Wednesday, December 17, 2008

Dikejar

Setiap daripada kita punya memori masing-masing. Ada yang manis, ada yang pahit, ada yang terlampau kompleks ,ianya tidak boleh dihurai dengan kata-kata.

Sebilangan daripada kita hendak melupakan memori ini. Kita hendak berubah. Kita tidak mahu dihantui diri kita yang dahulu. Kita mahu bebas daripada kekangan masa silam.
Tetapi memori-memori itu mengejar kita tanpa henti. Ianya rakus dan lincah.

Semakin kita hendak melarikan diri daripadanya, semakin ia laju mengejar kita. Kita letih, alah, kita mula berfikir untuk berputus asa.

Ada yang akhirnya tunduk dan berhenti berlari, dan merelakan memori-memori itu membaham mereka lalu mereka diheret ke lembah silam. Mereka menjadi kosong. Mereka putus asa akan harapan. Mereka sentiasa dihantui memori-memori lampau yang menjadikan mereka terduduk dirudung kekecewaan atau hidup kebingungan. Mereka kalah sebelum mereka mengecapi peluang menemui cahaya baru itu. Mereka tersenyum dalam sengsara.

Ada yang berjaya membina kehidupan baru, tetapi bila mereka menyangka mereka sudah selamat, memori-memori ini memanifestasikan dirinya dengan lebih jelas. Ia nyata melihat-lihat, sambil tersenyum sinis memandang kita. Hidup yang kompleks menjadi lebih rumit. Di waktu manusia-manusia ini menjalani kehidupan, memori-memori ini pula sentiasa mengintip-intip. Jelingan mereka penuh dengan niat hitam agar satu masa nanti, di kala manusia itu leka atau alpa, mereka akan menghampiri dan manusia itu akan kembali menyembah mereka.

Dan di kala itu , mereka akan datang sambil menjanjikan manusia-manusia ini tempat untuk pulang, dan menawarkan tempat untuk mengecap kembali kebahagiaan.Mereka menyelindungkan niat jahat ini dengan mengingatkan manusia ini dengan tali-tali yang mengikat rumit memori-memori . Manusia yang tidak peka pasti terpedaya. Tali-tali itu ialah tali-tali durjana yang nampak suci dan tampak kudus, tetapi rupanya direndam dalam air nanah dan darah dan air mata kesengsaraan.

Ada yang nampak dan sedar dengan jelas akan tipu daya ini, tetapi mereka menyerah. Jiwa dikorbankan dengan rela walaupun ianya satu langkah kepada kemusnahan. Kerana apa? Kerana mereka sudah tidak percaya pada masa hadapan dan perubahan.

Lebih menyedihkan, kerana mereka tidak lagi percaya pada hidup.

No comments: