Wednesday, July 15, 2009

Selamat Hari Lahir, Abah

To Chif Inspector Wan Khalid bin Wan Omar,
aka Che' We ( Kelantanese slang= dipanggil begini oleh rakan-rakannya),
Selamat Hari Lahir ke 42 tahun.

Terima kasih kerana menjadi abah yang gila-gila.
Terima kasih kerana menjadi abah yang supportive.

Terima kasih kerana telah menasihati saya bahawa berkahwin di usia muda, seperti abah dan mak ( 22 dan 19 tahun respectively) boleh membawa sedikit masalah, seperti yang berlaku pada kalian, akibat dan jika tidak bersedia secara mental dan material.

Terima kasih juga kerana sedari kecil ( 6 tahun), abah telah memberi peluang kepada saya untuk memilih ke mana hala tuju yang saya mahu pergi.
Saya ingat lagi suatu petang, ayah membawa saya menaiki Honda Cup buruk itu bersiar-siar di kawasan perumahan.
Dan kemudian abah berhenti di suatu simpang dan menunjukkan saya dua tempat.
" Ini tadika Kemas, dan sebelah ini tadika bahasa omputih. Along nak masuk mana?"
Dan saya, di kala kecil itu, memilih tadika omputih kerana tadika itu ada satu buaian yang cukup cantik.
Tetapi saya tidak menyesal kerana memilih sekolah kerana "buaian", malah bersyukur kerana memasuki tadika ini.
Ayah dan ibu tidak tahu pun berbahasa omputih, tetapi berani menyekolahkan saya di sana, dan yakin bahawa saya mampu melalui "sesi pengajian 70% medium bahasa inggeris 30% medium bahasa melayu dan tidak ada belajar agama Islam sedikitpun" dan hanya ada 3 orang pelajar Melayu.
Walaupun saya faham bahawa yurannya agak tinggi bagi seorang L/ Kopral bergaji RM600 sebulan, ayah tegar menyekolahkan saya di sana atas "permintaan " saya.
Saya juga berterima kasih kerana walaupun saya disekolahkan di tadika omputih, saya kemudiannya dihantar juga ke sekolah agama rakyat sewaktu sekolah rendah, dan saya berjaya membuktikan bahawa pembelajaran tadika omputih tidak bermakna saya akan hilang pedoman agama. Saya berhasil mendapat tempat pertama selama 6 tahun berturut-turut di sekolah agama rakyat ini.
Saya juga amat menghargai jasa abah, kerana di sebalik kehairanan sanak-sanak saudara apabila saya memilih ke Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah dan menolak pula tawaran daripada Sekolah Menengah Sains Teluk Intan semasa Tingkatan Satu, abah menyokong pilihan saya dan akhirnya semua ahli keluarga lain menyokong sehingga saya akhirnya dipanggil "ustaz" dalam keluarga.
Dek sebalik pembelajaran sebentar di Sekolah Agama Izzuddin Shah selama 3 tahun inilah, saya diberi penghormatan besar oleh ahli keluarga untuk menemani arwah Tok di ICU Hospital Ipoh di saat sakaratul mautnya, dan yang sentiasa berdiri di samping Tok membisikkan syahadah di telinganya, dan satu-satunya cucunya yang diberi penghormatan mengangkat keranda arwah Tok ke tanah perkuburan. Oh, dan memang terpaksalah menolak apabila disuruh menjadi Imam solat jenazah dan menjadi khalifah tahlil. Itu memang tak bolehlah. Saya ini manusia penuh noda, isk.
Saya juga berterima kasih kerana abah tidak melenting panjang apabila saya tidak langsung diberi tawaran memasuki Tingkatan 4 di Sekolah Izzuddin Shah kerana masalah disiplin dan bergaduh dengan guru.
Siapa sangka daripada sekolah ini, Tuhan takdirkan saya untuk ke MRSM Muadzam Shah dan MRSM Taiping yang telah membuka mata saya kepada lebih banyak perkara.

Saya juga berterima kasih apabila abah tidak terkejut kerana di sebalik keputusan SPM saya yang baik, saya telah memilih untuk mengikut jejak langkah tradisi keluarga besar kita: menjadi guru. Abah tidak langsung melarang saya menceburkan diri dalam dunia akademik kemanusiaan dan linguistik, meskipun saya produk sekolah sains dan sekolah agama .

Saya juga berterima kasih kerana sejak menengah rendah, saya telah didedahkan tentang isi-isi Perlembagaan Malaysia, sejak kecil lagi ditahukan apa itu Penal Code, apa itu modus operandi, apa itu ISA, apa itu politik, menerusi kecamata abah, lalu membuka minat saya ke arah politik, sedikit sebanyak.

Meski kita punya banyak percanggahan pendapat, daripada kewajaran AUKU, kewajaran ISA, dunia kepolitikan yang korup, dunia undang-undang dan penguatkuasaan yang bias dan kelabu, sekurang-kurangnya, saya boleh mempelajari hujah logik dari perspektif dunia kepolisan abah.

Abah juga telah mengajarkan saya bahawa tanpa pendidikan tinggi, seseorang itu masih boleh berjaya apabila dia pandai menggunakan sebaiknya sumber-sumber yang ada di sekelilingnya seperti kawan, informasi, berita, peluang dan sebagainya. Walaubagaimanapun, ayah sentiasa menyuruh saya belajar setinggi boleh. Saya sentiasa ingat pesan abah:

" Kita ini daripada keturunan tidak punya harta. Tidak punya tanah, tidak punya apa. Datuk kamu di Kelantan itu arwah bapanya, Imam Che Kundur tidak bagi tanah sedikitpun kerana datuk kamu ini degil dan melanggar kata. Kita keturunannya tidak dapat apalah. Tanah yang banyak semuanya diberi kepada anak-anak angkat moyang. Jadi, abah tidak ada apa-apa warisan pada kamu. Abah cuma boleh bagi kamu pelajaran. Kamu nak belajar atau tidak, terpulang. Carilah "harta " kamu sendiri."

Dan saya telah menetapkan bahawa "harta" itu, bagi saya ialah "ilmu". Apa sangat dengan harta kalau ilmu tidak ada, tetapi apa guna ilmu kalau tidak punya harta untuk mengamalkan dan menghebahkan ilmu.

Hingga kini juga, saya sentiasa cuba mengikuti saranan abah bahawa kalau boleh , kita perlu sentiasa buat baik dengan kawan dan jangan banyak sangat terhutang budi kepada mereka. Dan abah juga selalu mengingatkan bahawa kawan itu kawan, jangan dibawa dekat sangat ke hati, kerana pengalaman abah banyak mengajar bahawa kawan itu boleh menjadi musuh yang paling kuat . Tetapi dalam masa yang sama, abah mengajar juga bahawa kita tidak boleh bersifat prejudis dan perlulah sentiasa melayan kawan-kawan dengan sebaik mungkin, kerana keihlasan itu abstrak dan kita tidak nampak kelikhlasan ini.

Abah juga banyak mengajar saya bahawa poligami ini memeningkan dan saya patut menjauhinya sekiranya tahu tidak mampu. Soal mengapa kebetulan datuk moyang, moyang, datuk, malah abah sendiri sendiri berpoligami dengan ini lebur sendiri, dan saya kini lebih selesa dengan cinta pada seorang sahaja.

Tetapi di masa hadapan tidak tahulah. Itu semua kerja Tuhan, bukan? Huhu.

Terima kasih juga kerana menghormati pegangan Islam yang saya pilih. Terima kasih kerana menerima dengan terbuka nasihat-nasihat saya dalam isu agama, menerima apabila saya memilih untuk mengesampingkan diri daripada majlis-majlis syubhah ataupun lebih, mahupun menerima permintaan saya kerana ada tahun-tahun tertentu saya meminta permohonan pelik untuk menukar birthday party saya kepada majlis tahlil .

Apapun, saya juga sentiasa berterima kasih kerana sejak sekolah, meskipun saya pasif dalam sukan, lebih suka memerap di rumah, lebih berahi menonton televisyen daripada bersukan di waktu petang, mencalarbalarkan kereta Kembara pakcik Man dan Gen2 milik kawan abah kerana tidak mahir memandu, dan tidak berbuat benda yang sepatutnya dalam isu van Ford itu akibat keadaan yang mengekang dan sedikit ketidakberanian saya yang sangat kontra dengan abah, abah taklah melenting dan tidak begitu ambil kisah.

Tahniah, ataupun takziah kerana mendapat saya yang sangat "pasif" dan gila buku, Angah yang "sangat gila ataupun gila-gila", Kakak yang "pemalas", dan Shuhada yang "mengada-ngada".
Oh, dan juga Wan Shahidatul Sabrina yang dilahirkan minggu lepas dengan berat 4.34 kilo. Dan juga anak baru lagi bulan sembilan ini, Insha-Allah.

Saya tahu saya tidak dapat membalas pengorbanan abah, mak, dan auntie selama ini, dan disebabkan famili ini tidak mengamalkan spoken affection whatsoever, jadi saya cuma ingin katakan:

Terima kasih dan semoga panjang umur.

Tetapi terima kasih tahap dewa sudah tentu paling layak diberi pada Tuhan yang menjadikan semua ini.

Salam.

- Wan Khairul Nizam bin Wan Khalid-

2 comments:

r a y z i n i e said...

Sayu membacanya.Seorang ayah yg sgt berdedikasi!

dibah rozlan said...

:D gud one wk. aku terharu, esp psal tadika. yg bwh2 tu bc skip2 je. :)