Sekitar hujung 2004 , di pesisiran Pantai Bisikan Bayu Pasir Puteh Kelantan.
Angin bertiup kencang dan ombak rakus menghentam pantai petang ini. Pakcik-pakcik yang ramah benar tadi kelihatan sibuk di tepi wakaf-wakaf memperbaiki jala buat diguna mencari rezeki keesokan harinya.Dia hanya mampu tersenyum, terkadang gelak sedikit kerana tidak memahami apa yang sebenarnya dibincangkan sesama mereka itu. “Entah-entah mempermainkan aku”hatinya berbisik.Yalah, anak Perak. Manakan fasih loghat Kelantan. Abah orang Kelantan, tetapi dia menggunakan ‘aku’ dan ‘hang’ , bukannya ‘ kawe’ dan ‘ demo’ seperti abah. Kelantan ‘murtad’ kata seorang kawannya di sekolah.
Nek Lijah , mak tiri abah, isteri perkahwinan kelapan arwah tokwan sedang memberi makan itik di tepi bangsal. Mak dan makda sedang sibuk bercerita mengenai di mana gelang emas baru emak dibeli. Dia bosan mendengar. Perempuan dan harta benda itu memang tidak boleh dipisahkan. Tapi tak apa, sesak sesak boleh digadai, kalau diberi izinlah. Keluar daripada rumah yang amat hampir dengan pantai ini. Segara. Laut. Tidak begitu dia gemari. Terlalu besar tidak mampu ditakluk semua, dan terlalu dalam tak mampu dijelajah semua. Nun di kejauhan sana angah dan akak sedang girang bermain air, bersama abah.
Bukanlah tidak menyukai pulang ke kampung, tetapi pantai dan laut menjadi punca. Entah kenapa dia sedari kecil kurang menyenangi ciptaan Tuhan ini. Kawannya Aqmal sering kali memberitahu, “Wan, lautan ini antara bukti besar keagungan Tuhan. Itu menunjukkan betapa kerdilnya kita manusia ini. Lautan ini diciptakan menjadi punca rezeki dan lautan juga boleh membinasakan”. Dia fahami maksud kata-kata rakannya itu dengan jelas sekali. Ditambah lagi dengan kuliah agama yang diajar Ustaz Fahmi di Musolla al-Azzam Sekolah Menengah Agama Izzuddin Shah itu, dia tambah memahami hakikat penciptaan dan kehebatan. Ustaz ada sekali mengingatkan mereka bahawa segala sesuatu itu ciptaan Tuhan, dan dari sekecil-kecil ciptaan seperti sel manusia dan sebesar-besar perkara seperti laut, matahari, atau alam semesta, semuanya manifestasi keagungan Ilahi. Dia faham.
Tapi ya, perasaan tidak senang itu masih tertanam kuat dalam hatinya. Tapi hari ini agak berbeza, pesisir pantai seolah-olah memanggil sayu. Aneh. Angin bayu pula tiba-tiba lembut mengusik pipinya, dan dia menggigil seketika. “Eh,nak hujan ke ni?”, dan lantas dia memandang ke langit yang tampak mendung. Niat di hati mahu masuk kembali ke rumah. Lalu dia berjalan lemah dari pangkin kea rah rumah.Akan tetapi, di hadapan beranda rumah kayu yang dimamah usia itu fikirannya berubah. Hening seketika. Pantai memanggil lagi. Dan panggilannya membawa dia turun ke permukaan pasir putih dan halus itu. Dia berada di hadapan laut yang amat dibencinya kini.
Angin bertiup lagi. Kali ini lebih ganas. Rambutnya yang panjang sedikit disebabkan cuti sekolah bergerak-gerak ditiup bayu. Dia memandang jauh . Sekumpulan burung yang tidak dia ketahui jenisnya laju meluncur di angkasa. Dan dia tiba-tiba memasuki perbicaraan. Seketika dalam diam. Cuma bunyi ombak dan tiupan angin yang kedengaran . Tidak lagi dia bisa mendengar ketawa girang angah dan akak. Tidak kedengaran juga suara pakcik-pakcik tua itu di berlawak jenaka sambil bermain dam haji. Hanya dia, ombak dan angin. Mereka dalam perbicaraan.
Dan dia jelas kini. Telah hadir jawapan yang menggerunkan itu. Dan dia tidak mahu menerima hakikat ini. Dia dalam penafian. Matanya mulai merah, dan tangannya digenggam kuat. Dia mahu menjerit saja tetapi tidak mampu mengeluarkan sebarang suara. “ Mengapa? Mengapa laut yang paling kubenci menjadi pembuka rahsia yang paling dalam? Kenapa laut ini, dan angin ini boleh mengajak berbicara dan dengan mudah membongkar rahsia?!”, hatinya menjerit. Dia tidak tahu samada dia sedang menangis atau ketawa kini. Dia dalam keadaan yang sangat keliru, keliru dengan hakikat yang kini telah jelas.
Dan awan dan bayu konon memberi simpati. Hujan turun, perlahan sesaat dua tetapi lebat sungguh kemudiannya. Akak, abah dan angah pantas berlari ke rumah. Dia masih lagi kaku berdiri menghadap pantai yang ombaknya kian meninggi dan kian menggila. Dan tiba-tiba mesej masuk. Dia lantas membacanya. Dalam kebasahan dan kedinginan itu tiba-tiba dia tersenyum . Senyuman penuh makna. Tuhan memang hendak memberitahu kebenaran secara pakej pada kali ini.Dengan tenang dia kembali menyimpan telefon bimbit di dalam kocek.
“Along, cepat naik atas!”, abah melaung daripada rumah. Tetapi dia masih tegak berdiri di situ. Masih menghadap pantai. Cermin matanya sudah dibuka dan dimasukkan ke dalam poket seluar. Dan sekali lagi panggilan itu bergema. Sayup-sayup. Jauh tetapi terasa amat jelas di telinga. Terang baginya, wallahi, Tuhan itu Maha Mengetahui Segala Rahsia kerana Dia sendiri bekerja dalam rahsia. Dan seketika dia merasakan lautan itu amat dekat, dekat sekali. Suara abah tidak didengarinya lagi.
No comments:
Post a Comment