Tuesday, September 2, 2008

Surat Daripada Idrus

Pukul 3.30 petang, hujan turun mencurah-curah. Suasananya sejuk. Tenang sekali. Mata mula terkatup.Arghh~Bisingnya!!!

Orang time tido2 nila bukak speaker kuat tak ingat aku.
Tanpa melengahkan masa....
Mulalah menaip.....


Assalamualaikum warahmatullah wabarakatuh.

Telah sampai perkhabaran kepada hamba akan hebatnya “sound system/speaker” kepunyaan tuan-tuan hamba di bilik stor Aras Bawah Blok Aminuddin Kolej MARA Seremban ini . Hamba juga kadang kala terbangun juga mendengar juga bunyi-bunyian “gitar eletrik” pada pukul 2.30 pagi –entah apa alatnya ini hamba pun tak tahu,kerana pada hemat hamba, malam-malam yang Tuhan jadikan kumbang dan angin sebagai penyeri malam , lantas terganggu dek keriuhan pesta ini.

Kami penduduk pribumi di sini, tidaklah marah ataupun kisah akan alat-alatan moden ini, malah hamba pun menaip warkah ini menggunakan laptop- alatan moden yang Tun Senaja dari Melaka pasti tertarik dengannya, atau Sultan Alauddin Riayat Shah yang gemar meninjau rakyat di waktu malam itu pasti gembira kerana boleh menggantikan tabuh memanggil orang ke masjid. Kami,jin –jin Melayu ini tidaklah berbeza dengan manusia-manusia rakan-rakan kalian, kami mendengar juga Bon Jovi, malah lagu Jason Mraz pun kami kadang-kala bisa leka ,selain dendangan zapin atau gurindam anak Melayu, kegilaan masyarakat jin di sini.Kami gembira ada anak muda di kalangan manusia yang memahirkan diri dengan segala macam ilmu-muzik, nyanyian selain ilmu fizik, kimia, biologi, sastera atau sosiologi yang memang,kami jin-jin ini dah belajar masa umur kami 300 tahun lagi.

Kami di sini mencadangkan beberapa perkara:

a) Molek kiranya bunyi dentuman guruh ‘sound system’ atau alatan bunyi-bunyian kalian diberhentikan apabila masuknya 2.30 pagi. Anak hamba baru berumur 200 tahun ,masih dalam susuan . Perlukan rehat yang cukup. Apatah lagi anak hamba sekarang sudah mula masuk tadika jin.

b) Apakala hujan, ribut, atau apa-apa fenomena cuaca yang menyejukkan suasana, merapatkan mata dan menyenangkan hati, sehingga terasa hendak tidur jua, lihatlah keadaan penghuni-penghuni aras bawah ini, sekiranya banyak yang terlena , eloklah tidak diganggu. Petang-petang bisa juga meletihkan diri bukan?Hamba yang jin ni pun tahu, apatah lagi manusia-manusia yang tidak hidup lama, rakan-rakan kalian ini.

Itulah saja daripada hamba, wakil masyarakat jin aras bawah blok Aminuddin ini. Rakan-rakan hamba yang manusia di aras ini tidak menegur barangkali malu dan segan, jadi biar kami golongan jin inilah yang mengkhabarkan .Yalah, mereka pun kadang-kala bising jua. Jadi, sama-samalah kita nasihat –menasihati ,apatah lagi di bulan al- Mubarak ini.

Salam Persahabatan . Salam Ramadhan.

-Idrus-
Presiden Majlis Perwakilan Jin KMS

No comments: