Saturday, November 1, 2008

Setahun

Hari ini genap setahun nenek penulis meninggalkan penulis dan keluarga. Pemergian arwah Tok masih lagi dikenang kami semua. Kadang kala masih terngiang-ngiang di telinga suara arwah Tok menahan kesakitan kerana hampir 7 kali berturut-turut kulitnya ditembus jarum suntikan buat mengambil darah, dan disebabkan darah tidak mencukupi dan urat juga sudah tidak begitu kelihatan, terpaksalah jururawat-jururawat dan doktor-doktor Hospital Permaisuri Bainun itu mencuba mengambil darah di tempat-tempat yang berbeza-beza. Pilu melihat seorang yang tua dan lemah diperlakukan begini, tapi kami faham , ini atas dasar kesihatan dan prosedur hospital.

Pulang ke kampung juga baru-baru ini, penulis satu malam itu terjaga pukul 4.30 pagi, dan hati secara spontan berbisik, " mesti Tok dah bangun buat nasi lemak dan kuih". Dan ternyata penulis silap. Tidak ada lagi bunyi sambal kerang ditumis, dan tak ada juga bunyi minyak mendidih apabila karipap-karipap beku dimasukkan ke dalam kuali. Tok dah tak ada, dan 4.30 pagi bukan lagi 4.30 pagi seperti dahulu. 4.30 pagi kini sunyi sepi, dan kadangkala hanya bunyi kucing berkejaran sambil mengiau sahajalah yang memecah keheningan ini.

Sewaktu keluarga penulis agak susah dan tidak seperti sekarang, Tok lah yang menjaga penulis, bayi yang kuat menangis ini. Ketika itu ayah hanyalah seorang L/Kopral dengan gaji kecil dan hanya mempunyai sebuah motosikal Honda Cup, dan mak pula cuma bekerja di kebun sayur Cina di ladang sayur yang hampir dengan Batu Gajah. Anak mak dan abah baru 2 orang, penulis dan adik penulis, Angah, dan kami akan ditumpangkan di rumah Tok pukul 6.30 pagi dan mak akan mengambil kami setelah pulang bekerja selepas Zohor. Sewaktu aku kecil-kecil dulu, aku akan perlahan-lahan dengan girang berbasikal ke rumah Tok dari rumah kami untuk bermain kerana kawasan rumah Tok lapang, dan disitulah aku bermain gasing, guli, rounders atau galah panjang bersama rakan-rakan. Tok pula akan memerhatikan kami bermain sambil duduk di beranda, sambil sesekali melaung memberi amaran supaya tidak bermain terlalu kasar, risau kami mencederakan diri sendiri.

Kami tidaklah merancang untuk membuat tahlil genap setahun pemergian arwah Tok. Tahlil sempena setahun ,40 hari atau 100 hari ini semacam satu bidaah sahaja. Sepatutnya setiap hari kita mendoakan keselamatan dan kebahagian kaum keluarga kita yang telah hidup dan meninggal dunia, dan tidak dilupakn doa buat sekalian muslimin.

Tok selalu berpesan kepada kami semua, " Jangan cari pasai dan simpan dendam dan dengki kat orang lain, biaq pi depa nak buat apa kat kita , depa yang tanggung, Allah tu Maha Adil". Betul tu Tok, betul.

No comments: