? Dia tu alim sangat ke? Ntah-ntah dua kali lima jer. Toksahlah berangan. Kamu okay je skang ni aku tengok. Takyah berubah. Yang penting kamu tahu tuhan tu nama dia apa sudahlah kan? "

" Kamu ni mana bersedia lagi benda-benda berat macam ni. Muda lagi pun, dan nanti terkongkong dengan macam-macam . Tak best-lah kan macam ni?"

" Are you sure about this, man? After this, you sure you can read all those opposing and alternative views on Islam? People will find you weird. How can you claim that you want to change but still reading Nietzsche, Marx and Hawking? So don't change. You can learn all those things without guilt.  "

Saya rasa semua manusia berbeza identitinya tetapi ianya tidak bermakna mereka tidak boleh menggolongkan mereka dalam satu identiti kolektif yang berkongsi idea, semangat dan kefahaman.

Dan jalan untuk menggolongkan diri kita sebagai satu golongan ini, golongan hamba Allah yang Muslim , yang Mukmin, yang menyampaikan seruan amar makruf nahi munkar, yang menyambung seruan semua agama langit "love your God, and love your neighbors" , yang memelihara adab dan memelihara keturunan; adalah satu jalan yang memerlukan pengorbanan.

Pengorbanan wang ringgit, masa, batasan.
Isteri, anak, keluarga.
Ego.

Dan cukuplah kisah Ashabul Kahfi yang melarikan diri ke gua menyelamatkan diri daripada kekufuran. Cukuplah kisah hawariyyun yang melata ke seluruh dunia menyampaikan seruan Nabi Isa. Cukuplah kita dengan Sumayyah syahid yang pertama, anak rasulullah Zainab yang meninggalkan suami tercinta untuk menyelamatkan aqidah, dan beribu lagi kisah pengorbanan para sahabat Rasulullah yang menggadai harta dan nyawa demi Islam.

Seorang rakan saya selalu mengingatkan,

" Kalaulah  dunia dan langit dan seluruh isi-isinya ini semuanya menyekutukan Allah, keagungan dan kekuatan Allah dan kerajaan-Nya tidak berkurang sedikit pun. Dan kalaulah dunia dan langit seluruh isu-isinya juga semuanya menyembah Allah, keagungan dan kekuatan Allah dan kerajaan-Nya juga tidak bertambah sedikit pun"

Allah tidak rugi apa-apa. Siapa yang rugi?

Tuesday, July 13, 2010

Of Beaches and Hills. Waiheke Island

Yesterday, a few of my friends and I went to  Waiheke Island, an island about 30 minutes ferry drive from  Auckland CBD. And I have a really good time tramping ( eceh)  and visiting places there. 

The hills are magnificent! We walked the tramping paths; the skies were blue with seagulls flying all around in absolute elegance, the sweet melody of  the waves crushing onto the rocks intermingled with the roaring of the winds. Oh, at one point we stopped at the top of a hill to have our "makan-makan" and God, the grasses are as comfy as those expensive bed!




Well, the beaches are beautiful. We managed to visit Onetangi beach and another one at Onerua. And that is that. I don't really like beaches, as I said before. It always make me a little sad and melancholic. The vastness of ocean really make me feel empty. Nevertheless, I have to give credit when it is due. I have less animosity to the domain of Neptune now.



Perhaps I have come to another stage of my life- a stage where uncertainty in my life was filled with answers I haven't truly discovered, yet I know it's there somewhere within my reach. Gone were the days where scepticism reigns my thinking and the vastness of the ocean seems to cynically insult my intellectual capacity, or it resounds my despair for failing more and more in understanding my own heart.  I am now feeling more and more at peace with my own self.



And I thank God for all these. I thank God for all these.

Alhamdulillah. Alhamdullillah. Alhamdulillah.

( gambar milik saudara Nazrin)

Sunday, July 11, 2010

Kesedihan .

Kadang kala,saya sedih mengenangkan malapetaka yang menimpa yang melanda semua jamaatu min jamaal muslimin ini...apatah lagi malapetaka yang menimpa muslimin itu sendiri...apatah lagi malapetaka yang menimpa manusia itu sendiri.

Ya Allah mungkin kesedihan ini Kamu balas dengan cepatnya tiba saat jamaatul muslimin itu muncul nanti, inshaAllah.

Kalau tidakpun, kesedihan itu terbalas dengan matinya saya nanti dalam Islam. Itulah sebaik-baik balasan yang saya mahukan, di saat dunia ini kalut dengan masalah dan kejatuhan.

Segalanya di akhir nanti ialah usaha apa yang dilakukan. Segalanya di akhir nanti ialah restu yang bergema dari Arasy. Segalanya di akhir nanti ialah kata agung Rasulullah s.a.w , " kamu ini umatku maka berdirilah di belakangku".

Di saat langit itu terbelah dan gunung-ganang itu hancur membentuk riak-riak fatamorgana di awan-awanan, yang kita mahukan nanti adalah kata-kata ini dari-Nya.

يَـٰٓأَيَّتُہَا ٱلنَّفۡسُ ٱلۡمُطۡمَٮِٕنَّةُ
Wahai jiwa yang tenang!
ٱرۡجِعِىٓ إِلَىٰ رَبِّكِ رَاضِيَةً۬ مَّرۡضِيَّةً۬
Kembalilah kepada Tuhan-Mu dengan perasaan redha dan diredhai.
فَٱدۡخُلِى فِى عِبَـٰدِى
 Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu
وَٱدۡخُلِى جَنَّتِى 
Dan masuklah ke dalam syurgaKu                                                           
( Al-Fajr: 27-30)

Saturday, July 10, 2010

Of Bersyukur

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Segalanya alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang menurunkan rahmat-Nya kepada sesiapa yang Dia mahukan dan menahannya bagi siapa yang Dia mahukan.

Dan aku beristighfar kepada Allah yang menurunkan azab-Nya sebagai peringatan, qadar-Nya sebagai petunjuk dan kifarah sebagai penebus kesalahan.

Sepertimana yang saya telah sebutkan didalam blog post saya sebelum ini,saya telah mencapainya.Semua orang punya matlamat masing-masing. Mungkin saya tidak begitu ambitious, tetapi begitulah, saya sedar kemampuan diri saya setakat ini bagaimana. Mungkin orang lain menangisi apa yang saya dapat ini, tetapi hati saya di saat ini alhamdulillah berbunga-bunga.

Lebih baik semester depan inshaAllah.

‘Sesungguhnya orang yang berjaya ialah mereka yang hari ini lebih baik daripada semalam dan orang yang gagal adalah mereka yang hari ini lebih teruk daripada semalam, manakala orang yang terpedaya adalah mereka yang hari ini sama dengan hari semalam’ – hadis riwayat Bukhari dan Muslim

Wednesday, July 7, 2010

Sekali sekala terharu apa salahnya.

Ini ialah satu komen seorang yang saya tidak kenali di salah satu blog post Ustaz Abdullah Zaik dari ISMA.

"Berada di bumi New Zealand ini, pelajar2 Melayu merupakan kelompok yg boleh dikatakan majoriti. Dan di University ana sendiri, pelajar2 Melayu menguasai bidang2 professional spt perubatan, farmasi dll. Alhamdulillah. Berbekalkan tarbiyah, kami bertemu dgn saudara2 seislam dari pelbagai bangsa dan merasakan ukhuwwah yg amat indah. Buat pertama kalinya, setelah keluar dari kepompong Malaysia, ana merasa bangga dilahirkan sebagai bangsa Melayu kerana dlm kelompok Muslim di New Zealand ini, kami dikenali melalui bangsa dan asal kami. Buat pertama kalinya, ana mendengar saudara2 seislam lain memuji kami dengan menyebut ‘The Malay sisters or brothers’ (Saudara/Saudari berbangsa Melayu!).
Buat pertama kalinya ana merasa kita semua, bangsa Melayu amat bernilai dan memainkan peranan penting dalam kebangkitan Islam apabila di sini, kami seringkali diberi kepercayaan untuk memimpin dan menggerakkan persatuan Islam di sini. Bila kami merendah diri kerana merasakan saudara2 berbangsa Arab lebih layak, mereka berkata ‘ The Malays have a good quality of leadership (Org2 Melayu memiliki kualiti kepimpinan yg baik sekali). Alhamdulillah! Alhamdulillah! Bukan pujian yang dicari, tetapi jatidiri yang bangkit dari sini telah membawa impak besar dan positif sekali dalam diri kami. Kami tidak lagi percaya bahawa org2 Melayu lemah, malas atau mundur. Kerana kami telah berada di sini, dan kami tidak malas, tidak lemah, tidak mundur malah kami diberi kepercayaan kerana kami adalah bangsa Melayu yang dimuliakan dengan Islam!
Kalau di Malaysia, kita semua muak mendengar orang Melayu sendiri mengutuk dan merendah2kan bangsa sendiri, di sini kami diberi kepercayaan dan dilihat sebagai bangsa yang berpotensi untuk memimpin ummat! Mengapa tidak kita kibarkan rasa mulia kerana berbangsa Melayu, kerana Melayu sendiri telah sinonim dengan Islam. Seperti kata Umar, ‘Kemuliaanku kerana Islam’. Begitulah kita, kenapa kita ingin mengibarkan semangat Melayu?Kerana bangsa Melayu mulia dengan Islam. Adakah kita bersifat asobiyah melampau?Tidak! Kalau kami di New Zealand mampu melihat rasionalnya, mengapa tidak di tanahair sendiri, yg memangnya bumi asal Melayu dan pernah dikenal sebagai Tanah Melayu?
Allahu’alam"

Saya cuma suka comment ini sahaja. 

Bolak- Balik.


Mari kita sedarkan diri bahawa kita manusia ini suka berbolak-balik. Dan mintalah, doalah agar kita dijauhkan daripada perasaan ini.

Allah berfirman :

" Dan di antara manusia ada yang menyembah Allah hanya di tepi ( tidak dengan penuh keyakinan), maka jika dia memperoleh kebajikan, dia merasa puas, dan jika ditimpa cubaan, dia berbalik ke belakang ( kembali kufur). Dia rugi di dunia dan di akhirat. Itulah kerugian yang nyata." ( Al-Hajj: 11)

Jalan menuju Allah itu penuh liku dan penuh cabaran. Allah sendiri telah menyatakan dengan jelas, "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman, sedang mereka belum diuji?"( Al-Ankabut: 2) 

Selamat semua, inshaAllah.

Assalamualaikum.

Sunday, July 4, 2010

Sesalan.

( foto milik saudara Zikri Zainuddin)

Satu perkara yang saya sesali sewaktu datang ke New Zealand ini ialah tidak membawa novel kesayangan saya, Tunggu Teduh Dulu daripada Faisal Tehrani bersama saya ke negara pulau ini.

Nah, di kala merindukan pepohon pisang berbuah atau kadang-kadang teringat bahawa dunia ini cumalah tempat berteduh sahaja ( juga tidak menafikan keinginan untuk mencari isteri sebaik Salsabila Fahim ,ehem), saya akan menepuk dahi seraya menyumpah diri, " kalaulah aku bawa buku itu dulu, boleh baca sekarang".

Tetapi saya rasa ini kerja Tuhan jugalah.Mungkin Tuhan  memberi pesan,  jangan lagi sekadar membaca dan mencari faham dalam kata-kata. Hikmah itu tidaklah hanya ditemukan dalam coretan penulis yang upaya memahami hakikat hidup, tetapi ia datang daripada pengamatan sendiri, mereka yang cakna akan sejarah dan juga berani menongkah arus dunia.

Nah, Salsabila Fahim itu muslimah ideal- ada tikanya beliau dikuasai amarahnya dan nafsunya, tapi hatinya bingkas mengingati kembali duduk letak seorang Muslim dalam hidup ini- kita cuma tumpang berteduh dalam laluan singkat ini.

Salsabila Fahim seorang rijal.Beliau hanya watak rekaan, bagaimanapun. Tetapi apakah kita tidak mahu berusaha menjadi rijal sepertinya?Tambahan lagi, kalau mahukan muslimah bak Salsabila Fahim, apa tidak perlukah menjadi si Sazli si suami ? 

Ya Allah permudahkanlah.

Friday, July 2, 2010

Rezeki Itu Tidak Semestinya Apa Yang Diterima,


....ianya juga apa yang kita diberi peluang.

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah bersabda:  "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia diam sahaja. Dan barangsiapa yang  beriman dengan Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah ia menghormati jirannya, dan barangsiapa  beriman kepada Allah dan hari Akhirat , maka hendaklah ia memuliakan tetamunya"

  Riwayat Bukhari dan Muslim.

Thursday, July 1, 2010

Kata Hassan al- Banna,



" Ukhuwah islamiah adalah keterikatan hati jiwa satu sama lain dengan ikatan aqidah".

Moga- moga tercapai impian ini sepertimana yang diperkatakan didalam kitab suci :

" dan Dia ( Allah) yang mempersatukan hati mereka ( orang yang beriman). Walaupun kamu menginfakkan semua ( kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka. Sungguh , Dia Maha Perkasa, Maha Bijaksana" ( Al-Anfal : 63)