Thursday, April 2, 2009

Mahu Jadi Pendakwah atau Penghukum?


Bapak Mohamad Natsir, tokoh ulama besar merangkap ahli politik yang cukup terkenal suatu ketika dahulu di Indonesia pernah berkata sewaktu ucapan beliau di hadapan para pemimpin ABIM pada tahun 1981, " Sudah sempurna perpecahan kami di Indonesia!....Malaysia ialah benteng terakhir Islam di rantau serumpun sebangsa dan seagama ini ".

Indonesia sebuah negara yang paling ramai bilangan penduduk Muslim ,tetapi merupakan negara yang umat Islamnya paling berpecah-belah. Kewujudan pelbagai corak pemikiran Islam yang sepatutnya menambahkan lagi kesatuan Islam tidak memberi kesan yang diharapkan, malah perbezaan-perbezaan inilah yang merobek-robek dan mencarik-carik kesatuan ini sehingga bilangan umat Islam yang cukup ramai di negara tersebut tidak langsung menjadi bukti kekuatan Islam langsung!

Betapa pemahaman Islam Liberal telah mula meresap dalam pemikiran rakyat muslim Indonesia , yang telah ditonjolkan melalui sebilangan karya-karya seni dan sastera mereka, malah pemikiran yang sesat dan menyesatkan ini telah menguasai institusi-institusi agama di negara itu, sekaligus membuka ruang bagi mereka menggunakan autoriti yang mereka ada untuk menjustifikasikan pegangan mereka yang mensekularkan agama, merendahkan martabat syariat, dan merendahkan tradisi keilmuan yang sudah siap utuh dalam agama Islam ini .

Sudah sedia maklum betapa Institut Islam Yogjakarta misalnya cukup mempertahankan pandangan (al-marhum) Nurcholis Majied yang nyata sekular serta lari dari acuan syariat. Betapa kita di Malaysia ini terkejut dengan kenyataan Dr Musdah Mulia, tokoh Islam Liberal di Indonesia yang menyarankan agar poligami diharamkan secara mutlak, hak warisan pusaka disamakan antara lelaki dan wanita serta golongan homokseksual diakui "hak" mereka di negara jiran kita ini. Ini satu perkara yang memeranjatkan, dan kita belum lagi meneroka masalah-masalah yang lain, seperti perselisisihan faham antara golongan Nadhlatul Ulama', Muhammadiyah, golongan tariqat, perbatinan Jawa dan sebagainya . Apa sudah jadi dengan negara ini?

Memang lebih mudah bagi kita untuk menyalahkan sepenuhnya golongan -golongan ini atas malapetaka yang melanda umat Islam kini. Tapi, pernahkan kita bermuhasabah bahawa mungkin, ia juga bertitik tolak daripada kelalaian dan kegagalan kita sebagai seorang pendakwah atau daie? Di sini, kita tidak mahu melihat daripada banyak aspek, cukup dengan satu soalan : adakah kita ini pendakwah atau sebenarnya kita ini sekadar seorang penghukum?

Cukuplah dengan kita memerhatikan bagaimana Pak Natsir memberi penekanan yang tinggi terhadap isu ini melalui responnya terhadap isu komunis di Indonesia, " Kewajipan para mubaligh, daie, dan ulama tidak sekadar memberi fatwa atau memberi vonis bahawa komunis itu haram . Tidak usah kita yang menyatakan, orang awam pun mengatakan komunis itu jahat. Kewajipan umat Islam adalah mengemukakan alternatif dalam menghadapi sistem komunis itu , mengemukakan sistem yang baik untuk menghadapi sistem komunis ". Nah, ini jelas menunjukkan betapa peri pentingnya uslub dakwah yang sesuai dengan masyarakat, supaya masyarakat lebih dekat dan lebih yakin dengan institusi dakwah, dan keilmuan Islam.

Hal ini juga didapati dalam buku Pak Natsir yang terkenal, Fiqh al-Dakwah dan juga buku karangan Shaikh Hassan al Hudaibi , Murshidul Am Ikhwanul Muslimin di tahun 60an, Nahnu Du'atun La Qudatun ( Kita Pendakwah Bukan Penghukum). Betapa methodologi dalam dakwah itu hendaklah selaras dengan fitrah manusia yang menyukai kemesraan dan kasih sayang daripada herdikan, cemuhan dan amaran. Inilah cara yang sepatutnya dijadikan ikutan orang Muslim yang berazam untuk menjadi pendakwah, bukannya sekadar mencemuh perbuatan jahiliah ataupun maksiat sebilangan manusia atau mad'u dan akhirnya, mereka lebih jauh daripada Islam.

Seperti yang telah diungkapkan oleh Pak Natsir , Malaysia kini benar-benar ialah " benteng terakhir Islam di rantau Nusantara ini". Malah, benteng terakhir ini juga mula dirempuh arus liberalisme melampau atau feminisme radikal yang cuba mengganggugugat keutuhan dan kesucian agama ini di Malaysia. Kita tidak boleh berharap pada rakyat Melayu Islam Brunei yang cuma kecil sahaja bilangannya , atau umat Islam Mindanao yang teruk diasak dan didiskrimasi di Filipina, atau masyarakat Islam Kemboja yang dihambat kemiskinan ataupun umat Islam Thailand yang turut menjadi mangsa penderitaan dan diskriminasi di tanah air mereka ini. Mereka punya isu yang lebih penting- nyawa mereka, survival mereka maka disini, cuma tinggal kita sahaja, umat Islam Malaysia untuk mempertahankan kesucian Islam di rantau Asia Tenggara ini daripada mesej-mesej kesesatan yang cuba disampaikan melalui golongan liberalis sekularis ini.

Maka, bolehkah kita masih lagi mahu kekal menjadi penghukum ? Kita kena mengambil langkah untuk berubah segera, kerana di kala kita masih lagi mungkin melihat seorang pelaku maksiat dengan pandangan menjijikkan, cercaan dan makian; golongan -golongan missionaris, liberalis, sekularis pula sedang melontarkan senyuman paling indah, sapaan paling ramah dan dakapan paling mesra terhadap golongan-golongan yang jahil ini, untuk menarik mereka ke jalan golongan ini. Untuk menjadi pendakwah sebenar ,pesanan Pak Natsir ini hendaklah selalu kita hayati dalam hidup kita sebagai ansarullah , penolong agama Allah.

( Ingin membaca kertas kerja mengenai pemikiran Pak natsir, klik sini. )

No comments: