Seperti yang sedia maklum, cuti ini saya diberi upah sedikit mengajar anak-anak jiran mengaji Quran di sebelah malam. Tak banyak pun upah saya dapat, tapi saya anggap ia tanggungjawab sosial sebagai penduduk kawasan kejiranan ni sajalah kot, memandangkan ustaz yang mengajar budak-budak ni mengaji dulu sudah berpindah.
Terdetik di hati saya sesuatu apabila ada pelajar Tingkatan 3 turut belajar mengaji bersama mereka ini. Dan bacaan Qurannya agak teruk. Memang ia melepasi tahap boleh baca, tetapi sangat perlahan dan tidak lancar, tajwid sedikit berterabur dan sebagainya. Saya tak dapat tidak terdetik di dalam hati, " Apa dia ini tidak belajar Quran dengan betulkah?".Tekaan saya benar. Remaja perempuan ini tidak ke sekolah agama rakyat dan setakat mengaji kadang-kala di surau oleh ustaz yang saya beritahu sebentar tadi. Dia sendiri mengaku tidak pernah membaca Quran di rumah. Kalau membaca pun tidak, bagaimana pula dengan proses tadabbur? Memahami terjemahan Quran? Saya rasa tidak juga dilakukan.
Barulah saya sedar. Selama ini, saya telah memandang remeh kurniaan Allah taala kepada saya. Allah beri saya nikmat kemampuan membaca Quran dengan lancar, Insha-Allah bagus tajwidnya, malah saya diberi peluang belajar taranum seketika. Tapi saya alpa. Saya mengakui hakikat betapa malasnya saya membaca Quran di rumah, apatah lagi tafsirannya. Saya lebih leka membaca Kreko dan Arena Komik yang berselerakan di atas meja.
Orang yang Allah berikan lidah yang lancar membaca Quran , tetapi malas melakukannya. Saya takjub dengan budak-budak kecil yang mengaji di hadapan saya ini, mereka lambat-lambat membaca, tetapi penuh ketekunan dan kesungguhan untuk membaca sebaik mungkin. Sehelai bacaan Quran bagi mereka dibaca 16-18 minit. Tapi saya yakin kesabaran mereka itu dibalas Tuhan sebaik mungkin.
Saya berazam untuk khatam membaca Quran sambil membaca terjemahannya cuti ini. Sekali-dua pun jadilah. Ini usaha saya untuk mencari semula kegigihan saya di kala Form One dulu. Saya mungkin akan bekerja 6 bulan ini, tetapi saya berdoa Tuhan berikan saya kemudahan dan istiqamah.
Yalah, saya tidak mampu menjadi rakan saya Khairul Afif mengaji ilmu agama di pondok , sekurang-kurangnya inilah usaha saya , persediaan saya untuk ke luar negara nanti.
KUPAS itu permulaannya.
1 comment:
rasa seperti terkena tembakan yang tersasar mengenai bahu kiri saya,
timakasih atas nasihat
Post a Comment