Thursday, November 6, 2008

Janji Hari Jadi I

Saudara Wan Khairul Nizam , masa telah sampai. Patuhilah janji kamu.

Ingatkah ketika janji ini dimeterai?

7 November 2004, malam itu engkau pulang agak lewat daripada surau selepas mendengar ta'lim himpunan "Fadhail Amal" oleh akh Saifullah. Engkau merenung seketika Quran yang kemas dipegang. Engkau tiba-tiba rasa letih, dan rasa sayu perlahan menjenguk sanubari. Masih lagi bersila di saf belakang itu, engkau memerhatikan seorang demi seorang rakan engkau yang mengikuti ta'lim bersama beransur keluar daripada musolla sekolah Izzuddin Shah ini. Mereka melambai-lambai tangan memohon diri, dan salah seorang antara mereka sempat melaung perlahan, "selamat hari jadi!" buat engkau. " Hahaha", engkau gelak sebentar dan mengucapkan terima kasih.

Malam itu, usai menggosok gigi dan membasuh muka, dan bilik sudah gelap gelita, engkau naik ke atas katil ,berbaring, menggeletar seketika dan lantas menarik selimut putih engkau. Sejuk. Engkau kembali berfikir. "Aku sudah 15 tahun, dan aku sudahpun letih. Apa ini?" . Engkau letih dengan kepatuhan buta, letih dengan hipokrisi, jelak dengan suapan-suapan 'ilmu'-kononnya pengetahuan politik, sedangkan ilmunya sekelumit cuma, sentimen saja yang mencurah-curah. Engkau nampak bahawa sistem menzalimi engkau. Engkau disuruh berfikir, tetapi engkau dikongkong paradigma kental dan sempit. Engkau memberontak. Engkau sebelum ini cuba mempertikaikan perkara- lantas engkau dilabel memandai-mandai, engkau sesat!. Engkau dilarang menyentuh sebilangan perkara. Engkau dipujuk supaya patuh dan terima, sahaja. Engkau tertekan.

Apakah ini erti hari jadi? Apakah 15 tahun, yang menurut mazhab syafii ini automatik matang dan baligh ini masih lagi disambut dengan sekadar " all the best, happy besday, good luck, God bless you, congratulations?, mabruk ya akhi?". Hari jadi perlu diraikan sebenarnya buat ibu-bapa. Ibu terutamanya, si dia yang bertarung nyawa melahirkan kita. Dia yang deserve congratulations. Engkau rasa hari jadi sebenarnya ialah untuk meraikan fasa kehidupan, fasa kematangan berfikir. Engkau masih tidak nampak kematangan itu, engkau masih tidak menemui "kebenaran" itu. Maka buat apa dirai. Tapi engkau tahu, engkau juga manusia, berhiburlah, jangan risau. Engkau pun tahu, saudara Hafizuddeen sudahpun menjelaskan, kebenaran itu nampak jauh, tetapi dekat, nampak rumit tetapi mudah. Maka engkau pun meratah kek jugalah, melantak jugalah, tetapi objektif hari jadi sebenar, tiada.

Engkau tampak tidak yakin. Engkau kononnya menjadi rebellious, kononnyalah. Setakat ini tidaklah pula vandalisme engkau lakukan, dalam apa erti sekalipun, ke ada? Huh.

Maka malam yang dingin itu, didalam selimut putih itu, dan ironinya di balik bunyi dengkuran ala-ala ketawa rakan kamu itu, kamu mengukir satu janji:

Aku akan membuka dada ini buat segala, ya segala, untuk segala pemikiran, segala cetusan ilham, sebarang idea, sehingga aku temui 'kebenaran' itu. Aku kusut akan dunia politik negara, dan diracuni fanatisme di sekolah ini, maka aku melepaskan diriku daripada menyebelahi mana-mana pihak. Aku bebal akan kekeliruan mazhab, maka aku melepaskan diri daripada sebarang persengketaan, aku jelak dengan tuduhan sekular, pluralis, jumud, asobiah, maka aku menghumbankan diriku kedalam segalanya, buat aku mengetahui walau satu fragmen daripada skeadaan yang hak dan benar, dan aku tidak akan melibatkan diri dalam mana-mana gerakan sehinggalah aku genap berumur 21 tahun.

"Dan aku juga sesungguhnya bakal membuat muhasabah di malam genap aku berumur 19 tahun, dan malam itu, segala yang aku lakukan bakal dihurai, aku buat kesimpulan awal, dan aku akan kaji lagi sehinggalah aku berusia 21 tahun. Maka apa yang aku akan peroleh sewaktu usia aku 15, aku akan bandingkan semasa aku 19, dan aku akan bawa hasilnya untuk dijustifikasikan sewaktu aku 21 nanti.

Inilah signifikan hari jadiku. Hari aku kembali membuat muhasabah akan usaha diri. Hari diwaktu semua kekesalan dirungkai, dan semua perolehan dihisab. "

Maka bagiku, selamat hari jadi. Moga 19 tahun sudah boleh mematangkan aku, walaupun cuma sekelumit, kerana kematangan akal itu senjata, dan 19 bukan lagi usia main-main senjata mainan. dan moga 15 ke 19 ini hasilnya banyak , boleh dibicara.

2 comments:

Anonymous said...

now i understand. hueh. selamat hari lahir, ya.

ceria seindah suria said...

slamat hari lahir buat kamu ye