Wednesday, July 1, 2009
Anggunnya Berbaju Kurung
Saya sangat berbangga menjadi Melayu. Islam itu agama saya. Melayu itu bangsa saya. Orang Islam Iran boleh berbangga dengan agama Islam mereka dan bangsa Parsi mereka, maka mengapa tidak saya?Mahu dicabar atau tidak terpulang kepada anda, tetapi tidaklah Melayu seseorang Melayu itu kalau mereka meninggalkan agama mencabar adat membelakangkan bahasa meminggirkan budaya.
Apa kalian tahu apa itu baju kurung?Pastilah tahu, bukan? Baju kurung ialah pakaian tradisi orang Melayu Nusantara yang dipakai lelaki dan perempuan. Si lelaki memakai baju kurung dengan seluar, dan prempuan memakai dengan kain dan berselubung kain di kepala.
Apa tahukah kalian aspek kefalsafahan baju kurung ini? Tahukah kalian rahsia di sebalik baju kurung? Berikut mungkin menjawab soalan-soalan di atas.
Ini ialah fragmen novel " Manikam Kalbu" daripada penulis Faisal Tehrani. Antara buku beliau yang paling saya suka.
" Wahai anak muda, apakah kamu yang melukis rekaan ini ?"Sultan Muhammad Syah menyoal , tidak sabar lagi.
" Ampun tuanku, memang pacal yang menyediakan rekacipta busana itu, ampun , Tuanku."
" Khabarkan kepada beta apakah maksudnya rekaan kamu yang pertama ini." Sultan Muhammad Syah menunjuk ke arah seorang sida-sida yang mengangkat baju kurung lelaki.
" Tuanku, patik namakan busana pertama ini baju kurung. Boleh sahaja disediakan untuk lelaki mahupun perempuan. Tetapi, dengan sedikit perbezaan. Adapun pacal namakan baju kurung kerana pertama busana ini dikurung oleh syarak. Pakaian Melayu itu haruslah dikurung ketentuan syariat. Maka memang pacal rekakan pakaian ini supaya labuh, longgar, selesa dan tidak mengetam. Adapun kurung itu juga bermakna dikurung adat. Manusia Melayu itu apabila mengenakan baju kurung, segera dia tahu membawa diri, menyesuaikan dengan tempat, tahu pula alat kelengkapan yang harus dipakai bersama, tahu cara memakainya dan wajib pula tahu apa makna dan tujuan mengenakannya. Pacal mengimpikan sejenis busana yang apabila dikenakan di badan si pemakainya terhurung dan terhindar sifat angkuh dan sombong. Oleh baju kurung itu sekali-kali si pemakainya tidak bercakap bohong dan apabila sudah berbaju kurung peliharalah iman supaya tidak terpesong. "
Sultan Muhammad Syah terpegun metah. Yang lain-lain melongo. Semua diam membisu.
Fragmen lain:
" Bersederhanalah, begitulah pacal ciptakan busana Melayu. Patik tidak mahu baju Melayu itu ketat menjemput bala, dan busana yang penuh mengada-ngada itu petunjuk kepada peribadi sang pemakainya. Izinkan pacal membaca pantun:
Memasang rantai berjela-jela,
Tanda ikatnya tiada kukuh;
Orang memakai mengada-ngada,
Tanda sifatnya tidak senonoh.
" Pacal juga berhati-hati supaya tidak mereka busana yang memandai-mandai sifatnya . Memang pacal lihat ada rekaan baju saudagar Cina dan Keling yang cantik-cantik tetapi masakan pacal meniru bulat-bulat tak bersebab dan memandai-mandai seolah pandir? Pacal teringatkan pantun adat berbunyi:
Apabila menuai berlalai-lalai,
Habislah padi dimakan ulat,
Bila memakai memandai-mandai,
Habislah budi binasalah adat.
Saudara Tehrani saya kira amat bagus sekali memasukkan aspek kefalsafahan pakaian dalam karya fiksi beliau ini. Fakta-fakta diatas bukan fiksi. Rujuk sahaja Sejarah Melayu. Pantun-pantun ini juga pantun lama, bukan rekaan sembarangan. Saudara Tehrani benar-benar melakukan homework untuk karya Manikam Kalbu ini.
Tetapi.
Tidakkah kita malu, di kala sebilangan daripada kita sibuk mempertahankan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan kerana kononnya kita Melayu maka kita perlu mempertahankan hak istimewa bangsa ini,kita melupakan adat melupakan agama?
Melayu apakah ini?
Bisinglah dengan sesiapa yang mencabar Perkara 153, itu memang hak kita. Tetapi mengapa tidak bising dengan orang yang melanggar Perkara 152? Dengan rakusnya mencabar bahasa Melayu sebagai bahasa ibunda? Anda mungkin tahu siapa. Mungkin kerajaan mungkin pembangkang mungkin NGO.
Kita kenalah juga bising sekiranya Perkara 3 dicabar. Islam itu agama rasmi negara ini, noktah. Jika negara ini manusia maka dia seorang Muslim. Malaysia ini negara umat Islam. Sesiapa yang menolak hakikat ini, tentang!Mungkin kerajaan mungkin pembangkang mungkin NGO.
Bisinglah dengan keruntuhan agama , adat dan budaya. Apa lupakah definisi Melayu?
Perkara 160(2) jelas menetapkan bahawa Melayu itu " seorang yang beragama Islam, bertutur bahasa Melayu dan mengamalkan adat istiadat Melayu". Melayukah lagi kita pada hari ini? Melayu itu tidak Melayu tanpa agamanya, tanpa adatnya, tanpa budayanya.
Usahlah menunggu sehingga Melayu itu melayu tunduk bukan tanda hormat atau tawadduk lagi tetapi tanda malu kerana berdagang di tanah sendiri, dan anak-anak tidak lagi menghargai warisan budaya yang disulami kesantunan dan keimanan kepada Tuhan.
Bagi yang mahu membeli buku ini secara atas talian/online, boleh lawat laman web Ujanailmu.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment