Wednesday, October 8, 2008

Manikam Kalbu


" Sains itu hanya proses manakala seni itu hasilnya"- dipetik daripada novel Manikam Kalbu Karya novel bertajuk " Manikam Kalbu " ini ialah tulisan penulis terkenal Faisal Tehrani. Sekali memandang, kulit buku ini kelihatan sangat menarik. Gambar seekor kucing sedang menjahit serta merta menimbulkan rasa ingin tahu yang kuat.

Bagi peminat karya saudara Faisal yang mungkin pernah menekuni himpunan cerpen " Kekasih Sam Po Bo", gambar kucing ini boleh mengingatkan kita dengan Kucing Gemuk di Masjid Biru itu.


Cerita ini membawa kita menelusuri dunia moden dan dunia Melayu Nusantara lama sekaligus. Dua karakter utama ialah Manikam Kalbu,seorang hamba di Istana Melaka dan Ziryab, satu-satunya pelajar lelaki di dalam kelas jahitan sekolah tekniknya. Kedua-duanya ingin mencapai kecemerlangan di dalam dunia fesyen. Manikam Kalbu ingin membawa unsur Islam di dalam rekaan Busana Melayu, lantas menanam impian berguru dan bermusafir ke Pasai dan Perlak buat menimba ilmu busana. Ziryab pula pelajar sekolah yang menanggung dugaan kehidupan dengan keadaannya neneknya yang sakit, konflik dengan rakan sekelas yang "keliru" dan gelodak jiwa remajanya. Cikgunya memberikannya satu objektif dalam dunia fesyen, mentajdidkan busana Melayu.


Menariknya, cerita ini disampaikan menerusi perspektif seekor kucing, kucing Madura yang mengikut Manikam Kalbu berguru ke Pasai dan serata Nusantara sehingga naik ke China. Pembaca boleh kadang-kadang tergelak melihat keletah kucing tersebut menyampai cerita. Unsur magis juga diselitkan dalam cerita ini dengan kebolehan kucing Madura ini berbicara. Peranan kucing ini jelas dalam usahanya membantu Manikam Kalbu agar boleh turut serta dalam pertandingan mereka busana Melayu. Apapun, tugas paling jelas kucing ini ialah ia menjadi jambatan antara dua naratif, moden dan kuno. Kucing ini membangkitkan humor terhadap pembaca, supaya pembaca dapat berehat seketika , menghadam dahulu mesej-mesej plot sebelumnya sebelum menghadap mesej-mesej yang bakal diutarakan dalam chapter berikutnya.


Daripada pengamatan saya, mungkin sdr Faisal juga ingin memaparkan realiti kehidupan dan dunia fesyen ketika ini. Biarpun masa berbeza, masalah fesyen yang tidak ditunjangi syariat masih menghantui kehidupan manusia. Mimpi Sultan Melaka misalnya, melihat puterinya memakai baju mendedah bahu, menampakkan lurah, ketat dan sendat, serta berkain organza nipis melayang menampak tubuh serta merta mengingatkan kita akan satu fakta, ini pakaian artis-artis kita dewasa ini. Bertitik tolak daripada hal tersebut pula, sultan Melaka mengarah semua jurubusana mereka pakaian Melayu berunsur Islamik, kerana mahu rakyat jelata memakai pakaian yang mematuhi syarak. Saya justeru meneka bahawa sdr Faisal sengaja menampakkan mimpi Sultan di zaman Melayu lama sedemikian supaya pembaca dapat berfikir, bahawa jika Sultan menjadikan isu ini satu masalah, mengapa tidak kita manusia zaman moden? Moden satu alasan meminggir syariat kah?


Penulis Faisal Tehrani sememangnya dikenali dengan karya-karyanya yang membawa mesej islami. Sebut sahaja 1511 Kombat , Tunggu Teduh Dulu, Karbala dan 1515, semuanya mengetengahkan mesej agar kita kembali kepada Islam dan buat orang Melayu, memegang kembali budaya Melayu yang akarnya Islam itu. Karya Manikam Kalbu ini, biarpun bahasanya santai dan diselangi humor, tidak terlepas dengan mesej ini. Pembaca diterangkan melalui perguruan Sultan Melaka dan Tuan Guru Nuh Ha Mim ( nama ini diambil daripada seorang ilmuan Islam dari Barat, Nuh Ha Mim Keller) akan hakikat pakaian-pakaian orang Islam.
Betapa pakaian itu seperti manusia juga, tertakluk akan hukum Allah, tertakluk pada agama, walau berbeza kerana budaya.
Buku ini juga boleh membuatkan pembaca kagum kerana tidak disangka, dunia Nusantara ini maju sekali dunia fesyennya. Kita mempunyai tradisi pembuatan kain dan warna yang lama sekali, jauh lebih lama daripada dunia fesyen Barat. Cuma sahaja kita tidak tahu. Kini,pembaca boleh berbangga kerana rupa-rupanya , dunia Nusantara lebih kenal dahulu benang dan seribu macam kain berbanding dunia belah sana.

Karya ini menimbulkan banyak persoalan buat pembaca. Persoalan budaya misalnya, digarap dengan baik dengan keluhan Sultan, cikgu-cikgu ziryab akan dunia fesyen ini. Betapa kita perlu menghargai budaya yang menjunjung syariat, dan pakaian merupakan salah satu daripadanya. Sdr Faisal juga mengutarakan isu golongan keliru , golongan lelaki dan perempuan yang melampaui batas gender. Betapa golongan yang menguasai dunia fesyen ini boleh mengelirukan kehidupan manusia, melampaui batas agama merobek uniknya budaya ,rakus dek ketaksuban pada fesyen Barat. Kepada saya, ia menimbulkan satu mesej jelas:

Betapa dalam bidang apa sekalipun, yang penting ialah kefaqihan dalam agama, keilmuan dalam masyarakat dan kecintaan terhadap budaya. Jika ketiga-tiga elemen ini hilang salah satunya, maka rosaklah busana masyarakat, dan bisa juga punah budaya Islam yang disemai dengan ejrih payah nenek moyang kita dahulu.

Didalam subjek Pengajian Agama Islam misalnya, kita dijamu dengan keagungan Baitul Hikmah Kerajaan Islam Abbasiah serta kecantikan senibina Masjid Cordova di zaman Kerajaan Islam Andalusia. Saya , mungkin juga kalian lantas menanya, memang Kerajaan Melaka maju sebagai pusat pelabuhan dunia, tapi apa sumbangannya terhadap dunia keilmuan Islam? Sebenarnya institusi pondok kita jawapan yang bernas juga tetapi mungkin kerana insititusi ini dipandang kuno dan lapuk, nah buku ini menawarkan jawapan! Busana. Nusantara ini menawarkan ilmu busana. Kita harus berbangga kerana busana-busana kita menawarkan falsafah Islam jika diteliti. Selain itu, Nusantara maju dengan ilmu perkapalan, baca " Bedar Sukma Bisu" karya Faisal Tehrani buat menawar kefahaman yang lebih.

Membaca karya-karya ini buat saya bangga dengan dunia Islam Nusantara, dan lebih bangga kerana Islam itu terpancar dalam busana tradisi kita!Allahu Allah, mengapa hendak dipinggir semua ini?

6 comments:

Anonymous said...

hehehe.
membaca seluruh entry dan saya hanya terfikir a view from the bridge. *sigh*
ampun.

wankhai said...

eh mengapa?
kerana tulisannya kecil ke?
maaf, maaf.
atau terlalu panjang berjela menyakitkan mata?

Anonymous said...

haha tak. kucing itu bertindak sebagai bridge. lol. otak sungguh suka fikir pelik2.

wankhai said...

huhu. a view from the bridge. karya bekas suami mendiang marilyn monroe tu.
dikatakan jenis greek tragedy antara jenis karya yang tertua di dunia. mesti berakhir dengan kesedihan dan kematian.
sengaja memaparkan the nature of human; we are selfish and sick people.

tapi thinking again, apa kejayaan dan kebahagiaan itu satu benda yang mustahilkah? dan tidak ada apa pun yang perlu dibanggakan dengan tragedi.entah kenapa perlu empatic sungguh-sungguh pada ending masyarakat yang kelam-kabut begitu.kalau tak empatic, dianggap tidak memahami karya. maka pura-pura mengerti, memahami dan menanam empati. sebenarnya...tak ada apa-apa perasaan yang bleh dilemparkan buat karakter.

ah, ni semua rant aja...huhu.

Anonymous said...

pasni gi masuk magazine kaleidoskop...
pastu wat segmen komen sastera...
komen novel2 yg dak IB bace...

Hasmah Markom said...

Tahniah! sebuah tafsiran dari sudut pandangan lain yang membantu membuka minda pembaca - kami mula mencambahkan pemikiran. Teruskan usaha ini. Antara moden dan kuno, Islam berada ditengah2-segalanya bersederhana - jelas kita perlu mengembalikan kegemilangan busana Melayu yang islamik, lihat juga fakta dari buku tulisan Azah Aziz (budayawanita yang sangat mengkagumi busana Melayu - cumanya kita perlu menyesuaikannya dengan pakaian lengkap busana berunsur islam - tentulah mengenakan tudung! (khasnya untuk wanita)Azah Aziz tidak menyertakannya dengan tudung ysng lengkap, hanya mislnya baju kurung Johor dipadankan dengan kain sarung (batik, pelikat, benang dsb) yang dibawa menutupi kepala. Boleh juga kita rewind lihat pakaian pelakon wanita Seri Mersing ketika bertemu dengan hero di kebun ubi! maaf tersasar pulak .....