Kerinduan itu datang
Tanpa isyarat.
Tanpa bunyi.
Tanpa suara.
Hadirnya menimbulkan kekosongan.
Melahir rasa kehilangan...
Selamat datang kerinduan yang padanya mahabbah, padanya ghairah, padanya isi, padanya kekosongan. Padanya kekesalan dek perbuatan, padanya harapan di masa hadapan, padanya syaitan yang membisikkan kekaburan, padanya malaikat yang mengalunkan peringatan.
Kerinduan yang dimanifestasikan dalam makna yang utuh dan teguh, tapi dilihat dalam cerminan yang longgar. Perasaan yang membuai minda ke arah tujuan, tapi juga bisa memandu ke arah berlawanan.
Hati yang dilanda kerinduan itu umpama seorang pemuda yang diberikan isteri yang cantik dan manis, cuma isterinya itu tidak boleh disentuh. Satu nikmat yang agung memperisterikan kecantikan dunia, tetapi satu kegersangan yang tidak upaya dibendung dek syarat yang gila. Begitulah kerinduan. Perasaan yang hadir hanya kerana memori itu ada, tetapi adanya memori itu hanya kerana adanya masa. Dan masa, masa itu pula membawa kekecewaan atau kegembiraan yang timbul dek perbuatan hati dan minda. Kejayaan dan kegagalan kemudiannya dipantul oleh cermin masa. Dan kerana itu, kerinduan hadir. Imbauan semula.
Kerinduan...perasaan yang menyebabkan rasa terhiris-hiris dek kesilapan, atau rasa sayu akibat kehilangan. Secara luar sedar mengukir senyuman, atau tanpa diduga, air mata berjuraian. Kerinduan, perasaan yang aneh dan unik. Semua pernah mengalaminya, tapi pengalaman berbeza-beza.
Kita ini semua Perindu. Dan ada yang dirindukan. Sepatutnya. Ya, sepatutnya.
No comments:
Post a Comment