Sunday, July 26, 2009

Al Fatihah buat Yasmin Ahmad

Saya memang bukan penggemar filem Melayu. Itu malangnya, saya tidak boleh nafikan. Tetapi, dengan sepenuh hati saya mengakui bahawa Yasmin Ahmad seorang pengarah filem yang unggul.

Kita mungkin tidak mengenalinya semasa kita kecil, tetapi siapa boleh lupa "kenapa saya suka rumah saya? Sebab dia best" , iklan raya " daging, limpa, hati" dan budak yang jatuh itu, dan berbagai lagi iklan yang diarahkan beliau.

Oh, suatu kehilangan.

Rabun, Sepet, Gubra, Muhsin, Talentine, semuanya di tahap tersendiri dalam industri perfileman negara. Meskipun saya tidak menyetujui mesej dalam Gubra yang disampaikan dengan cara sedemikian dalam filem, tetapi saya amat sukakan Talentime dan Muhsin,dan saya rasa Yasmin sangat bagus, sangat berbakat, sangat unik dan kehilangannya dirasai.

Saya agak terkilan dengan pandangan sesetengah blog konon "islamik" yang mempersoalkan kewajaran kita bersungguh mendoakan kesejahteraan Yasmin Ahmad sebelum-sebelum ini, semasa beliau masih di ICU, ataupun kalau berdoa pun, ada yang sinis, "moga cepat sembuh supaya dapat belajar menutup aurat". Mereka berpandukan kritikan Faisal Tehrani yang mengatakan bahawa "Gubra itu sesat dan menyesatkan". Mereka menentang Y.Ahmad yang menyebarkan mesej pluralisme, dan liberalisme dalam karya.

Tetapi, persoalan asasnya, salahkah mendoakan orang Islam yang sakit? Salahkah kita membantu mereka yang memerlukan? Dia itu liberal, pluralis atau tidak, itu dia saja yang tahu. Kita cuma agak-agak sahaja. Adakah kerana prejudis kita dengan beliau, kita hendak menidakkan kehebatan beliau selaku pengarah, dan hak beliau selaku muslim untuk didoakan kesejahteraan? Saya juga menolak pluralisme dan liberalisme, tetapi kenapa pula tidak boleh mendoakan beliau seikhlas mungkin? Kafirkah dia? Kalau dia bersalah pun, dia hanya keliru. Apa orang keliru tidak boleh didoakan?

Mereka mungkin tidak sedar, hujah mereka itu menunjukkan kecetekan fikiran mereka. Tahukah mereka, Faisal Tehrani itu, pengkritik lantang Yasmin Ahmad itu, kawan Yasmin Ahmad? Yang dikritik itu filemnya, bukan dirinya. Mereka malah berbalas-balas mesej apabila pulangnya Faisal Tehrani ke Malaysia daripada menunaikan haji. Faisal Tehrani memang seorang anti-pluralisme dan anti-liberalisme. Dia malah menulis sebuah novel, Tuhan Manusia sebagai hujah kepada buruknya liberalisme dan pluralisme. Tetapi, saya sendiri mengetahui Yasmin Ahmad jatuh sakit daripada blog Faisal Tehrani. Jauh lebih awal disiar daripada Utusan Malaysia Online.

Kalau Haji Faisal Tehrani yang pernah mengatakan bahawa filem Yasmin Ahmad itu "sesat dan menyesatkan" itu pantas mendoakan beliau, mengapa kita tidak pula? Seteruk mana pun anti kita dengan liberalisme dan pluralisme beliau, adakah kita ada menulis satu buku khas mengenai liberalisme dan pluralisme? Tidak pun.

Kini, Yasmin Ahmad telah kembali ke hadrat Ilahi. Ajal maut di tangan Tuhan. Kematian seseorang itu sebenarnya satu ingatan kepada kita yang masih hidup inilah. Sedarkah kita bahawa semakin ramai orang "di sekeliling kita" meninggalkan kita? Mereka mungkin saja tidak signifikan. Seperti saya, apek cina kedai basikal yang semasa saya sekolah rendah saya selaku menghantar basikal saya untuk dibaiki telah tiada. 2 tahun lepas meninggal. Makcik yang semasa saya sekolah tadika menjual makanan di kantin meninggal dunia baru-baru ini. Seorang pakcik yang selalu merotan saya kalau kami bising sewaktu sembahyang asar di sekolah agama rakyat juga telah tiada. Ramai lagi telah tiada. Mereka yang kita jumpa seketika, kita tidak kenal pun mereka, tetapi kita tahu-tahu saja, mereka telah tiada.

Kini, orang yang mengarah iklan-iklan yang saya tunggu-tunggu setaip hari raya atau merdeka juga telah tiada. Masa itu memang tidak menanti kita.

Semoga Allah mengampuni dosa almarhumah dan memberkatinya.

Assalamualaikum.

3 comments:

Hasmah Markom said...

Salam, cg suka cara kamu mengulas sesuatu isu.Kadangkala hal itu nampak remeh tetapi anda bawakan dengan penuh yakin, jelas ia jadi isu besar!
Teruskan menulis!

s.e said...

i love this post. i kinda feel the loss..

Anonymous said...

hahaha...tahniah2!!..kau paham kn apa yg ditahniahkn..?..keke..

-silencernacht-