Wednesday, October 29, 2008

Resolusi

Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.
Segala puji bagi Allah Tuhan semesta alam.
Selawat dan salam buat Junjungan Mulia, Rasulullah s.a.w , al-Kisaii Khomsah, Ahlul Bait, para Sahabat yang mulia serta muslimin yang berada di bawah naungan Arasy Allah.

Pada tarikh 28 Oktober 2008 bersamaan 28 Syawal 1428H, penulis telah bermuzakarah dengan pihak-pihak yang berkaitan dalam kontroversi post “Port Dickson” . Melalui muzakarah ini, sebilangan perkara telah dijelaskan dan dicapai kata putus. Dengan ini,

a) Penulis mengeluarkan PERMOHONAN MAAF kepada pihak pelajar perempuan Kelas 85 TESL atas salahfaham, penggunaan bahasa yang tidak kena pada tempatnya dan kegagalan penulis untuk memahami hasilan penulis dengan perspektif dan pandangan pihak-pihak yang lain. Penulis memohon maaf di atas kekeliruan yang telah berlaku dan kesukaran yang dihadapi oleh pihak-pihak yang terlibat

b) Penulis ingin menjelaskan bahawa post ini langsung tidak berniat untuk menjatuhkan kredibiliti mana-mana pihak, spesifiknya pelajar kelas TESL dan post ini langsung tidak ditujukan kepada mereka. Post ini sebenarnya ditujukan kepada diri penulis sendiri yang berada dalam keadaan tertekan dan secara tidak langsung ditujukan kepada sebilangan pelajar yang mencetuskan tekanan buat penulis itu tempoh hari. Penulis tidak menyangka yang tujuan penulis tidak memberitahu kepada siapa sebenarnya post ini ditujukan mencetuskan salah faham dan kerumitan yang teruk kepada pihak-pihak berkaitan.

c) Walaubagaimanapun, penulis tidak menarik balik post tersebut kerana post tersebut ditulis dalam perspektif yang berbeza dan telah difahami pula dengan perspektif yang berbeza. Justeru, penulis mengakui bahawa dalam hal ini, penulis telah salah kerana ketidakupayaan penulis dalam mengeluarkan pandangan secara holistik. Walaubagaimanapun, post tersebut memang merupakan pandangan penulis, dan moga pandangan tersebut cuba difahami dengan kacamata penulis. Penjelasan telah diberi dalam muzakarah dengan pihak-pihak berkaitan.

d) Penulis masih lagi menghormati kebebasan interpretasi dan kebebasan berpendapat . Namun begitu, penulis tidak boleh lagi berkompromi dengan sebarang perkara yang cuba merendahkan martabat agama dan nilai aqidah. Justeru, walaupun pendapat sdr tanpanama bahawa “if you will keep being shallow-minded, you won’t survive in overseas” dihormati penulis, penulis menolak pandangan beliau ini. Respon penulis boleh didapati di ruangan komen post PD tersebut. Hal ini juga telah penulis jelaskan dalam muzakarah.

e) Penulis juga memohon maaf diatas kekasaran bahasa yang digunakan. Walaubagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa permohonan maaf ini bermaksud bahagian “One’s Belief” penulis telah berubah disebabkan muzakarah tersebut. Penulis masih lagi berpendapat bahawa program PD ini atau seumpamanya bersifat syubhah yang menghampiri haram. Ini pandangan peribadi penulis dan secara jelas diutarakan di sini. Mungkin ada juga individu-individu lain yang berpandangan seperti penulis atau mempunyai pandangan lain, yang juga dilihat menerusi kacamata Quran dan Sunnah. Maka, penulis cuma boleh mencadangkan agar muhasabah dilakukan dalam perkara dan program yang akan mendatang.

f) Post ini juga ingin menjelaskan bahawa penulis tidak menolak bahawa wujudnya isu ‘stereotyping’ dalam kalangan pelajar, namun penulis juga dengan ini mengingatkan bahawa ini boleh saja menjadi satu ujian Tuhan , atau satu peringatan daripada Tuhan. Penulis menolak penggunaan ‘stereotyping’ ini kerana ia bersifat kurang sensitif terhadap individu-individu dsb, namun penulis juga tidak menyanggah bahawa sekiranya difahami secara optimis, ini boleh membantu kita semua berubah melawan stereotaip , dan menjadi lebih baik.

g) Penulis juga ingin memohon maaf kerana penulis tidak sensitif terhadap perbezaan gender. Permohonan maaf diajukan kepada pihak-pihak berkaitan kerana penulis juga terkhilaf dengan menganggap bahawa jenaka yang penulis gunakan tidak menyentuh senstiviti gender dan kumpulan-kumpulan tertentu, di mana penulis langsung tidak berniat sedemikian.

h) Walaupun begitu, menyentuh mengenai sensitiviti, penulis dengan tegas menolak sebarang anasir anasir dalam bentuk kata-kata atau perbuatan yang menyentuh sensitiviti Islam dan penulis menyokong sepenuhnya usaha menegur perbuatan ini. Hal ini disebabkan mungkin pada sesetengah pihak, perkara ini dipandang remeh. Ini tidak menjadi masalah kepada mereka kerana orang yang tidak mengetahui tidak dikira berdosa, sebaliknya orang yang mengetahui kesalahan tersebut mempunyai tanggungjawab BESAR dalam menegur kesilapan ini. Jika tidak, ia merupakan satu pengkhianatan yang besar buat agama, dan ini melibatkan isu aqidah. Justeru, penulis dengan ini juga menyatakan sokongan penuh penulis kepada usaha amar makruf nahi munkar di kolej ini dan moga-moga pengunjung blog dapat memberi sokongan juga, dan bersama-sama menangani permasalahan-permasalan ini.

Sekali lagi penulis memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi. Sebarang komen membina amatlah diharapkan. Untuk menutup kata penulis dengan ini jelas mengatakan bahawa penulis tidak bersifat prejudis,benci,atau berpandangan stereotaip terhadap wanita kerana wanita yang mukminah adalah satu maruah dalam perspektif Islam, dan hadis Rasulullah jelas mengatakan bahawa “sesiapa yang melindungi maruah ( dalam konteks ini wanita kaum muslimin) maka dikira pahala mati syahid”.

- Wan Khairul Nizam Wan Khalid-
- wankhairulnizam.blogspot.com

2 comments:

Anonymous said...

hmm.. sgt respect

~shida~ said...

salam..walaupun aku tak paham sangat ayat sastero ko, tapi aku paham la mesejnye..huhu..bguslah da selesai..