Thursday, September 3, 2009

Melayu Oh Melayu.

Bilalah orang Melayu Malaysia, sebilangan besar rakyat Indonesia,Melayu Singapura, Melayu Brunei, Melayu Champa, Melayu Patani, Melayu Mindanao akan sedar," Kita ini serumpun, asal dari yang sama, budaya yang hampir sama, jadi kenapa nak gaduh-gaduh, kenapa macam tidak kenal-kenal?"Oh Tuhan. Melayu ini dulu peradabannya menganjur dari Champa ( Kemboja) , turun ke Myanmar dan Thailand, sebilangan menetap di Patani kini ( yang dahulunya jajahan Kelantan), masuk ke Semenanjung Tanah Melayu, turun ke Sumatera, bergerak ke Tanah Jawa, naik ke Borneo,  berselerak ke sekitarnya, dan naik ke Mindanao. Oh besarnya peradaban ini. Besarnya gagasan keluarga nenek moyang kita. Mahu dikecil mengapa?

Lupakah kita dengan empayar perkasa, Empayar Srivijaya , Empayar Majapahit itu? Asal usul datuk nenek moyang kita? Itu kitalah. Dan janganlah lupa asal usul istilah "Melayu" ini dari Sungai Melayu di Sungai Sumatera itu . Dan kita-kita ini mungkin datang berhijrah daripada Yunnan, China, migrasi besar-besaran secara berperingkat , di mana dari Yunnan itu kita datang ke bahagian Asia ini. Sejarawan R.H Geldern, J.H.C Kern, J.R Foster, J.R Logen, dan Slametmuljana bersetuju dengan pandangan ini, meski ada pandangan lain yang orang Nusantara memang penduduk asal meski pandangan ini kurang popular.Dan banyak sekali perkaitan yang boleh dijumpai dalam susur galur keluarga keluarga-keluarga diraja negara kita ini dengan kerajaan Patani , Indonesia semuanya. Aduh.Dalam kitab Purana itu pun, sebuah kitab Hindu purba, 'Malaya dvipa' itu tidak merujuk langsung pada Semenanjung kita ini, ia mungkin sekali merujuk kepada Pulau Sumatera. Mahu marahkah kita Melayu Malaysia? Sudah pastilah tidak, bukan?

Bangsa Melayu ini bangsa inovasi. Datang agama Hindu dan Buddha pada kita, nah, kita bina peradaban agung. Pusat pengajian agama Hindu kita dirikan dengan megahnya di Kedah Tua dan Majapahit dan Srivijaya. Datang agama Islam, nah, kita bina empayar-empayar agung di Tanah Melayu ini . Kerajaan Islam Champa dan Aceh dan Jawa yang bernaung di bawah Kerajaan Othmaniah, dan tak perlu diberitahu lagi, Kerajaan Islam Melaka yang bersekutu (bukan bernaung) di bawah kekhalifahan.

Aduhai, mengapa nasionalisme sempit ini menghancur segala. Melupakan sejarah, kita berebut warisan. Batik, wau, lagu-lagu tradisi,makanan,wayang kulit, kuda kepang, semua konon asal sendiri. Semua mengaku "saya yang punya." Malaysia yang bangang, dan Indonesia yang bodoh. Mahu digelar begitukah? Kenyataan Menteri Malaysia yang semberono mengaku bahawa sesetengah warisan memang asal dari semenanjung tanpa merujuk sejarah, dan Menteri-Menteri Indonesia dan media Indonesia yang tidak putus-putus mengecam Malaysia dek emosi dan kononnya, mereka punya semangat nasionalisme yang kental. Sedangkan mereka lupa bahawa kita juga berkongsi warisan yang sama, dan kita juga berhak mengatakan ianya milik kami JUGA. Lalu slogan Ganyang Malaysia bergema di negara pulau tersebut, dan prejudis menebal di Malaysia.

Aduh-aduh. Mana kononnya pembela-pembela Melayu ini ? Berkobar menjerit melaung slogan ketuanan Melayu sedangkan sejarah Melayu diperlekehkan, warisan Melayu dipinggirkan dan direbut secara bodohnya. Sejarah Melayu Raya disimpan di ruang perpustakaan paling dalam. Inilah yang jadinya apabila politik Melayu disebut-sebut bagai nak rak, tetapi aset kebudayaan Melayu dan Islam dihinjak-hinjak dan diseret ke tepi.

Bilakah Melayu Indonesia dan Malaysia boleh faham bahawa ia bukan "saya punya", ini "kita semua punya". Hak cipta apanya kalau sejarahnya, kita dulu ini 1Melayu. Aduhai, aduhai.Jangan bilang kita Melayu kalau tidak mahu memahami sejarah peradaban bangsa ini, dan jangan bilang kita ini Islam sekiranya kita tidak mempedulikan Palestina.

1 comment:

Hasmah Markom said...

Moga akan ada kesederan tentang Islam sebagai penyatuan seluruh umat! Allah swt menjadikan manusia ini berbangsa-bangsa, berbagai warna kulit, berlainan faham, apa lagi daerah yang jauh budayanya juga iklim cuacanya.......tentulah untuk lebih saling memahami dan menghormati! Yang paling utama kepercayaan yang satu Allah Maha Esa!