Saya seorang bakal guru bahasa Inggeris yang Insha-Allah jika diizinkan Tuhan akan melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Perguruan TESL ( Teaching English as A Second Language) di New Zealand di bawah tajaan MARA. Saya kini sedang belajar Kesusasteraan Inggeris untuk peperiksaan Cambridge Advanced Level . Saya bergelumang dengan buku-buku novel sastera Inggeris, menonton rancangan-rancangan televisyen berbahasa Inggeris dan cuba untuk sentiasa bercakap dalam bahasa Inggeris . Saya setiap hari akan membaca surat khabar The Star atau New Straits Times bagi menambahkan lagi pengetahuan kosa kata saya.
Bagi saya, usaha-usaha di atas membolehkan saya menguasai bahasa Inggeris dengan lebih baik, kerana untuk menguasai sesuatu bahasa, seseorang itu harus mendapat pendedahan yang luas terhadap bahasa tersebut.
Tapi tidaklah dengan mengajarkan Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris.
Sedari dahulu lagi, sejak PPSMI diimplementasikan dalam sistem pendidikan negara, saya sudah cukup terkilan. Di mana letaknya bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa tradisi tanah air ini?
Saya cukup geram apabila kadang kala sesetengah pihak cakap mereka bukannya menghina bahasa Melayu ataupun membelakangkan bahasa ini, mereka cuma bersikap realistik. Bahasa Inggeris ialah bahasa ilmu atau bahasa tamadun. Oh, itu tidak saya nafikan. Cumanya, dimana kebenaran yang pihak-pihak ini tidak membelakangkan bahasa Melayu? Apa bukti mereka? Setakat ini, tidaklah nampak usaha mereka memartabatkan bahasa Melayu. Anak-anak sultan, anak -anak menteri semua dihantar ke sekolah-sekolah antarabangsa atau terus belajar sedari kecil di luar negara, padanlah apabila mereka dewasa, bahasa sendiri tidak didaulatkan, sedangkan golongan diraja ini masih fikir mereka berDAULAT dan rakyat kena TAAT pada mereka membabi buta.
Ceh.
Saya seorang pengkagum Tun Dr Mahathir. Saya sedikit pun tidak meragui bahawa Tun telah banyak membawa pembaharuan kepada negara ini, memajukan negara 27 juta rakyat ini ke taraf yang boleh dibanggakan. Tapi, itu tidak bermakna saya sentiasa setuju dengan pandangan beliau bukan? Selain dasar oppresif Tun yang saya fikir menahan kebebasan demokrasi, Tun juga telah mencadangkan PPSMI yang merendahkan martabat bahasa Melayu.
Saya amat yakin bahawa Tun berniat baik. Benar, penguasaan Bahasa Inggeris itu amat penting. Tapi niat Gerakan Mansuhkan PPSMI ini juga baik dan saya kira, lebih benar. Usah dihirau perhimpunan-perhimpunan 5000@7000@70000@100000 orang yang menentang PPSMI ini , sampai bila kita masih mahu melihat yang lahiriah? Lihat apa mesej mereka. Lihat apa kata presiden GMP. Mereka bukannya tidak berhujah.
Malah, setakat ini, saya dapati hujah GMP lebih "saintifik", "padat" dan "mapan". Selain kajian daripada UKM, UPSI berkenaan kegagalan PPSMI ini, GMP turut melontarkan pandangan unit pendidikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang menganjurkan bahawa bagi pembelajaran subjek bukan bahasa, ia lebih sesuai diajar menggunakan bahasa ibunda. Lihat. Ini pandangan pertubuhan terbesar dunia.
Kesatuan-kesatuan guru juga majoriti menolak PPSMI. Apa, adakah guru-guru ini kempunan sangat dengan elaun pengajaran dalam Bahasa Inggeris itu? Saya yakin, ramai guru-guru sains dan matematik diluar yang rasa sedih, kesal, terkilan kerana walau sedaya upaya mereka cuba mengajar dengan baik, taraf pemahaman pelajar sangat kurang. Timbul pula kurangnya minat pelajar-pelajar terhadap subjek Sains dan Matematik. Sekarang, siapa yang rugi?
Secara umumnya, semua mengetahui, dari segi aspek jangka pendek, PPSMI gagal mencapai objektifnya. Janganlah menipu kami dengan pencapaian cemerlang UPSR dalam Sains dan Matematik sedangkan grafnya diturunkan( 60 dapat A kejadah apa? ). Dari segi jangka panjang, entahlah. Entahlah. Wallahualam.
Saya cuma tidak mahu anak-anak muda kita menjadi mangsa keadaan.
Bahasa itu jiwa sesuatu bangsa. Pendaulatan bahasa Melayu itu lambang kecintaan kepada tanah air ini .
Mantapkan sahajalah sistem pengajaran Bahasa Inggeris. Untuk memantapkan bahasa Inggeris mereka, seseorang itu haruslah boleh menguasai nahu bahasa tersebut. Dalam Sains dan Matematik, adakah ia ditekankan? Pakcik saya jelas menerangkan, pemeriksa kertas tak peduli pun tatabahasa jawapan pelajar. Sesetengah jawapan terlampau mengelirukan menyebabkan pemeriksa yang kasihan memberi markah sekiranya wujud " perkataan-perkatan" yang menjawab soalan walaupun tiada sebarang hubungan dan perkaitan diadakan antara perkataan-perkatan ini.
Jangan politikkan bahasa. Jangan main-main dengan bahasa. Sekali sasterawan dan penulis turun padang membantah, kalian tahu betapa seriusnya masalah ini.
Pak Lah oh Pak Lah, UMNO itu pendaulat bangsa Melayu bukan? Pak Lah sudah berjanji mahu membuat sesuatu, mohon disegerakanlah.
" Sedangkan nak belajar sembahyang pun kita belajar dengan bahasa Melayu dulu, bukannya bahasa Arab".
Salam.
p/s: Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris saya kedua-duanya tunggang-langgang. So, tak payah peduli sangatlah yer.
No comments:
Post a Comment