Wednesday, October 22, 2008

Umat Islam


Buku yang bertajuk Fahaman dan Ideologi Umat Islam ini merupakan karangan Presiden Parti Islam se-Malaysia , Datuk Seri Haji Abdul Hadi bin Haji Awang. Boleh dibeli di kedai buku Popular dengan harga RM23.00. Sepertimana yang dipapar pada kulit belakang buku, buku ini menghimpunkan mazhab-mazhab akidah umat Islam serta pecahan-pecahan kecilnya. Ditulis sepadat mungkin, pembaca boleh mengenali sejarah pemikiran umat Islam dan bagaimana hal ini berlaku, misalnya bagamana pemilihan khalifah di zaman selepas kewafatan Rasulullah telah mencorak kewujudan pemikiran-pemikiran ini.

Penulis merasakan bahawasanya kewujudan mazhab-mazhab yang banyak dalam Islam ini jelas menepati hadis Junjungan Mulia,: Umatku akan berpecah kepada 73 golongan. 72 golongan akan masuk neraka dan satu golongan akan memasuki syurga. Merekalah al-Jamaah. –au kama qol( atau sepertinya)- Penulis yang sememangnya sangat menyukai sejarah Peradaban Islam juga terpesona pada perbedaan setiap pegangan ini. Benar mereka tergelincir di atas jalan yang diyakini betul iaitu Ahl Sunnah wal Jamaah, tetapi melalui dugaan-dugaan sebegini lah mazhab ahl sunnah mencapai tahap kematangan, di mana kita kini sudah mapan prinsip mazhabnya, dan jelas methodologinya, walaupun di dalam mazhab ahl sunnah sendiri kita mempunyai mazhab asyairah, maturidiah, salafiah dalam aqidah sahaja.

Sedikit menyimpang, ingin memberi sedikit info tambahan cuma. Jangan disangka mazhab fikah cuma empat dan hanya empat. Pernahkah anda mendengar mazhab Sufyan ast-Tsauri, mazhab Hasan Basri, mazhab Daud az-Zahiri, mazhab Imam al-Bukhari misalnya? Mufti Mesir kini, Dr. Ali Jumaah pernah menggunakan sehingga 96 mazhab dan qaul bagi membuat justifikasi hukum ( diberitahu kepada saya oleh teman sekolah dahulu yang kini menjadi murid kepada murid mufti tersebut di al-azhar university).

Buku ini tidaklah membantu sangat dari segi akidah kita ataupun perubahan terhadap akhlak kita, tapi pengetahuan terhadap sejarah umat Islam saya kira amat penting supaya kita akan sentiasa mengingati semangat para mujahidin menyebarkan Islam, kegigihan para ulama’ menyampai ilmu dan ketabahan ulama’ sunnah wal jamaah mempertahankan akidah utama umat Islam.

Penulis mungkin tidak wajar menyatakan hal ini, ah tapi tidak mengapalah. Ya, buku ini merupakan karya Tuan Guru Haji Hadi Awang, presiden PAS, tapi bagi yang terlampau UMNO ke, saya saran anda cuba membaca jugalah buku ini. Jangan risau, saya rasa tak terganggu sangat pegangan politik anda hanya kerana menekuni buku ini. Kita sebenarnya tidak boleh menzalimi keintelektualan kita dek dirasuki isu kepolitikan. Apatah lagi di zaman politik caca marba ini.

Saya juga menyarankan kalian supaya membuat sedikit pengkajian terhadap Amman Message atau Deklarasi Jeddah sekiranya punya kelapangan. Tanya saja pada Lebai Google atau Sheikh Wikipedia kalau malas mencari bahan cetak.

Semoga di dalam redha Allah. Assalamualaikum.

No comments: